Tuesday, May 23, 2017

Ramlah Ram Masih Mampu Nyanyi Lagu Nada Tinggi



Ramlah percaya pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri seni banyak membantu.
SIAPA kata penyanyi yang dah berusia mudah 'pancit' bila menyanyi secara live? Penyanyi era 80-an Ramlah Ram membuktikan biarpun sudah berusia setengah abad, dia masih mampu menyanyi lagu-lagu bernada tinggi pada nota asal.
Ramlah, 51, berkata, menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila membuat persembahan live menggunakan nota asal tanpa perlu mengubahnya dan perkara itu sudah diamalkannya sejak dulu lagi.
"Entahlah, mungkin sudah menjadi kebiasaan sejak dulu. Bukan niat nak tunjuk hebat tetap demi satu kepuasan.
"Pun begitu saya tidak pula memandang rendah pada artis yang mengubah nota nyanyian kerana lain artis lain caranya, bergantung kepada keselesaan masing-masing," katanya.
Vokal Ramlah Ram dipuji ramai apabila dia masih dilihat bertenaga di pentas menyampaikan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu menggunakan key asal tanpa mengubahnya pada Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan, bertempat di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Ramlah Ram bakal merakamkan sebuah single bergenre balada tidak lama lagi.
Tambah Ramlah, dalam menjaga mutu vokalnya dia tidak mengamalkan banyak petua selain percaya pada pengalaman yang ditimbanya sebagai anak seni selama lebih 30 tahun yang banyak membantu.
Bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya, dia merancang untuk mengeluarkan single terbaru sebelum hujung tahun ini.
"Lagu sudah ada cuma tunggu masa nak rakam sahaja. Untuk kali ini atas permintaan peminat saya memilih genre balada sepertimana lagu-lagu di awal kemunculan saya dahulu,"katanya.
Ditanya tidakkah dia merancang untuk menerbitkan sebuah lagu raya seperti lazimnya dibuat sesetengah artis, ini jawapan wanita kelahiran Muar, Johor ini;
"Sebenarnya saya lebih suka merakamkan lagu yang boleh didengar pada setiap masa dan bukannya mengikut musim seperti perayaan atau sebagainya.
"Justeru, biarlah artis-artis lain yang buat dan saya boleh tumpang berhibur", akhirinya dengan tawa kecil. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: