• Carta jenis perkhidmatan yang ditawarkan.Carta jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
MY KIFAYAH Clixster Mobile optimis untuk mencapai 500,000 pelanggan setiap bulan.

Pengasasnya Mohd Saruji Afandi berkata, sasaran itu  akan dapat dicapai memandangkan perkhidmatan khairat kematian yang ditawarkan khas untuk pengguna talian mudah alih Clixster mendapat sambutan.

"Alhamdulillah, apa yang dicapai oleh My Kifayah pada hari ini sangat menggalakkan dan di luar jangkaan.

"Kami berjaya menarik 50,000 pelanggan dalam masa kurang daripada setahun sejak ia dilancarkan pada 28 Ogos 2013 ," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Clixster Mobile di Sri Hartamas.

Menurutnya, perkhidmatan ini tidak hanya tertumpu kepada agama Islam malah turut dibuka kepada bukan Islam.

"My Kifayah tidak merujuk kepada perkhidmatan untuk orang Islam semata-mata. Ia hanya satu nama Islamik dan perkhidmatan ditawarkan boleh diguna pakai untuk semua masyarakat tidak kira agama.

"Setakat ini, kami sudah berjaya menarik lebih kurang 2,000 pengguna bukan Islam untuk melanggan perkhidmatan ini. Saya percaya, dengan adanya sokongan daripada pengguna bukan Islam, sasaran yang kami tetapkan akan berjaya dicapai," katanya.

Perkhidmatan My Kifayah menawarkan dua pakej eksklusif dengan dengan harga yang mampu dan berpatutan serta dikenakan yuran tahunan RM2.

"Bagi pakej pertama, pelanggan akan dikenakan bayaran RM2.50 dan bayaran itu akan terus dipotong daripada tambah nilai yang dibuat pada setiap bulan. Pakej pertama akan menyediakan RM1,000 tunai kepada waris si mati, khatam Al-Quran dan tahlil
untuk si mati, perkhidmatan kenderaan darat untuk penghantaran jenazah, memastikan si mati dimandikan oleh waris terutamanya zuriat tetapi akan dipantau oleh pihak yang berkelayakan dan akan melengkapkan urusan jenazah sekiranya jenazah tidak mempunyai waris.

"Bagi pakej kedua, pemotongan tambah nilai RM3.50 akan dilakukan pada setiap bulan. Pakej ini menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000 tunai kepada waris, khatam Al-Quran dan tahlil untuk si mati, upah haji, satu bahagian korban di Makkah, perbelanjaan tahlil sebanyak RM500 dan juga pemberian sagu hati kepada waris," katanya sambil menambah pelanggan yang bukan beragama Islam akan menerima wang tunai sahaja iaitu RM2,000 untuk pakej pertama dan RM3,000 bagi pakej kedua.

Perkhidmatan ini walau bagaimanapun hanya ditawarkan kepada mereka yang berumur 18 sehingga 65 tahun.

"Selepas 65 tahun, perkhidmatan ini akan luput secara automatik.

"Jika kematian, waris hendaklah memaklumkan kepada kami melalui talian 24 jam yang disediakan dan jika gagal berbuat demikian, pihak kami tidak akan menerima sebarang maklumat dan urusan khairat kematian ini tidak dapat dijalankan. Jadi, sekali lagi ia akan luput secara automatik," katanya.

Ditanya mengenai harapan dan juga perancangan masa depan perkhidmatan ini, beliau yakin untuk menembusi pasaran negara-negara luar.

"Selepas berjaya mencapai sasaran dalam Malaysia, kami akan mengembangkan perkhidmatan tersebut ke negara-negara Islam lain contohnya di Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain negara jiran.

"Saya berharap perkhidmatan ini dapat diterima dan dimiliki oleh semua masyarakat tidak mengira agama memandangkan apa kami lakukan amat bertepatan dengan konsep kehidupan manusia yang akhirnya akan menemui ajal," katanya.