TOKYO – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semalam diberi penghormatan melakukan lontaran pertama menjelang perlawanan besbol liga Jepun di antara pasukan Yomiuri Giants yang menentang Nippon Ham Fighters.
Bush yang memakai jaket pasukan Yomiuri melontar bola itu kepada penangkap bola Giants, Shinnosuke Abe di stadium Tokyo Dome di sini.
Beliau kemudian berbual singkat dengan beberapa pemain selepas berjalan keluar dari padang stadium sebelum menonton keseluruhan perlawanan itu di tempat persendirian bersama bekas perdana menteri Jepun, Junichiro Koizumi, bintang besbol tempatan, Sadaharu Oh dan Duta AS ke Jepun, John Roos. Bush berada di Jepun untuk melawat Koizumi.
Kedua-dua pemimpin itu menjalin hubungan rapat ketika mereka menjadi presiden dan kedua-duanya amat meminati sukan besbol.
Sementara itu, satu tunjuk perasaan yang disertai sejumlah penunjuk perasaan anti-Bush diadakan di luar stadium berkenaan.
Mereka membantah peperangan di Afghanistan dan Iraq yang dilancarkan oleh pentadbiran Bush pada tahun 2001 dan 2003.
Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk dan kain rentang sambil melaungkan slogan anti Bush seperti ‘Tangkap Bush,’ ‘Bush, Raja Peperangan’ dan ‘Penjarakan Bush’.
Seorang penunjuk perasaan turut membaling kasut ke arah gambar bekas presiden AS itu.
Perbuatan tersebut meniru aksi wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi yang membuka kasut dan membalingnya ke arah Bush ketika beliau mengadakan satu sidang media di Baghdad, pada Disember tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: