BAGI penonton yang menyaksikan persembahan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Fiena dalam Mentor Milinea 2017 minggu keenam, pasti ramai yang sebak.
Malah pada rakaman rancangan itu, dapat dilihat kelopak mata salah seorang juri iaitu Datuk Hattan juga bergenang. Begitu juga penonton lain.
Lagu Jaga Dia Untukku nyanyian Fiena bersama sentuhan keyboard itu ternyata menyentuh hati.
Tapi di sebalik air mata penonton yang tumpah pada malam itu, terdapat kisah lain yang lebih meruntum jiwa.
Pencapaian Fiena atau Nur Zafiena Anissa Zaini, pada hari ini sedikit-sebanyak berjaya mengubat penderitaan ibu yang melahirkannya 18 tahun lalu.
Gadis ini dilahirkan ketika berusia tujuh bulan dari perut ibunya, Rahayu Hassan, 38, dalam keadaan normal.
Namun ketika ditempatkan dalam inkabator kerana tidak cukup bulan, pancaran cahaya lampu yang tidak dikawal akibat kelemahan pihak hospital memusnahkan saraf penglihatannya.
“Selepas tiga hari melahirkan dia, saya diberitahu Fiena tidak dapat melihat dan menjadi buta. Luluh hati saya hanya Tuhan yang tahu,” ujar Rahayu, gemar dipanggil Ayu mengimbas kisah silam melahirkan anak pertamanya itu.
Kata Ayu lagi, pada waktu itu dia mengharapkan satu keajaiban akan berlaku buat Fiena setidak-tidaknya dia dapat melihat semula tapi semuanya hampa.
Kongsi Ayu, perjalanan hidupnya membesarkan Fiena tidak semudah yang disangkakan.
Ketika Fiena berusia tujuh tahun, Ayu ditinggalkan suami, seorang peniaga burger bersama seorang lagi anak mereka Nur Zaiela Aisha yang ketika itu berusia lima tahun.
Selepas disahkan bercerai, Ayu menyara kedua-dua anaknya itu tanpa nafkah daripada bekas suami.
“Kami hidup tiga beranak penuh kesempitan. Bekas suami tidak ambil peduli sehinggalah kini terputus hubungan. Maka sayalah yang hidup serba kekurangan ini membesarkan dua orang anak,” kata Ayu.
Ketika membuat keputusan berhijrah dari Alor Setar, Kedah ke Ipoh, Perak, Ayu bekerja di sebuah kilang bagi menyara dua anaknya itu.
Memelihara anak OKU besar cabarannya sementelah pendapatannya sebagai pekerja kilang tidak seberapa.
Mungkin berkat kesabaran Ayu yang reda dengan ujian hidup itu, Tuhan memudahkan perjalanannya.
Kesempitan hidup dilaluinya mendapat simpati majikan seorang lelaki berbangsa Cina yang juga pemilik kilang dia bekerja.
Atas dasar simpati itu, lelaki berkenaan terbuka hati untuk mengahwini Ayu seterusnya memeluk agama Islam.
Bermula dari situlah episod sukar kehidupan Ayu dan anak-anaknya mula berubah.
“Saya bersyukur, akhrinya ada juga lelaki yang sudi mengahwini saya, seorang ibu tunggal beranak dua termasuk seorangnya OKU.
“Besar sungguh pengorbanan majikan saya itu termasuklah menukar agama untuk berkahwin dengan saya,” kata Ayu.
Walaupun perkahwinan kedua dengan Mohd Adam Lee Abdullah, 60, itu tidak dikurniakan cahaya mata, namun mereka mampu hidup bahagia.
Suami itu melayan dua anak tirinya umpama darah daging sendiri.
Pandai Menyanyi
Bercerita bakat Fiena pula, anak kecil itu sudah pandai menyanyi pada usia dua tahun.
Dia diberi alat permainan muzik untuk berinteraksi selain mendapat pendidikan khusus di sekolah pendidikan khas sehinggalah berjaya mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi dan penulis lagu.
Menurut Fiena lagu Jaga Dia Untukku’ diciptanya ketika dia mendengar rintik hujan sambil menggunakan petikan keyboard bagi mendapatkan ilham lagu itu.
Fina dan ibunya ketika membuat kemunculan pada minggu keenam, Mentor Milenia.
“Ia sebuah lagu mengenai kisah cinta yang tidak kesampaian. Lagu itu saya buat semasa hujan turun yang mana ia cukup istimewa buat saya,” katanya.
Fiena yang kini artis Nova Music dalam proses untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di sebuah universiti tempatan.
Dia yang dilahirkan sebagai seorang anak OKU telah mengotakan hasrat ibunya untuk melihat keajaiban seperti yang diharapkan si ibu itu.
Walaupun keajaiban itu bukanlah sebuah penglihatan, cukuplah ia sekadar bakat yang tidak mungkin dianugerahkan kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: