Wednesday, December 21, 2016

Latihan Muay Thai Mungkin Punca Ketumbuhan Tangan Elizabeth Tan



Elizabeth Tan hadir pada malam Anugerah Industri Muzik ke 22 (AIM22) pada Ahad lalu dengan keadaan tangan berbalut. 
PETALING JAYA: Penyanyi Elizabeth Tan berkata, ketumbuhan di tangan kirinya sehingga memaksa pembedahan kecil dilakukan mungkin berpunca akibat kecederaan ketika terlibat dalam latihan Muay Thai hujung tahun lalu.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, 23, berkata, kecederaan itu memberi kesan pada bahagian dalaman tangannya yang barangkali menjadi punca berlaku ketumbuhan kecil.

"Selama menjalani latihan itu kira-kira dua bulan, ada berlaku kecederaan di tangan saya sehingga memberi kesan dalaman dan berlakunya ketumbuhan sehingga ia terpaksa dibedah,” katanya.
Elizabeth menjalani pembedahan kecil membuat ketumbuhan itu di sebuah pusat perubatan pada 13 Disember lalu.

Katanya, ketumbuan itu terpaksa dibuang kerana ia semakin membesar dan bimbang akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.

Tangan kiri Elizabeth Tan masih kelihatan lebam dan terpaksa dibalut.

"Saya mula perasan dengan ketumbuhan ini pada awal tahun lalu dan ia dilihat semakin membesar sehingga jelas dilihat ketika di dalam gambar dan video sekiranya terlibat dalam sesi penggambaran.

"Bimbang ia memudaratkan selain membuatkan saya kurang berkeyakinan berhadapan dengan orang ramai, saya jalani satu pembedahan kecil untuk membuangnya.

"Mujurlah tidak sakit tetapi saya difahamkan ianya akan meninggalkan sedikit kesan parut. Tak apalah… asalkan semuanya selamat," katanya.

Dalam perkembangan seninya pula, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu 'Knock Knock' ini berkata, ketika ini dia hanya memberi fokus untuk persiapan Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) pada 22 Januari depan.

"Saya akan bertanding menerusi lagu 'Setia' bersama Awi Rafael di AJL31 di mana mengikut urutan persembahan, kami mendapat kedudukan keempat daripada 12 buah lagu bertanding,” katanya.

Tambahnya, setiap lagu yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri dan untuk lagu 'Setia', dia akan cuba berikan yang terbaik sekalipun mengakui agak gementar  untuk beraksi di pentas berprestij itu.

Selain itu, dia juga merancang untuk tampil dengan sebuah single terbaru Febuari tahun hadapan namun masih belum mempunyai karya yang sesuai untuk diketengahkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: