Friday, November 13, 2009

APEC impi zon bebas terbesar


BEBERAPA menteri kewangan dan luar Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik meninggalkan pentas selepas sesi bergambar di Singapura.


SINGAPURA - Komuniti 21 buah negara-negara di rantau Asia Pasifik berikrar akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan sebuah zon perdagangan bebas yang terbesar di dunia.

Hasrat itu dinyatakan kesemua menteri luar dan perdagangan kumpulan negara yang menyertai sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermesyuarat di sini semalam.

Wawasan jangka panjang itu membentuk Kawasan Dagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) dengan 2.6 bilion penduduk atau meliputi 40 peratus populasi dunia dari Chile ke China.

"APEC akan bekerja ke arah mengurangkan halangan, bukan sahaja sesama negara anggota, malah dengan negara luar APEC," kata menteri-menteri dalam satu kenyataan bersama.

Pernyataan itu dikeluarkan menjelang pertemuan para pemimpin dunia pada sidang kemuncak APEC akhir minggu ini yang juga dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Menteri-menteri turut berikrar untuk membuka dagangan barangan dan perkhidmatan alam sekitar sebagai usaha menangani perubahan iklim dan pertumbuhan ekonomi lestari.

Isu pemanasan global itu kata mereka, ialah antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh dunia kini dan ia akan dibawa pada satu persidangan antarabangsa di Denmark bulan depan.

"Kami akan memastikan pertumbuhan ekonomi konsisten dengan pembangunan mapan dan mengambil usaha ke arah teknologi yang mesra kepada iklim," kata mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: