POPULARITI yang dikecapi beberapa bakat muda seangkatan dengannya tidak sedikitpun membuatkan penyanyi Tajul Arif menyimpan perasaan cemburu.
Sekadar menyebut beberapa nama, penyanyi Sedam Dalam Rindu itu berkata Aiman Tino dan Sufian Suhaimi sememangnya layak mengecapi sambutan hangat daripada peminat masing-masing.
"Kami berkawan baik. Jadi tak timbul isu dengki antara saya dan mereka. Itu adalah rezeki masing-masing.
"Saya jenis tak kisah dengan kejayaan mereka sebab kedua-duanya memang layak untuk dapat perhatian," katanya.
Menurut Tajul, 19, dia perlu lebih rajin berusaha bagi memastikan namanya berada sebaris dengan bakat-bakat popular itu.
"Mungkin belum sampai rezeki saya lagi. InsyaAllah akan sampai masanya nanti untuk saya ikut jejak langkah mereka.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kehadiran saya diterima baik. Paling penting saya ada job," katanya.
Ketika diusik berhubung tanggapan segelintir pihak yang menganggap kejayaannya dalam bidang seni didorong oleh populariti abangnya, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, Tajul berkata dia menganggap ia sebagai rezeki.
"Saya juga kurang pasti sama ada mereka sukakan lagu saya atau sebenarnya adalah peminat arwah abang.
"Namun saya anggap ia sebagai rezeki. Saya sendiri mempunyai bakat untuk diketengahkan," katanya.
Ditanya sama ada dia turut dihimpit isu bayaran seperti sesetengah penyanyi baharu yang meletakkan harga tinggi walaupun hanya memiliki dua single, Tajul berkata isu berkenaan tiada kaitan dengannya.
"Saya serahkan semua isu bayaran kepada pihak pengurusan. Setahu saya mereka akan kenakan bayaran mengikut jenis majlis.
"Kalau tak salah, harga minimum yang diletakkan ialah bermula RM5,000 untuk sesebuah majlis. Kebiasaanya saya akan nyanyian tiga atau empat lagu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: