Saturday, November 14, 2009

Yusry, Hawa 'tenaga' baru Suria FM


Yusry dan Hawa


PATAH tumbuh, hilang berganti. Pepatah tersebut bagaikan menterjemah hakikat yang sedang dialami oleh stesen radio yang semakin mendapat perhatian, Suria FM ketika ini.

Ia bermula apabila tunggak utamanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang mengambil keputusan mengundurkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi di stesen berkenaan baru-baru ini.

Engku Emran yang mengundurkan diri daripada stesen berkenaan mula menggalas tanggungjawab baru sebagai Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita di Bernama TV mulai Isnin lalu (9 November).

Mengambil 'kerusi' yang ditinggalkan oleh Engku Emran, Yusry Abu Samah yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Penyiaran di stesen berkenaan bukanlah individu yang boleh diremehkan kebolehannya.

Ini kerana, Yusry sendiri sebelum ini pernah mengumpul lima tahun pengalaman ketika bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM), enam tahun bersama radio Red FM dan pernah berkhidmat di radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebelum berhijrah ke Suria FM pada Mei 2005.

Mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi di stesen berkenaan bukanlah sesuatu yang begitu mencabar memandangkan pengalaman yang pernah dikumpul sebelum ini bukan sedikit.

Malah, bersama Engku Emran sebelum ini, Yusry turut sama berbincang dan merencana perjalanan operasi Suria FM.

"Kami di Suria FM sebenarnya agak sedih apabila Engku Emran pergi meninggalkan stesen ini. Sebab terlalu banyak perubahan yang telah dilakukannya terhadap stesen ini.

"Tetapi itu sudah rezeki dia mendapat tawaran yang lebih baik. Kita kalau boleh memang tak mahu Engku Emran keluar dari stesen ini dan kita juga telah berbincang beberapa kali dengannya sebelum ini.

"Buat masa ini, saya mengambil alih tempat Engku Emran manakala Hawa, sebagai Pengarah Rancangan Suria FM menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Shubi.

"Bagaimanapun, kita akan cuba mantapkan lagi Suria FM dari segi kandungan rancangan dan juga pengurusannya. Kita akan teruskan apa yang telah Engku Emran lakukan sebelum ini," kata Yusry.

Tidak mahu Suria FM kekal di takuk lama, pelbagai perubahan bakal dilakukan oleh pihak pengurusan stesen berkenaan demi memastikan kandungan rancangan yang ke udarakan selari dengan peredaran semasa.

"Saya rasa dari segi program, kita tidak boleh kekal dengan rancangan-rancangan yang sedia ada sebab untuk bersaing dengan radio-radio lain kita perlu lakukan perubahan.

"Buat masa ini, kita akan kekalkan mana-mana rancangan yang baik, dan kita sedang dalam proses melakukan kajian dengan melantik beberapa badan bertauliah untuk lebih fokus dalam mengetahui minat pendengar terhadap lagu-lagu dan juga kandungan rancangan yang mereka mahukan," kata Yusry lagi.

Hawa pilihan terbaik

Bercerita tentang Hawa atau nama sebenarnya, Hawa Abdul Hamid, kata Yusry, itu adalah pilihan terbaik untuk Suria FM memandangkan Hawa pernah berkhidmat di beberapa buah stesen radio sebelum ini termasuk Era FM dan Fly FM.

"Saya baru menyertai Suria FM awal November lalu dan ternyata saya amat teruja untuk berkhidmat dan melakukan pelbagai perubahan untuk Suria FM.

"Banyak juga perbincangan dan perjumpaan yang saya lakukan bersama kakitangan Suria FM dan juga pihak pengurusan dalam merancang perubahan yang bakal dilakukan.

"Saya diperkenalkan kepada Suria FM melalui Yusry, dan apa yang membuatkan saya tertarik menyertai Suria FM ialah melihat kepada potensinya yang boleh pergi lebih jauh serta jumlah pendengar yang semakin meningkat," kata Hawa.

Menurutnya, pada 24 November, stesen berkenaan bakal menyambut ulang tahun kedua beroperasi secara rasmi di negara ini.

"Kita akan raikan ulang tahun di studio kami sendiri dan sepanjang hari, penyampai kami akan bersiaran bersama selebriti jemputan dan juga pihak penaja yang sebelum ini pernah membantu Suria FM.

"Bukan itu sahaja, pada Disember ini, kita akan mulakan sesi jelajah Suria FM ke seluruh negara," katanya.

Stompin Sabah

Menjelang sambutan tahun baru buat kali pertamanya Contagious Concepts membawakan pesta muzik, Stompin Sabah yang bakal berlangsung di Jesselton Point, Kota Kinabalu pada 31 Disember ini.

Selain disertai pemuzik tempatan, beberapa pemuzik daripada negara jiran termasuk Singapura danBrunei.

Sebagai radio rasmi, Suria FM menganjurkan sebuah peraduan untuk para pendengar setia mereka bagi memenangi sepasang tiket menyaksikan acara tersebut.

Di samping itu, tiket penerbangan pergi balik serta penginapan turut diberikan secara percuma.

Berlangsung selama dua minggu bermula 2 November lalu, pendengar hanya perlu merakam bakat stompin mereka dan dihantarkan ke laman stompinsabah@suriafm.com.my.

Mereka yang berminat juga boleh mendengar Suria FM bagi mengetahui lebih lanjut untuk menyertai peraduan tersebut ketika ke udara.

Kemuncak acara ini adalah pertempuran dram oleh projek Pistol yang terdiri daripada pemuzik terkenal tempatan iaitu Edrie Hashim, Lola, Zam dan Moq.

Tiket-tiket untuk menyaksikan pesta tersebut boleh didapati di pintu masuk Jesselton Point, Kota Kinabalu, Sabah bermula 21 Disember hingga 31 Disember ini dari pukul 11 pagi hingga 8 malam pada harga RM30 dan RM130.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: