Saturday, November 14, 2009

Sukan paling bahaya

TIDAK ada kajian yang mengklasifikasikan tahap bahaya dalam sesuatu acara sukan secara terperinci cuma umum mengetahui hampir kesemua sukan mempunyai risiko yang tersendiri.

Sukan seperti bola sepak, angkat berat, lompat galah dan boling padang juga tersenarai antara sukan yang mudah mendatangkan kecederaan kepada pemainnya.

Namun risiko yang dihadapi atlet dalam acara berkenaan tidak sehebat yang dihadapi segelintir pengamal sukan paling ekstrem yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kepuasan yang dikatakan pada tahap maksimum.

Sukan ekstrem bukan sahaja melibatkan kepantasan, ketinggian dan kelasakan anggota badan bahkan memerlukan kemahiran dan keberanian yang hanya dimiliki oleh segelintir atlet.

Berikut adalah sebahagian daripada sukan-sukan yang dikenalpasti sebagai paling berbahaya di dunia selain terjun payung, menunggang lembu, moto X, ski dan rali bermotosikal.


Downhill


Downhill

Walaupun ada pepatah mengatakan 'semudah mengayuh basikal', sukan berbasikal kini sudah jauh berevolusi terutama selepas pengenalan mountain bike.

Acara turun bukit atau lebih dikenali sebagai downhill merupakan disiplin paling ekstrem dalam sukan basikal yang jelas dilihat daripada pemakaian alat perlindungan pada badan penunggang kategori itu.

Di dalam pertandingan downhill profesional, pelumba akan meluncur laju dari puncak bukit dengan melalui pelbagai halangan termasuk lompatan dari ketinggian melebihi 10 meter.

Walaupun menggunakan basikal berketahanan tinggi, atlet seringkali terdedah kepada kemalangan akibat kegagalan mengawal kelajuan di laluan berbatu dan lereng bukit.


Selaman Gua


Selaman Gua

Jika 'penyelam skuba biasa' terdedah dengan penyakit penyahmampatan (DCS) yang boleh memecahkan paru-paru dan menggagalkan fungsi otak, bayangkan cabaran yang dihadapi penyelam ketika menjelajah gua di bawah air.

Dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada cahaya lampu, penyelam terdedah kepada risiko sesat akibat kecelaruan arah kompas, kegelapan, kemerosotan bekalan udara secara mendadak dan juga ancaman spesies berbisa.

Berdasarkan rekod terkumpul di Florida, Mexico dan Kepulauan Caribbean, aktiviti yang diperkenalkan sejak 1960 itu sehingga kini mengorbankan lebih daripada 500 orang penyelam.


Panjat Batu


Panjat Batu

Dianggarkan 20 kematian membabitkan pendaki tebing batu di Amerika Syarikat setiap tahun yang menjadikan sukan ini sukan ekstrem kategori lima dalam terma syarikat insurans.

Cabaran bukan sahaja ketika mendaki malah 'perjalanan' untuk turun semula kadang-kala boleh menjadi jauh lebih berbahaya. Malah di pergunungan yang terlalu tinggi, pendaki kadang-kala terpaksa tidur dengan cara 'berkhemah' pada dinding batu dengan menggunakan kelengkapan yang minimum.

Pada ketinggian beribu-ribu kaki, pendaki terdedah kepada pelbagai jenis kemalangan seperti tergelincir, terhantuk, terseliuh, kekejangan otot dan juga hipertermia. Kebanyakan kes yang melibatkan kematian adalah ekoran daripada kesukaran untuk menyalurkan bantuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: