KEBIASAANNYA
 sarung penutup kereta yang kerap digunakan bagi melindungi panas terik matahari, berwarna gelap seperti hitam atau kelabu.
Namun kebelakangan ini, orang ramai mula menukar selera dengan memilih sarung penutup kereta lut sinar, sekali gus membolehkan kenderaan mereka dilihat dari luar sarung.
Sifat sarung penutup yang tahan lasak, tahan panas terik, tidak berwap dan kalis air menarik minat ramai untuk membelinya, di samping reka bentuknya yang kelihatan moden dan trendy.
Ia didatangkan dengan getah pada keliling bawah sarung tersebut, membuatkan ia senang disarung pada kenderaan dan tidak mudah tertanggal.
Walaupun pada awal kemunculannya di pasaran Malaysia beberapa bulan lalu, ia kelihatan agak pelik, namun sambutannya kini semakin baik, sehinggakan ada yang menjual produk itu untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan mereka.

Mudah pantau kenderaan
Juruteknik, Nor Hisyam Abdul Rahman berkata, sarung penutup lut sinar boleh melindungi kenderaannya daripada habuk terutama selepas dibasuh.
“Sarung penutup ini yang boleh menutupi keseluruhan kereta amat praktikal digunakan pada kenderaan kerana ia tahan lasak, selain boleh melindungi daripada panas terik dan hujan.
“Saya sudah menggunakan sarung ini sejak sebulan lalu, yang dibeli pada harga diskaun, iaitu RM60. Sebelum ini, saya hanya menutup kereta dengan kain sahaja,” katanya.
Bagi usahawan, Mohd Jais Hashim, sarung penutup kereta lut sinar yang kelihatan trendy itu membolehkan pemilik kenderaan sentiasa memantau kereta mereka, terutama yang tinggal di kediaman berstrata.
“Ramai orang tinggal di kediaman seperti flat dan apartmen pada masa ini, jadi ia membolehkan mereka melihat kereta mereka dari atas rumah sahaja, berbanding menggunakan sarung penutup berwarna hitam.
“Ini kerana, sesetengah mereka risau kenderaan diparkir di bawah rumah, lebih-lebih lagi jika kereta jarang digunakan. Dengan adanya sarung lut sinar, ia memberi sedikit kelegaan kepada mereka kerana boleh melihat kereta dari jauh,” katanya.
Mohd Jais turut menyifatkan sarung itu sangat sesuai bagi mereka yang amat menitikberatkan kereta, supaya kenderaan kelihatan cantik dan terjaga.
Pekerja swasta, Amira Rosli berkata, dia berminat dengan sarung penutup kereta lut sinar kerana kelainannya.
“Sarung lut sinar ini nampak lebih moden dan trendy pada masa ini. Bila pakai sarung penutup kereta jenis ini, kereta saya nampak lebih kemas dan cantik. Jika ada orang datang ke rumah, mereka akan lihat kereta saya sudah ‘mekap’.
“Selain itu, ia juga dapat melindungi kereta saya daripada habuk dan debu sebab kadang kala, bila kita balik kampung dan tinggal kereta di rumah, kereta masih lagi bersih sebab ada sarung penutup ini,” katanya.

Permintaan tinggi
Sementara itu, peniaga sarung penutup kereta lut sinar menerusi AZ Reno Enterprise, Abdul Aziz Che Nordin berkata, produk itu dijual di Malaysia bermula tahun ini, tetapi ia sudah lama popular di luar negara seperti di Jepun dan China.
“Saya lihat tidak ramai yang menjual produk ini, mungkin kerana masih baru di pasaran negara ini.  Namun, saya memilih menjualnya kerana ia memberi kelainan dalam penjagaan kereta,” katanya yang menjual secara separuh masa.
Sejak mula menjual sarung penutup kereta lut sinar Ogos lalu, Abdul Aziz berkata, 100 unit terjual seminggu dengan pendapatan kasar mencecah RM6,000.
“Pada awalnya, saya hanya membeli sarung penutup lut sinar untuk dipakai sendiri. Saya sengaja tempah lebih untuk mencuba pasaran menerusi Facebook.
“Bila saya berkongsi mengenai produk itu dalam kumpulan, ramai yang berminat,” ujarnya.
Katanya, antara kelebihan sarung penutup kereta lut sinar itu adalah ia mudah dilipat.
“Saya jual pada harga antara RM50 dan RM80, bergantung kepada saiz, dari saiz S hingga XL.
“Saya jual pada harga yang murah daripada pasaran kerana saya tempah dalam stok yang banyak dan tidak melalui ejen,” katanya yang menjual sarung penutup kereta lut sinar di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya
.