Saturday, May 13, 2017

Versi berbeza untuk legenda King Athur



Versi berbeza untuk legenda King Athur
SELAIN Pirates of  The Caribbean yang bakal menemui penonton tidak lama lagi, sebuah lagi filem menarik dan yang menjadi wajib tonton untuk tahun ini iaitu King Athur: Legend of The Sword yang kini sudah pun memasuki pawagam mulai 11 Mei lalu.

Dalam sejarah perfileman Hollywood, King Athur sudah beberapa kali difilemkan dalam pelbagai versi sejak 1953 lagi dan yang terbaru menerusi garapan Guy Ritchie, seorang pelakon dan juga pengarah yang cukup dikenali dengan sikap karismanya.

Meskipun ia filem pertarungan klasik, King Athur berjaya dibangunkan dengan cukup solid menerusi gabungan kisah fantasi dan mitologi yang begitu menjadi sekali gus menepati selera penonton terutamanya mereka yang meminati kisah latar perang.

Filem yang menelan belanja pembikinan sebanyak US$175 juta ini bukan hanya hebat menerusi babak-babak aksinya yang cukup mendebarkan, tetapi juga menerusi persembahan lakonan pemainnya yang sangat baik meskipun hanya memegang peranan kecil.

Tumpuan semestinya kepada Charlie Hunnam selaku teraju utama yang berjaya menarik perhatian penonton dengan lakonan berkesan sebagai King Athur yang tangkas dalam aksi pertarungan dan mempunyai daya kepimpinan tinggi.
Begitu juga dengan Jude Law yang mengambil posisi villain sebagai Raja Vortigern yang sangat kejam dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menambah kekuasaannya termasuk mengorbankan anak dan isterinya sendiri.

Gabungan antara elemen aksi, humor, dan emosi yang berselang seli antara babaknya menjadikan filem ini begitu menarik dan cukup rencahnya sementelah turut mengangkat nilai kekeluargaan serta persahabatan yang tinggi.



Turut mencuri perhatian adalah latar tempat pada setiap babak dibina dengan cukup cantik dan terlihat begitu realistik seolah-olah kita juga berada di zaman itu.


Filem ini mengisahkan kehidupan Arthur, anak yatim piatu yang dibesarkan di sebuah kawasan pelacuran oleh beberapa wanita setelah kehilangan bapanya, Raja Uther yang mati dibunuh dengan kejam.
Apabila dewasa, Arthur menjadi pemuda yang tangkas dan agresif akibat pengaruh persekitarannya yang sentiasa mencabar dalam meneruskan kehidupannya.

Bagaimanapun nasibnya mula berubah selepas dia berjaya menarik sebilah pedang dikenali sebagai Excalibur, tertanam pada batu dan akhirnya mendapat tahu keturunan asalnya sebagai putera raja.
Sejak itu, dia terpaksa menerima takdirnya sebagai pewaris takhta kerajaan England dan berdepan kekejaman bapa saudaranya sendiri yang gilakan kuasa.

Ternyata Guy Ritchie memberi sentuhan yang cukup berbeza untuk pembikinan semula filem ini menerusi gaya pengarahannya yang cukup kreatif dan teliti selain pembentukan karakter yang sangat menjadi.