KOTA BHARU - Seramai 36 pasangan berkongsi detik manis dan tarikh bersejarah dalam hidup apabila selamat diijab kabulkan sebagai suami isteri dalam majlis Walimatul Urus Qubro 2016 di Masjid Ayesha, semalam.
Kaza Khuraina Ibrahim, 29, berkata, dia begitu teruja menjadi peserta dalam majlis akad nikah beramai-ramai ini dan kenangan tersebut akan jadi memori yang tidak akan dilupakan dalam hidup.
Menurutnya, ia bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan dia dan pasangan Mohd Safudin Zakaria, 30, tetapi merealisasikan impian untuk berumah tangga lebih awal dari tarikh yang dirancang.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan, saya dan suami bersyukur kerana impian untuk mendirikan rumah tangga dimakbulkan.
“Kami rancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan, tetapi masih gagal kumpul wang mencukupi. Bila saya tahu benda ini (perkahwinan beramai-ramai) dari WhatApps yang dikirim oleh seorang kawan, saya dan pasangan terus memohon,” katanya kepada Sinar Harian.
Kaza dan pasangan antara 25 pasangan pengantin yang dinikahkan secara beramai-ramai pada Program Walimatul Urus Qubro 2016 yang berlangsung di Masjid Ayesha Kok Lanas, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad.
Seorang lagi peserta, bagi pengantin baharu Mohd Afendi Abd Rahman, 27, berkata, perkahwinan beramai-ramai sangat membantu dia dan isterinya yang masih belajar, Siti Izaina Yajib, 27 dari segi kewangan.
“Saya hanya sediakan RM2,500, dan ia sangat amat bermakna serta membantu meringankan beban kepada pasangan muda seperti kami.
“Kami tidak kisah kerana perkahwinan beramai-ramai ini ternyata lebih meriah, malah isteri yang tahu dahulu mengenai program ini dan meminta izin daripada kedua ibu bapanya untuk turut serta, Alhamdulillah keluarga memberi restu,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, program anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (Khadam) dengan kelolaan oleh Puteri Umno negeri ternyata memberi manfaat kepada pasangan yang terpilih.
“Kita berjaya jimatkan kos pasangan-pasangan ini di mana anggaran kasar untuk satu majlis perkahwinan mereka sepatutnya membelanjakan kira-kira RM15,000 tetapi dalam program ini mereka hanya bayar RM2,500 sahaja.
“Walimatul Urus Qubro ini adalah pertama kali dianjurkan, satu program kemasyarakatan yang sangat bagus dan akan dijadikan satu acara tahunan. Mungkin tahun depan kita boleh tarik lebih ramai penaja bagi mengurangkan lagi kos yang perlu dibayar oleh peserta,” katanya.
Katanya, paling penting pengantin dan keluarga tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak bagi menyempurnakan majlis akad nikah, persandingan dan jamuan makan.
Beliau berkata, majlis istiadat persandingan juga akan diadakan esok (hari ini) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dengan penuh meriah di mana pengantin akan diarak menaiki kereta-kereta mewah.
“Ini sebenarnya rangka program membantu rakyat jimatkan perbelanjaan, malah kita ada banyak program seumpama ini seperti program bersunat beramai-ramai, khatam al-Quran dan Back To School, tujuan kita untuk bantu rakyat supaya tidak berbelanja besar,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: