|
|
MERANGKUL gelaran juara sulung pada Pertandingan Mencipta Lagu Asli 2009 malam Ahad lalu, sememangnya cukup mengejutkan Nurnatasha Shazlia Rosli.
Masakan tidak, dia merupakan satu-satunya peserta wanita dan yang paling muda menyertai pertandingan itu berjaya menewaskan komposer senior termasuk bapanya sendiri, Rosli Md. Kasa atau lebih popular dengan nama pena Rosli Selasih.
Apatah lagi, pertandingan ini merupakan penyertaan pertamanya dalam mana-mana pertandingan penciptaan lagu buat gadis berusia 19 tahun itu.
"Jujurnya memang saya tidak percaya apabila diumumkan sebagai juara dan perasaan untuk menang itu lebur sebaik sahaja pengacara mengumumkan pemenang tempat ketiga.
"Tetapi apabila pengacara mula memberi gambaran bahawa juaranya adalah daripada generasi muda, keyakinan mula kembali meningkat sedikit.
"Walaupun saya tahu ada komposer muda lain yang bertanding, nampaknya rezeki menjadi milik saya pada pertandingan ini," katanya yang kelihatan masih terkejut dengan kemenangannya menerusi lagu Jalinan Kasih itu sewaktu ditemui pada sidang media selepas pertandingan berakhir.
Dengan gelaran juara itu, Nurnatasha berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, piala iringan serta sijil penyertaan dalam pertandingan yang kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu.
Hadiah utama telah disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang disaksikan isterinya, Datin Seri Masnah Rais.
Turut hadir Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.
Kemenangan Nurnatasha atau lebih mesra disapa Tasha itu dilihat telah berjaya membuka lembaran baru dalam penciptaan lagu-lagu asli.
Manakan tidak, lagu-lagu asli seperti mana yang dilihat hari ini sudah semakin jauh ditinggalkan dan dipinggirkan oleh generasi muda.
Kehadiran komposer muda khususnya dari kaum Hawa seperti Tasha merupakan satu perkembangan yang cukup sihat untuk terus memelihara khazanah bangsa ini.
Jelas Tasha, penyertaannya dalam pertandingan ini adalah untuk meluaskan lagi bakatnya dalam penciptaan lagu selain daripada menggalakkan orang muda terutama wanita dalam penciptaan lagu-lagu asli.
"Apa yang saya harapkan agar kemenangan saya ini membuka mata kepada semua pihak bahawa lagu-lagu asli ini tidak semestinya untuk orang lama.
"Orang baru seperti saya juga mampu mencipta lagu asli mengikut peredaran zaman seperti mana komposisi dalam lagu Jalinan Kasih ini.
"Memang agak sedih apabila memikirkan lagu-lagu warisan bangsa kita ini disisihkan oleh masyarakat kita sendiri," ujar anak sulung daripada tujuh beradik ini meluahkan pandangannya.
Saat diajak berbicara tentang lagu Jalinan Kasih, penuntut di Zue Beauty Academy ini memberitahu ilham untuk mencipta lagu tersebut hadir sewaktu dia terlibat dalam pementasan teater muzikal Randai Kasih Menanti di Istana Budaya, tahun lalu.
Sebaik sahaja mencipta melodinya, dia meminta bantuan bapanya untuk menggubah susunan muziknya serta memasukkan elemen muzik lain yang merupakan kepakaran bapanya.
"Kalau didengar dengan teliti, muzik dalam lagu Jalinan Kasih ini sedikit berbeza dengan lagu-lagu lain di mana lagunya tidak terlalu mendayu dan tidak terlalu moden.
"Malah, saya juga sengaja menghasilkan lagu ini untuk dinyanyikan secara duet kerana ia akan kedengaran lebih menarik dan indah," katanya yang masih belum lagi memikirkan perancangan untuk wang kemenangannya itu.
Lagu Jalinan Kasih pada malam pertandingan itu telah disampaikan oleh Azizzul Haqim Md. Anuwar dan Norhasmidar Ahmad yang merupakan bintang kelahiran Bintang Asli Remaja.
Sebagai seorang komposer muda, Tasha mahu melihat lagu-lagu asli terus diperkasakan dengan memberi ruang untuk lagu ini terus berkumandang di jagat raya.
Tidak ingin melihat khazanah berharga ini berkubur begitu sahaja, Tasha berharap kepada semua pihak agar memikirkan mekanisme terbaik agar lagu-lagu asli terus mekar.
Bagi Rosli pula, dia tidak pernah memaksa anak sulungnya itu untuk mengikut jejak langkahnya.
Bukan itu sahaja, komposer terkenal ini juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat mahupun genre muzik untuk anaknya berkarya.
Kerana apa yang penting adalah minat mendalam dalam diri anaknya itu yang harus dipupuk agar bercambah dan membuahkan hasil yang lumayan.
"Apabila dia membuat keputusan untuk menyertai pertandingan ini, saya melihatnya sebagai satu petanda yang baik dan menggalakkan anak muda untuk terus berkecimpung dalam muzik asli.
"Walaupun saya tewas kepadanya tetapi saya melihat pertandingan ini lebih kepada platform untuk anak saya memperluaskan bakatnya ," katanya yang cukup sinonim dengan lagu-lagu asli dan etnik untuk penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Syura.
Dalam pertandingan itu, Rosli telah mempertaruhkan lagu Tanam Selasih yang telah dinyanyikan oleh Mohd. Edri Nazri Hamzah.
Selain Rosli dan anaknya, Pertandingan Mencipta Lagu Asli 2009 turut menyaksikan satu lagi penyertaan yang melibatkan bapa dan anak.
Mereka yang dimaksudkan ialah Saiful Ekramm Mahzan dan bapanya, Mahzan Abdul Manan masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.
Saiful dan Mahzan mempertaruhkan lagu Budi Pekerti dan Seri Rembulan yang telah menyaksikan mereka membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM8,000 dan RM6,000 berserta piala dan sijil.
Jelas Mahzan, sebagai orang lama dia cukup berbangga kerana masih lagi ada pihak yang mahu terus mengangkat muzik asli ke peringkat lebih tinggi.
Apatah lagi, untuk menghasilkan muzik asli bukanlah mudah seperti mana yang disangka kerana ia memerlukan penghayatan, penelitian serta keikhlasan.
Oleh itu, pertandingan seperti ini, katanya, dapat membantu serta memberi peluang kepada komposer untuk terus menghasilkan karya yang memiliki nilai estetika yang tinggi.
"Ilham tidak datang dengan tiba-tiba kerana ada masanya kita akan buntu dan hilang idea dalam menghasilkan lagu.
"Setiap nota yang dihasilkan tidak bermakna ia tidak bagus kerana setiap kali mencuba, ia akan terus menghasilkan lagu yang lebih baik.
"Itu adalah cara saya di mana saya akan menyimpan setiap lagu yang saya ciptakan dan kemudiannya akan mencari idea untuk memperindahkan lagi melodinya," ujar Mahzan yang mahu melihat lagu-lagu asli terus diperdengarkan agar ia tidak hilang di telan zaman.
Malam itu juga menyaksikan Sabihah Abd. Wahid yang mendendangkan lagu Budi Pekerti memenangi kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, trofi dan sijil.
Kesemua pemenang telah diadili 100 peratus oleh juri-juri profesional iaitu Andre Goh, Habsah Hassan, Yusrizan Usop atau Bob AF2 serta Datuk Johari Salleh selaku ketua juri.
Pertandingan Mencipta Lagu Asli 2009 telah menerima 90 buah lagu dari 90 orang komposer tetapi hanya 12 karya terbaik sahaja yang terpilih ke pertandingan akhir.
Pertandingan itu juga telah diserikan dengan persembahan oleh Aspalela Abdullah, Karen Tan, Farawahida dan Nubhan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: