Thursday, November 26, 2009

Suspek pembunuhan kejam dikenal pasti


BEBERAPA askar semalam menemui beberapa mayat mangsa pembunuhan kejam yang ditanam di pinggir Ampatuan, Maguindanao, Filipina.


COTABATO - Seorang ahli politik yang keluarganya menjadi sasaran serangan di selatan Filipina sehingga menyebabkan 57 orang terbunuh menggambarkan penyerangnya sebagai raksasa yang sangat kejam.

Menurut ahli politik itu, Esmael Mangudadatu, penyerang-penyernag itu membunuh isteri dan ibu saudaranya yang sedang hamil.

Dia berkata, isterinya itu turut mengalami serangan seksual dan tubuhnya dikerat-kerat sebelum dibunuh pada Isnin lalu.

Polis mengesyaki bahawa kejadian pembunuhan itu diatur oleh saingan politik Esmael.

"Kami tidak akan memanggilnya seekor haiwan kerana saya mempunyai haiwan peliharaan dan mereka kelihatan jinak.

'Dia (pembunuh isterinya) ialah seorang raksasa. Mereka ialah raksasa," kata Esmael.

Ahli politik itu merujuk kepada Andal Ampatuan iaitu seorang anggota yang menyokong Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Polis menyatakan Andal suspek utama dalam kejadian pembunuhan itu.

Pembunuhan itu berlaku apabila 100 penyokong Andal yang bersenjata menculik sejumlah orang yang menyertai satu konvoi Esmael termasuk wartawan.




Mangsa-mangsa itu diculik semasa mereka menyertai satu konvoi untuk menuju ke sebuah pejabat pilihan raya.

Isteri Esmael akan mendaftarkan pencalonan suaminya yang akan bertanding jawatan gabenor pada pilihan raya tahun depan.

Menurut Esmael, Andal turut merancang untuk bertanding jawatan gabenor dan melakukan pembunuhan besar-besaran itu bagi memastikan dia tidak dicabar oleh sesiapa dalam pilihan raya gabenor.

Polis berkata, mangsa-mangsa itu ditembak pada jarak dekat selepas diculik sebelum dicampakkan atau ditanam di sebuah kawasan perkuburan di kawasan terpencil.

Esmael berkata, dia diberi amaran bahawa keselamatannya terancam menyebabkannya menghantar isteri dan ibu saudara serta adiknya untuk mendaftar pencalonannya sebagai gabenor.

"Kita menghantar wanita kerana dalam kebudayaan Islam, anda tidak boleh mencederakan wanita," katanya. Menurutnya, bahagian sulit isterinya dikerat-kerat sebanyak empat kali selepas tembakan dilepaskan.

"Mereka mencucuk kedua-dua mata isteri saya, tembak di bahagian payu dara, memotong kaki dan menembak di mulut.

"Saya tidak dapat menggambarkan perbuatan yang mereka telah lakukan itu," kata Esmael.

Berikutan kejadian itu, Presiden Filipina mengisytiharkan darurat di dua wilayah di selatan negara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: