PETALING JAYA: Demi memastikan koleksi pakaian raya yang dihasilkan mengikut tema Bollywood, pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal sanggup terbang ke Kashmir, India untuk merakamkan video promosi jenama mereka.
Kata Aeril yang tampil dengan koleksi jubah dan kurta dibawah label 5 Waktu, dia belajar menari tarian Bollywood hanya dalam masa singkat selepas diajar oleh Wawa ketika berada di Kashmir.
"Kami memilih tema Bollywood kerana Wawa memang gemar filem Hindustan dan dia ingat semua tarian yang langsung saya tidak tahu.
"Saya pula tidak pandai menari tetapi bagi menjayakan rakaman itu Wawa mengajar saya hanya dalam masa singkat.
Wawa turut berkolaborasi dengan ShawlPublika untuk koleksi terbaharunya.
"Alhamdulillah walaupun sedikit kekok tetapi saya berjaya juga laksanakannya," katanya kepada mStar Online.
Aeril dan Wawa ditemui pada pertunjukan fesyen koleksi terbaharu mereka iaitu Wawa Zainal, 5 Waktu dan Wawa Zainal X ShawlPublika yang diadakan di sini, Selasa.
Bercakap lanjut mengenai kunjungan mereka ke Kashmir, Aeril berkata, dia terharu dengan sikap penduduk dikawasan itu yang cukup peramah dan sanggup membantu mereka menjayakan rakaman itu.
Katanya, mereka berjaya mendapatkan 16 kanak-kanak di kawasan itu untuk terlibat sama dalam penggambaran klip video itu yang ternyata memeriahkan lagi konsep ditampilkan.
Antara koleksi jenama 5 Waktu.
"Kami di sana hanya lima hari sahaja dan pelbagai perkara perlu dilakukan dan nasib baik penduduk di Kashmir cukup ramah dan gemar membantu kami menjayakan penggambaran.
"Disaat-saat akhir pun mereka sanggup membantu dan hasilnya penggambaran meriah dengan kehadiran kanak-kanak dan kami gayakan dengan koleksi terbaharu 5 Waktu dan Wawa Zainal.
"Sebagai penghargaan kami hadiahkan baju yang dipakai selain membayar mereka kerana sudi membantu kami," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai koleksi raya itu, Wawa berkata, untuk koleksinya dia tampil menggunakan material kain sari yang jarang-jarang diketengahkan.
Koleksi yang turut hadir dengan pakaian kanak-kanak.
Katanya, dia bersama pihak ShawlPublika memulakan projek itu sejak awal tahun ini dan berharap ia akan mendapat sambutan menggalakkan bersempena kedatangan Aidilfitri.
"Ini kali pertama kami lakukan sendiri semuanya dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar malah saya dan suami akan berehat daripada lakonan sepanjang Ramadan untuk mempromosikan koleksi ini," katanya.