Masanya sudah tiba untuk Amerika Syarikat menutup pangkalan tenteranya di Okinawa, Jepun.
TERLETAK di bahagian paling selatan di negara Jepun, Okinawa terdiri daripada beberapa buah pulau kecil. Cuacanya amat sesuai untuk pertumbuhan terumbu karang dan hidupan marin seperti dugong. Atas sebab itu, Okinawa sering muncul sebagai lokasi pelancongan yang popular bagi aktiviti menyelam dan selam skuba.
Namun, sejak beberapa hari lalu, bukan perkara itu yang menjadi tajuk berita utama dalam surat khabar di negara Matahari Terbit itu. Media massa tempatan dan seluruh dunia kini menahan debaran menantikan keputusan muktamad yang bakal dicapai antara kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung isu penutupan pangkalan tentera AS di Okinawa. Pangkalan itu berada di bawah pentadbiran AS sehingga tahun 1972 apabila ia dikembalikan kepada Jepun. Obama yang akan melawat Jepun hari ini, dijangka membincangkan isu itu dengan Hatoyama.
Tiga tahun lalu, AS dan Jepun mencapai kata sepakat untuk memindahkan pangkalan tentera itu ke bahagian lain di pulau tersebut. Namun kerajaan baru Jepun mahu pelan itu diubah dan keputusan awal Hatoyama menunjukkan bahawa beliau mahu pangkalan itu ditutup dan tiada kemudahan ketenteraan baru AS dibuka di Okinawa. Sebaliknya, Obama pula mahu kerajaan baru Jepun patuh pada persetujuan awal iaitu pangkalan Okinawa ditutup dan sebagai ganti sebuah kemudahan ketenteraan AS yang baru akan dibuka di Henoko pada tahun 2014. Keputusan yang dicapai kelak bukan sahaja akan menentukan nasib pangkalan tentera tersebut, tetapi ia turut menguji kekuatan perhubungan yang dibina oleh kedua-dua negara bersekutu itu.
Isu itu timbul sebaik sahaja Hatoyama melangkah masuk ke pejabat perdana menteri pada Ogos lalu. Beliau terpaksa mengambil kira pendapat rakyat terutama penduduk Okinawa yang mahu pangkalan itu ditutup dan tiada pangkalan baru dibuka di lokasi lain di pulau itu.
Baru-baru ini, satu tunjuk perasaan diadakan bersebelahan dengan Pangkalan Udara Futenma dekat Ginowan, Okinawa. Kira-kira 21,000 orang menyertai kempen tersebut.
"Saya menggesa Hatoyama supaya memaklumkan kepada Obama bahawa kami tidak mahu pangkalan ini kekal di Okinawa. Kami mahu mengakhiri segala penderitaan dan kesengsaraan yang telah kami lalui selama ini," ujar Datuk Bandar Okinawa, Yoichi Iha yang menerima sokongan padu daripada para penduduknya.
Melihat kemelut yang melanda, ternyata sebarang 'kesilapan' perbincangan akan mencetuskan ketegangan sekali gus menjejaskan hubungan yang hampir 50 tahun telah dijalin.
Desakan penduduk
Apa yang berlaku itu sudah cukup menggambarkan kepentingan menjamin permuafakatan hubungan dua hala Jepun-AS, di samping menjaga 'hati' penduduk Jepun.
Namun, berikutan desakan daripada penduduk setempat di Okinawa dan tekanan daripada kuasa-kuasa besar dunia, Hatoyama berharap keputusan muktamad yang dicapai kelak memuaskan hati kedua-dua pihak.
Jika diimbas kembali, Okinawa adalah pangkalan tentera paling penting bagi AS antara tahun 1965 sehingga 1972. Menjelang tahun 1969, dipercayai terdapat kira-kira 50,000 anggota tentera AS ditempatkan di lokasi strategik itu. Apabila Okinawa dipulangkan kepada Jepun pada tahun 1972, pangkalan itu kekal beroperasi sehingga hari ini.
Berdasarkan statistik terbaru, daripada kira-kira 47,000 tentera AS di bumi Jepun hari ini, separuh daripada jumlah itu ditempatkan di Okinawa. Terdapat kira-kira 90 pangkalan tentera AS di seluruh Jepun kini. Pangkalan-pangkalan itu meliputi satu kawasan yang luas dan 75 peratus daripadanya terletak di Okinawa sahaja.
Lokasi strategik
"Berbanding pangkalan lain, Okinawa menjadi tumpuan utama kerana lokasinya yang begitu strategik untuk mengukuhkan kuasa AS di rantau sebelah timur. Salah satu faktor utama adalah lokasinya yang berdekatan dengan tanah besar China, Taiwan dan Semenanjung Korea," jelas Nicholas Szechenyi dari Pusat Strategi dan Kajian Antarabangsa (CSIS) di Jepun.
"Sekiranya, kita meneliti isu-isu keselamatan yang cuba dimainkan oleh pakatan kuasa besar AS dan Jepun, terutama kemungkinan serangan tentera dari China atau Korea Utara, sudah tentu Okinawa memiliki nilai yang amat tinggi," ujarnya lagi.
Okinawa yang sebelum tahun 1972 diletakkan di bawah pentadbiran AS menyaksikan 'rampasan' tanah secara paksa daripada penduduk. Kebanyakan kawasan penduduk ditukar menjadi tapak pembangunan pangkalan tentera yang didirikan secara besar-besaran.
Seorang guru di sebuah tadika di Ginowan, Okinawa melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan yang dijalankan terutama latihan menggunakan helikopter. Sebagai tanda protes, Michiko Shimoji dengan lantang menggalakkan muridnya supaya mengkritik secara terbuka segala aspek yang melibatkan pembangunan pangkalan tentera AS di situ.
Beliau bersama 70 peratus penduduk Okinawa yang lain, menentang keras dan mahukan pangkalan itu ditutup. "Persoalan yang saya ajukan terus kepada mereka (tentera AS) adalah mengapa murid- murid saya terpaksa menanggung beban bunyi bising dan gangguan lain ketika berada di sekolah.
"Sudah tiba masanya kerajaan Jepun melakukan sesuatu. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya berlaku kejadian jet pejuang terhempas di sekolah," katanya.
Rungutan beliau ada benarnya kerana pada tahun 2004, sebuah helikopter tentera AS terhempas di sebuah kampus universiti di Okinawa. Mujur, tiada kemalangan jiwa berlaku. Begitupun, satu kejadian terkutuk yang berlaku pada 1995, meninggalkan kemarahan dan kebencian penduduk Okinawa terhadap tentera AS sehingga hari ini.
Ia melibatkan kes seorang budak bawah umur dirogol oleh tiga tentera AS. Sekalipun, seorang daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun, namun ramai yang berpendapat bahawa hukuman itu tidak setimpal dengan jenayah seks yang telah dilakukan.
Rentetan daripada kes itu, satu penyelesaian dicapai oleh kedua-dua negara terlibat pada tahun 2006. Dalam perjanjian yang dimeterai itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa Pangkalan Udara Futenma dekat Ginowan, Okinawa akan dipindahkan ke satu lokasi lain di pulau tersebut. Sebagai ganti, sebuah kemudahan tentera yang baru akan dibuka di Henoko, yang terletak di pedalaman Okinawa menjelang tahun 2014.
Sekarang, pelaksanaannya bukan semudah yang disangka. Selain dikecam oleh penduduk sendiri, Hatoyama perlu mempertimbangkan beberapa perkara lain yang berbangkit.
Aspek kewangan
Selain itu, perihal kewangan adalah aspek yang turut dipandang berat.
Jurnal Asia Pasifik yang memberi fokus pada situasi Jepun terkini pada keluaran Julai lalu, melaporkan kesanggupan Jepun memperuntukkan sebanyak 62 peratus daripada bajet kewangan untuk membiayai aktiviti ketenteraan AS. Tidak dapat disangkal bahawa jumlah itu boleh dimanfaatkan dalam bentuk lain seperti menambah baik kemudahan awam yang sedia ada di Jepun.
"Pada tahun 2001, jumlahnya mencapai AS$4.6 bilion dolar (RM15.6 bilion). Angka ini tidak termasuk sejumlah perbelanjaan tambahan bagi menyelesaikan masalah pencemaran bunyi dan seumpamanya," menurut salah satu petikan yang diterbitkan dalam jurnal tersebut.
Menuduh Hatoyama hanya melengahkan masa, desas-desus mengenai sokongan dan popularitinya yang semakin merudum semakin tersebar luas di seluruh Jepun. Namun, peliknya ia sama sekali tidak merisaukan Hatoyama. Sebaliknya, beliau lebih mengutamakan tempoh masa yang diperlukan bagi mengkaji semula aspek kebaikan dan keburukan pemindahan pangkalan tentera tersebut.
Terdahulu, Menteri Luar Jepun, Katsuya Okada mencadangkan agar kerajaan baru bersetuju dan berkompromi dalam hal ini kerana syor untuk memindahkan pangkalan itu keluar dari Okinawa tidak realistik. Bagaimanapun, Hatoyama menjawab bahawa keputusan muktamad adalah di tangannya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates mahu Hatoyama memberi kata putus yang muktamad kepada Obama yang akan melakukan lawatan sulung ke Jepun hari ini (13 November 2009).
"Tindakan menolak atau menekan Hatoyama tidak akan membuahkan hasil. Silap hari bulan, ia hanya akan membawa kepada keputusan yang tidak memberangsangkan.
"Biar isu pemindahan ini diselesaikan oleh kerajaan Jepun dan penduduk Okinawa sendiri," ujar Ralph Cossa dan Brad Glosserman yang masing-masing merupakan Presiden dan Pengarah Eksekutif Forum Pasifik CSIS.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: