|
|
HARUS diakui, tahun 2009 merupakan tahun yang cukup mencabar bagi semua sektor di negara ini. Konglomerat media terkemuka di Asia, Media Prima Berhad (MPB) juga tidak terkecuali apabila perlu berhadapan cabaran dalam menawarkan pilihan terbaik buat penonton mereka.
Namun, semua itu disahut sebaiknya oleh mereka dan MPB terus mengukuhkan pengaruh mereka apabila menguasai pasaran penontonan rakyat di negara ini dengan 49 peratus.
Semuanya hasil gabungan empat stesen televisyennya iaitu TV3, TV9, ntv7 dan 8TV.
MPB juga berjaya mendominasi segmen penonton Melayu dan kanan-kanak empat tahun ke atas dengan 55 peratus.
TV3 terus menjadi stesen televisyen nombor satu negara dan diikuti dengan TV9 sebagai stesen nombor dua yang paling ramai penontonnya.
Malah, gabungan mantap ntv7 dan 8TV juga berjaya mengukir kejayaan apabila mendominasi penonton Cina di negara ini dengan 21.5 dan 18.9 peratus.
Kejayaan yang dilakar MPB itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana mengenali MPB, sememangnya mereka jarang sekali mengecewakan penonton setia mereka dengan rangkaian program yang ditawarkan.
Harus diakui, keempat-empat stesen televisyen ini memiliki pendekatan yang berbeza untuk menarik perhatian penonton menerusi rancangan yang ditawarkan dalam setiap stesen.
Maka dengan itu, MPB telah pun menyenaraikan program yang cukup hebat dan menarik khusus buat penonton setia mereka sepanjang tahun 2010 dalam usaha untuk terus mengukuhkan lagi kedudukan dan pengaruh mereka.
Bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini, MPB telah menganjurkan Media Prima Television Network Screenings 2010 di hadapan lebih 1,500 orang tetamu yang terdiri daripada pengiklan, penaja, pelanggan korporat, media dan selebriti.
Daripada senarai yang dikeluarkan, ternyata MPB menyajikan rangkaian program yang mampu menarik perhatian penonton setia MPB.
Namun, untuk memberikan yang terbaik kepada penonton bukan satu tugas yang mudah kerana semuanya memerlukan semangat dan keyakinan yang tinggi.
Bukan itu sahaja, pelbagai perancangan juga telah diatur oleh kesemua stesen televisyen MPB dalam memastikan pengaruh mereka terus kuat sekali gus mendominasi pasaran penonton di negara ini.
Empat wanita besi yang mewakili setiap stesen televisyen MPB pada sidang media sejurus selepas berakhirnya Media Prima Television Network Screenings 2010, masing-masing mengakui, bukan mudah untuk memilih barisan program yang berkualiti demi kepuasan penonton.
Mereka yang dimaksudkan ialah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar; Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim; Ketua Pengurusan Jenama TV9, Rozaina Zainul Abidin; dan Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.
"Apa yang penting, kami mengkaji dan mengetahui selera penonton sebelum memberikan santapan terbaik untuk mereka.
"Kami membuat penelitian dan kajian secara menyeluruh bagi memastikan penonton terus setia bersama kami," kata Nurul Aini.
Tambahnya, pembahagian kandungan rancangan untuk TV3 meliputi 60 peratus untuk kandungan tempatan manakala selebihnya adalah rancangan import.
Dengan itu, katanya, TV3 akan terus bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan dalam menghasilkan produk tempatan yang berkualiti biarpun masih lagi dicengkam dengan kegawatan.
"Keempat-empat stesen televisyen sentiasa memerah otak untuk mencari idea yang baru dan terbaik dalam menyajikan program menarik khusus buat penonton kami.
"Bagi TV3, kami akan terus mempelbagaikan barisan program kami khususnya untuk memenuhi 80 peratus pengisian program-program baru untuk tayangan waktu perdana," ujarnya yang optimis dengan program yang disediakan oleh TV3 untuk sepanjang tahun 2010.
Slot-slot popular seperti Seram, Lestary dan Samarinda akan terus memperkukuhkan kedudukannya apabila drama-drama seperti Jangan Tegur Lagi, Iblis, Kolej Mania, Suraya, Nigina dan Asmara akan ditayangkan tahun depan.
Tidak cukup dengan itu, TV3 juga akan menampilkan drama bersiri purba, Arjuna (sarat dengan elemen CGI) yang pasti akan menarik perhatian penonton.
Slot Senda Pagi yang mula diperkenalkan tahun ini diteruskan dengan rancangan-rancangan menarik seperti Sarjan Saji, Hati Ke Hati, Seri, Kecik Ku Cak dan Cerita Cinta.
Program realiti seperti Malaysian Top Host, Soccer Kids 2 dan Mentor 4 juga akan kembali selain rancangan berbentuk serius dan berat seperti K.E.S (Kes Enakmen Sensasi) dan Dari Lapangan.
Lebih menarik lagi, pelakon jelita, Maya Karin akan menerajui rancangan wanita popular, Nona tahun depan.
"Pemilihan Maya adalah sebagai satu langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan Nona dan soal tidak yakin dengan bakat baru tidak timbul.
"Kami melakukan kajian terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memilih Maya sebagai pengacara baru Nona.
"Mereka yang sedia ada akan terus dikekalkan dan diserapkan ke rancangan wanita lain," jelas Nurul Aini mengenai rasional pemilihan Maya.
Selain itu juga, Nurul Aini memberitahu, keempat-empat stesen juga meraih kejayaan yang luar biasa menerusi servis catch-up TV iaitu televisyen Internet.
Ternyata revolusi ini berjaya mengubah senario industri penyiaran negara apabila MPB memperolehi tontonan lebih daripada 26 juta penonton dan 85 juta pelayar laman web tersebut.
Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan drama popular, Nur Kasih yang mencatatkan 28 juta penonton menerusi servis berkenaan.
Sementara itu, Airin dan Swee Kim turut ditanya tentang pembahagian program untuk saluran masing-masing khususnya program import dari Hollywood dan Hong Kong.
Kata Airin, ntv7 dan 8TV mempunyai pengikut dan sasaran penonton yang berbeza dan untuk itu, mereka harus melihat rancangan yang sesuai untuk tontonan penonton setia mereka.
"Kami harus mencari rancangan terbaik yang memiliki rating tertinggi sewaktu ditayangkan di negara masing-masing dan tersenarai dalam carta 10 program yang paling ramai ditonton.
"Daripada situ, kami mengkaji dari segi jalan cerita dan pendekatan lain sama ada sesuai untuk ditayangkan di saluran kami," ujarnya yang memberitahu ntv7 akan memperkenalkan anugerah hiburan TV Cina pertama iaitu The Golden Awards.
Program lain yang akan mewarnai ntv7 ialah Phua Chu Kang Sdn. Bhd., Celebrity Karaoke, Hartamas, Private Practice, Grey's Anatomy, Lie To Me dan The Mentalist.
Sementara itu, program baru seperti Eastwick, V, Glee, Drop Dead Diva, The Deep End dan 100 Questions pastinya akan menarik perhatian peminat siri televisyen antarabangsa.
Swee Kim pula berpendapat, kandungan program 8TV untuk tahun 2010 mampu mengukuhkan lagi kedudukan apabila majoriti program importnya merupakan kali pertama ditayangkan di negara ini.
Katanya, program-program yang dipilih semuanya menepati penonton sasaran 8TV dari 15 hingga 29 tahun.
"8TV banyak berkompromi dengan ntv7 dalam soal pembelian program dan apa yang penting memajukan stesen masing-masing dengan rangkaian program yang ada.
"Kami juga mahu meluaskan pengaruh kami menerusi medium yang lain seperti Internet dan telefon bimbit dalam memastikan saluran kami sampai kepada semua masyarakat," katanya yang juga teruja dengan penghasilan drama tempatan bercorak sains fiksyen berjudul Butterfly S yang pertama kali dihasilkan untuk stesen itu.
8TV juga berjaya mendapat hak tayangan eksklusif kali pertama untuk rancangan-rancangan seperti The Vampire Diaries, Flash Forward, Past Life, NCIS: Los Angeles dan 10 Things I Hate About You.
Program tempatan lain yang akan ditayangkan di saluran itu ialah Showdown 2010, Welcome To The Rail World, Without Boundaries, Whack It! dan Kami.
Sebagai 'adik bongsu', TV9 juga tidak terkecuali dan untuk tahun 2010, stesen itu akan memberikan tumpuan untuk meraih perhatian penonton muda Melayu tanpa melupakan penonton setia yang sedia ada.
Kata Rozaina, TV9 juga akan mengubah strategi dari segi kandungannya agar ia lebih fokus dan tidak bercampur-aduk.
"Pembahagian kandungan itu akan tetap menepati golongan sasaran kami selain daripada mencari penonton baru.
"Kami sedar bahawa ada juga beberapa stesen televisyen yang mempunyai pendekatan yang sama seperti kami.
"Maka dengan itu, kami akan mengubah sedikit kedudukan program kami dalam usaha untuk terus memantapkan kedudukan kami," ujarnya yang memberitahu TV9 akan tampil dengan program realiti Jaguh khusus untuk mencari pemain badminton pelapis negara.
Selain itu, rancangan Alahai Fafau, Ting Tong, I-Style, Mantera, Berita Hangit, 2X5, Londeh dan Mangkuk Tingkat juga antara santapan baru di TV9.
Rancangan-rancangan seperti Akademi Polis, Studio Nabil, Galaksi, Semanis Kurma, Gadis Melayu 3, Idola Kecil 2 dan Akademi Al-Quran juga akan kembali ke TV9.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: