Wednesday, December 21, 2016

Penyanyi Muda Harus Berani Tonjol Diri Peringkat Dunia - Yuna



Yuna anggap 2016 tahun terbaik.
PETALING JAYA: Penyanyi Yuna berharap penghargaan kali kedua yang diterimanya menerusi Anugerah Kembara dalam Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) dapat memberi semangat kepada pemuzik lain untuk berkarya di luar negara.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, berkata, dia berharap lebih ramai penyanyi muda memberanikan diri untuk kembara di negara lain dan menonjolkan diri kepada dunia.

"Ini Anugerah Kembara kedua saya terima yang membuatkan saya gembira dan terkejut, namun saya berterima kasih kerana menghargai kerja yang saya lakukan.

"Saya tak nak saya sahaja yang dapat anugerah ini dengan kejayaan ini, harap ia memberi semangat kepada orang lain terutama golongan muda untuk mencuba nasib kembara di negara lain. Anda perlu beranikan diri dan jangan takut tentang persepsi negatif orang lain," ujarya.

Yuna terima Anugerah Kembara atas pencapaiannya di Amerika Syarikat.

Yuna ditemui pada sidang media AIM22 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Ahad.

Penyanyi lagu Crush itu pernah menerima Anugerah Kembara pada AIM18.

Sementara itu, Yuna turut menganggap sepanjang 2016 merupakan tahun terbaik buat dirinya apabila album Chapters tersenarai 10 album R&B terbaik oleh carta Billboard.

Manakala lagu nyanyiannya, On Ghost Ridge antara 91 lagu yang disenaraikan oleh Academy of Motion Pictures Arts and Sciences yang bakal dipertandingkan di Anugerah Oskar 2017.

"Ini adalah tahun yang orang boleh nampak apa yang saya lakukan selama ini, jika tahun-tahun sebelum ini hanya tentang perancangan saya sahaja.

"Kesabaran saya dalam menghasilkan sesuatu produk yang berkualiti akhirnya membuahkan hasil dan membuka mata banyak pihak," ujarnya.

Tambah Yuna, lagu On Ghost Right yang menjadi lagu tema untuk filem dokumentari filem 100 Years: One Woman's Fight For Justice merupakan projek yang datang secara tiba-tiba.

Katanya, dia terharu apabila pihak pengarah filem itu berkenan dengan suaranya untuk menyanyikan lagu tema filem kisah benar itu.

"Saya sendiri baru tahu tentang perjuangan masyarakat pribumi di Amerika Syarikat selepas terlibat dengan projek ini. Mereka menawarkan saya untuk menyanyi lagu ini kerna pengarah filem itu sukakan suara saya.

"Dia hanya mahu saya sahaja yang menyanyikan lagu itu, ia satu penghargaan buat saya kerana dapat membantu mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: