Wednesday, November 4, 2009

Mencungkil bakat bukan Melayu


Jumat Engson (dua dari kanan) bersama Pengawal Radio Minnal FM, B. Parthasarathee (kiri), Pengawal Radio Ai FM, Lee Woo Sioh (dua dari kiri) dan Jack Nadarajah.


SEJAJAR dengan hasrat kerajaan seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berpandukan konsep 1Malaysia, Radio Televisyen Malaysia menerusi rangkaian radionya, Ai FM dan Minnal FM bakal menganjurkan pertandingan Bintang Ai Minnal.

Menariknya, pertandingan yang julung kali diadakan itu adalah bagi mencungkil bakat-bakat nyanyian yang terdiri daripada bangsa Cina dan India yang mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu dengan baik.

Uji bakat pertandingan tersebut bakal bermula pada 7 November ini di RTM Melaka dan RTM Pulau Pinang pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan untuk pertandingan tersebut berupa wang tunai RM20,000 (johan), RM15,000 (naib johan) dan RM10,000 untuk tempat ketiga.

Turut diberikan ialah Bintang Popular, RM5,000 serta lima saguhati bernilai RM2,000.

Uji bakat turut diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur dan RTM Pahang pada 14 November ini manakala pada 21 November akan diadakan di RTM Kota Kinabalu, Sabah dan RTM Kuching, Sarawak.

Had umur

Sementara had umur yang ditetapkan bagi mereka yang ingin menyertai pertandingan ini ialah 15 hingga 30 tahun.

Menurut Pengarah Bahagian Program Radio, Datuk Jumat Engson, pertandingan tersebut berbeza dengan mana-mana pertandingan nyanyian yang pernah dianjurkan oleh RTM sebelum ini kerana fokus kepada konsep 1Malaysia.

"Sudah tiba masanya RTM menganjurkan pertandingan sebegini. Selain menyokong hasrat kerajaan, kita juga memperkembangkan lagi bakat-bakat nyanyian daripada bangsa bukan Melayu.

"Pertandingan ini memberi peluang kepada bangsa Cina dan India untuk tampil menunjukkan bakat mereka dalam bidang nyanyian," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Antara nama-nama besar bidang seni suara di kalangan bukan Melayu tanah air ialah Jaclyn Victor, Datuk David Arumugam dan Andre Goh.

Bukan tiada langsung bakat-bakat nyanyian di kalangan bangsa Cina dan India yang mampu menyanyi namun, kata Jumat, untuk mencari mereka yang mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu dengan baik agak sukar.

"Kita tidak membuka pertandingan ini kepada penyanyi bangsa Cina atau India yang telah sedia ada kerana hasrat kita adalah untuk mencungkil bakat daripada mereka yang baru.

"Apa yang kita harapkan, agar usaha ini mendapat sambutan dan sekiranya berjaya, mungkin kita jadikan pertandingan sebegini sebagai acara tahunan," kata Jumat.

Sebelum ini sudah terlalu banyak pertandingan yang dianjurkan oleh RTM.

Bagaimanapun, setelah berjaya menjejaki juara, ke manakah hala tuju yang dapat membawa bakat-bakat tersebut untuk digilap agar lebih bersinar di hari muka?

Sayangnya kerana berbanding pertandingan nyanyian lain yang dianjurkan di negara ini, boleh dikatakan kebanyakan pertandingan anjuran RTM adalah medan terbaik dalam melahirkan penyanyi berbakat besar yang mampu bertahan lama.

Nama-nama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah dan Ramlah Ram ternyata sukar digugat sehingga ke hari ini.

Bukan sahaja dari segi populariti malah, mutu vokal milik mereka belum ada galang gantinya lagi.

"Pemarkahan yang di beri untuk setiap pertandingan anjuran RTM adalah ditetapkan oleh juri profesional yang memang diiktiraf kebolehan mereka dalam menilai bakat seseorang penyanyi malah, hasilnya juga memang sudah tidak boleh dipertikaikan lagi.

"Juri yang kami pilih memang tidak memilih kasih. Jika memilih mereka yang tidak layak bergelar juara sudah tentu penyanyi yang dilahirkan tidak mampu bertahan lama," kata Jumat lagi.

Antara kriteria-kriteria yang bakal dinilai dalam pertandingan itu termasuklah mutu vokal, sebutan, penampilan, persembahan serta lontaran suara.

Sementara itu, Pengarah Hiburan TV, Jack Nadarajah pada sidang media yang sama memberitahu, pertandingan akhir Bintang Ai Minnal bakal diadakan pada 11 April 2010 dan bakal bersiaran secara langsung menerusi TV2.

"Kita akan adakan empat peringkat separuh akhir iaitu pada setiap minggu akan ada tiga peserta Cina dan tiga peserta India dan setiap minggu kita akan pilih seorang peserta Cina dan India untuk bertanding pada peringkat akhir nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: