PHNOM PENH - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra semalam mendakwa pemimpin negaranya mengamalkan patriotisme palsu.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap sebagai penasihat ekonomi kerajaan Kemboja di sini.
Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 sebelum ini tinggal di luar negara untuk mengelak daripada dipenjara kerana kesalahan rasuah.
Beliau berucap kepada 300 ahli perniagaan dan pegawai kerajaan di Kementerian Kewangan Kemboja ketika ketegangan antara dua negara berjiran itu memuncak setelah Phnom Penh berdegil enggan mengekstradisi Thaksin ke negara asalnya.
"Saya melihat banyak persamaan antara negara anda dan negara saya.
"Apa yang baik untuk Kemboja juga baik untuk Thailand. "Namun, tidak semua rakan senegara saya memiliki pendapat yang sama," kata Thaksin.
"Saya tidak percaya mereka yang tidak sehaluan dengan kita itu tidak berpandangan jauh.
"Tekanan politik dalaman Thailand memaksa mereka menonjolkan semangat patriotisme palsu (kepada raja dan bukan rakyat serta negara)," tambahnya.
Kemboja membangkitkan kemarahan Thailand kelmarin setelah menolak permintaan Bangkok untuk mengekstradisi Thaksin dengan alasan hukuman penjara dua tahun terhadap pemimpin Thai itu bermotifkan politik.
Beliau kemudian terbang ke pusat peranginan Siem Reap untuk melawat kuil terkenal, Angkor Wat dan disambut para penyokong selain menjadi tumpuan pelancong asing yang bergambar dengannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: