Wednesday, November 4, 2009

Cara terbaik promosi Malaysia


DEANNA (duduk enam dari kiri) bersama para pelajar Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat.


"ORANG Amerika sangat teruja apabila mendengar nama Malaysia. Sebut sahaja Malaysia, mereka akan membayangkan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur sambil memuji seni bina kedua-dua bangunan tersebut.

"Itupun selepas mereka diberitahu mengenai kecanggihan dan kepesatan Malaysia menerusi buku yang dibawa dari sini. Jika tidak, hampir 80 peratus daripada mereka tidak tahu kewujudan negara kita di dalam peta,"luah pelajar yang mengikuti program AFS (American Field Service) Antarabudaya Malaysia, Deanna Anuar, 17, mengenai pandangan golongan remaja Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini.

Bukan itu sahaja, segelintir daripada rakan-rakannya di sana tidak mengetahui bahawa Malaysia mempunyai penduduk pelbagai bangsa. Mereka sebaliknya menganggap Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Menyedari itu, Deanna mengambil pendekatan serius dengan membawa sebuah buku mengenai Malaysia pada setiap masa. Sama ada di sekolahnya, Logan High School, Ohio mahupun di rumah, dia menjadikan buku sebagai medium penyebaran maklumat.

Diberi masa enam bulan untuk tinggal bersama keluarga angkat di Logan, Ohio, Deanna, berkata, dia sentiasa mengamalkan konsep saling bertukar pendapat dengan mereka.

Selain memperkenalkan kemakmuran dan kecanggihan Malaysia, cara lain yang digunakan Deanna untuk mempromosikan negaranya adalah dengan bertukar-tukar bahasa.

"Mereka berminat untuk mempelajari bahasa Malaysia. Saya mengajar mereka dengan penggunaan perkataan mudah seperti 'apa khabar', 'cantik', 'makan' dan 'selamat'.

"Bukan itu sahaja, saya ajar mereka tulisan jawi, misalnya mengeja nama mereka," kata anak bongsu daripada enam beradik itu. Selain itu, katanya, mereka lebih gemar bertanyakan tentang keluarga diraja Malaysia.

Baru sahaja menghabiskan program AFS pada Julai lalu, Deanna berkata, walaupun terdapat banyak perbezaan budaya, namun dia begitu bersemangat memperkenalkan tanah airnya secara mendalam.

Semangat anak gadis itu untuk mempromosikan Malaysia kepada orang luar harus dipuji. Bayangkan, dia sanggup membawa bahan-bahan masakan seperti rempah-ratus termasuk perencah kari dan kunyit semata-mata ingin memperkenalkan masakan tradisi Malaysia.

Pernah suatu ketika, keluarga angkatnya mengadakan jamuan makan bersama saudara-mara. Deanna mengambil peluang itu untuk menyediakan masakan Melayu seperti nasi goreng dan kari ayam.


IBU angkat Deanna, Sherrie (kiri), adik angkat, Emma (tengah) dan bapa angkat Gim Mcauley.


"Saya berpuas hati dapat menyajikan menu Malaysia walaupun mereka tidak dapat menghabiskannya kerana pedas," ujarnya.

Tambah Deanna, sepanjang bersekolah di sana, dia pernah mengadakan kuiz kenali Malaysia. Misalnya, kuiz mengenai destinasi pelancongan menarik seperti Kuala Lumpur, Pulau Tioman, Pulau Langkawi dan banyak lagi.

"Lucu juga apabila mendengar dialek Melayu mereka. Pada mulanya, pertuturan bahasa Melayu mereka kedengaran agak pelik, tetapi saya lihat banyak perubahan dari sehari ke sehari," jelasnya

Seorang lagi pelajar yang mengikuti program AFS ke Nagoya, Jepun, Lee Ching Leng, 23, memberitahu, masih ramai masyarakat di sana tidak mengenali Malaysia. Lebih-lebih lagi keluarga angkatnya.

Pada mulanya, mereka beranggapan bahawa Malaysia negara yang lemah dalam dunia teknologi. Mereka menyangka begitu payah untuk mendapatkan sebuah televisyen apatah lagi peralatan elektronik lain di Malaysia.

Tanggapan itu dibuat setelah mereka menyedari Ching Leng sentiasa menghabiskan masa menonton televisyen.

Pelajar berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Undang-Undang itu berkata, kesukaran berkomunikasi dengan keluarga angkat membuatkan dia lebih gemar menonton televisyen.

"Adakah penduduk Malaysia masih hidup secara pindah-randah dan benarkah di sana (Malaysia) susah untuk mendapatkan sehelai pakaian?" soal ibu bapa angkatnya.

Soalan itu mencabar dirinya untuk memperkenalkan Malaysia menerusi Internet. "Pada mulanya, riak wajah mereka seperti tidak percaya melihat kecanggihan yang terdapat di Malaysia. Akhirnya mereka menyedari akan kemakmuran yang dicapai negara kita," ujar Ching Leng.

Berhadapan dengan masalah bahasa, anak kelahiran Klang, Selangor itu terpaksa menggunakan bahasa badan untuk berkomunikasi dengan keluarga angkatnya itu.

Justeru, ketika menceritakan cara hidup penduduk Malaysia, dia berusaha menunjukkan bagaimana hendak membezakan orang Melayu, India dan Cina.

"Saya terpaksa menari tarian ketiga-tiga bangsa. Walaupun tiada pengalaman dalam tarian tetapi itulah jalan terakhir saya untuk memberitahu mereka," katanya yang berpuas hati melihat pandangan positif masyarakat Jepun mengenai pencapaian Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: