Saturday, November 14, 2009

Lembaran baru Zhang Ziyi


KETIKA menikmati keindahan alam di salah sebuah gurun di Asia Barat.


MUNGKIN bidang lakonan bukanlah satu perkara yang sukar bagi aktres jelita kelahiran Beijing, China ini.

Kerana bagi Zhang Ziyi, skrip dijadikan sebagai panduan untuk menyelami dan menjiwai watak yang diberikan selain daripada tunjuk ajar daripada pengarah.

Lantas, ia merupakan proses yang dianggap sebagai mudah untuk dilakukan.

Tetapi, sewaktu ditawarkan untuk menjadi hos bagi dokumentari Zhang Ziyi Travel Series, pelakon berusia 30 tahun ini menyifatkan ia merupakan satu pengalaman yang cukup berbeza berbanding lakonan.

Malah, Zhang juga tidak segan-silu menyatakan cabarannya juga lebih tinggi dan tidak semudah yang disangka kerana rancangan yang dikendalikannya adalah tentang kehidupan haiwan dan alam semula jadi.

Sudah pasti, kata Zhang, ia benar-benar menguji kredibilitinya sebagai seorang aktres yang cuba mengorak langkah untuk menjadi hos sesebuah rancangan.

"Saya perlu menemuramah orang dari latar belakang dan karier yang berbeza dan ia merupakan perkara baru yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.

"Dan, bicara saya adalah tentang alam semula jadi dan hidupan liar yang begitu asing bagi saya sebagai seorang aktres.

"Untuk itu, kami perlu sediakan soalan dan topik yang hendak dibincangkan sepanjang proses penggambaran dokumentari ini," katanya yang menjalani penggambaran selama setahun untuk projek ini.

Zhang Ziyi Travel Series merupakan projek khas yang diterbitkan dengan kerjasama saluran National Geographic dan Shangri-La Hotels and Resort yang mana Zhang merupakan duta untuk rangkaian hotel terkemuka dunia itu.

Khusus buat penonton Malaysia, program ini akan mula bersiaran malam ini (14 November) pukul 10 malam secara eksklusif menerusi saluran National Geographic (saluran 553, Astro) untuk dua episod sahaja.

Episod pertamanya, Zhang Ziyi's Oman akan mempertontonkan pengembaraan Zhang ke Oman yang akan menyelami budaya, adat, seni dan kegiatan rakyat di sana.

Bukan itu sahaja, Zhang juga berpeluang melihat sendiri proses penyu bertelur di salah sebuah pantai di sana.

Bagi episod kedua , Zhang Ziyi's Inner Mongolia pula akan menyaksikan bagaimana Zhang dan pasukannya menjalani sesi fotografi fesyen untuk jenama-jenama mewah seperti Gucci, D&G, Hermes, Dries van Noten, Helmut Lang, Armani, Prada dan Marc Jacobs.

Menerusi episod ini, penonton akan dapat melihat bagaimana Zhang dan jurufoto terkemuka dunia kelahiran China, Yu Tsai menyelusuri daerah-daerah menarik di Mongolia untuk sesi fotografi ini.

Selain itu, Zhang juga akan memperagakan rekaan terbaru pereka fesyen yang semakin meningkat naik, Jason Wu.

Kalau ada yang masih ingat, gaun yang dipakai oleh Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama sewaktu majlis tari-menari perdana sempena pelantikan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat, ia merupakan gaun rekaan Jason.

Menyambung bicara, Zhang juga mengakui bahasa merupakan kekangan utama untuknya sewaktu penggambaran rancangan tersebut.

Biarpun kurang fasih berbahasa Inggeris, Zhang tidak melihatnya sebagai satu masalah untuk meneruskan projek khas yang dianggapnya cukup istimewa ini.

"Mungkin ada pihak yang akan mengatakan adalah lebih baik saya berkomunikasi di dalam bahasa Cina sahaja tetapi bagi saya, itu adalah lebih sukar.

"Ini kerana perkara yang dibincangkan itu bukan topik perbualan harian yang senang untuk berkomunikasi dalam bahasa ibunda.

"Tetapi, proses penggambaran dokumentari ini bagi saya sebenarnya telah memberi satu pengalaman baru buat saya sekali gus mengubah persepsi saya terhadap pemuliharaan alam semula jadi," ujar Zhang yang mula menempa nama di Hollywood selepas kejayaan filem Crouching Tiger, Hidden Dragon arahan Ang Lee pada tahun 2000.

Tambahnya, kini dia mencuba sedaya upaya untuk mencari masa meneroka dan lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Baginya, pemuliharaan boleh dilakukan dan dipelajari dari pelbagai aspek dan perspektif yang berbeza.

"Kuasa artis dan selebriti memang cukup besar dalam menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi mendidik masyarakat tentang isu penting seperti ini.

"Kerana adanya pengaruh daripada mereka kita dapat melihat bagaimana pandangan itu mula berubah," ujarnya yang pernah membintangi filem Memoirs Of A Geisha bersama Datuk Michelle Yeoh dan Gong Li empat tahun lalu.

Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh bekas graduan Central Academy of Drama, China ini apabila berpeluang menyaksikan sendiri kehidupan ikan lumba-lumba sewaktu di Oman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: