BELUM pun mencecah usia 30 tahun, pelakon Liyana Jasmay semakin kuat memperkukuhkan jenamanya bukan sahaja dalam industri hiburan tetapi perniagaan.
Mungkin ramai yang tidak tahu Liyana sebenarnya juga adalah seorang penerbit, penyanyi dan usahawan menerusi jenama Mermaid Luxe.
Siapa sangka keletah manja dan lincahnya itu sebenarnya tersembunyi jiwa kental dan tidak kenal erti putus asa malah apa dilakukan Liyana barangkali tidak dapat dilakukan oleh orang lain.
"Keluarga terutamanya bapa, ibu, kakak dan suami adalah pendorong utama kerana kalau tiada mereka semua ini tidak akan terjadi," katanya.
Liyana ditemui pada pelancaran koleksi Mermaid Luxe Raya Wonderland di Metrojaya Mid Valley Megamall di sini, Selasa.
Ibu kepada dua cahaya mata ini memberitahu kejayaannya pada hari ini tidak datang bergolek hanya kerana status selebriti sebaliknya dia juga perlu bermula dari bawah selain bekerja keras dalam mencapai impian.
Rakan selebriti Nana Mahzan dan Kaka Azraff turut hadir memberikan sokongan kepada Liyana.
"Apa baiknya menjadi seorang selebriti jika kita tidak pandai menggunakannya ke arah positif dan hanya bergantung harap kepada populariti semata-mata dalam melakukan sesuatu?
"Tiada jalan mudah dalam hidup ini kerana pada saya, seorang selebriti juga perlu bekerja keras dalam apa juga mereka lakukan.
"Saya tidak pernah percaya status selebriti itu memberi jalan mudah kerana kalau tiada usaha, tiada gunanya," katanya.
Tambah Liyana, dia sendiri mengambil masa lebih setahun untuk tampil dengan projek Mermaid Luxe Raya Wonderland dan cuba menjual produknya ke beberapa pusat beli-belah dan perlu melalui prosedur sama seperti mana peniaga lain.
Akuinya menguruskan perniagaan bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mempunyai ilmu serta kesabaran dalam memastikan ideanya dapat terlaksana.
"Beberapa kali juga bahagian kreatif mengubah rekaan koleksi ini kerana kita ingin memastikan Mermaid Luxe menghasilkan produk terbaik.
Liyana berusaha keras untuk berada ditahapnya sekarang.
"Apabila melibatkan perniagaan saya profesional kerana produk yang saya keluarkan adalah berkualiti dan eksklusif," katanya.
Bercakap lanjut mengenai koleksi terbaharunya itu, Liyana berkata dia gembira akhirnya Mermaid Luxe berjaya menembusi pasaran di pusat beli-belah seperti Metrojaya.
Ini kerana katanya, sudah menjadi hasratnya untuk meletakkan standard kepada labelnya itu yang berkualiti tinggi.
"Saya bukan tidak mahu sertai bazar atau karnival tetapi Mermaid Luxe mempunyai sasaran tersendiri iaitu dijual di gedung beli-belah dalam menjaga standard dan nilai eksklusifnya.
"Dengan cara itu, kita ingin memberitahu pembeli yang produk kami berkualiti tinggi namun masih dalam harga mampu milik seperti mana jenama lain," katanya.
Mermaid Luxe Raya Wonderland kata Liyana diinspirasikan daripada cerita dongeng seperti Alice in Wonderland, Cinderella dan Snow White.
"Koleksi ini ada tiga jenis iaitu Candy yang menggambarkan diri saya, Elegance untuk yang sukakan kemewahan dan Classic bagi penggemar baju kurung moden ringkas.
"Bagaimanapun saya tidak mengeluarkan banyak koleksi ini dan hanya lebih kurang 1,000 helai sahaja setiap satu kerana ia eksklusif," ujarnya.