Thursday, November 26, 2009

Saintis dakwa suhu dunia naik diminta letak jawatan


BANJIR yang berlaku di Cockermouth, England pada Jumaat lalu dikaitkan dengan pemanasan global akibat perbuatan menusia.


LONDON - Seorang saintis, Phil Jones yang menjadi tumpuan selepas terlibat dalam skandal penipuan maklumat pemanasan global didesak supaya meletakkan jawatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut seorang aktivis alam sekitar yang terkenal, George Monbiot, Jones sepatutnya meletakkan jawatan daripada Unit Penyelidikan Cuaca di Universiti East Anglia selepas e-mel yang mendakwa beberapa penyelidik menipu fakta pemanasan cuaca terbongkar.

Lebih banyak e-mel seumpama itu didedahkan termasuk satu daripadanya yang menunjukkan seorang ahli kaji cuaca Amerika Syarikat (AS) mengaku ia merupakan penghinaan bahawa saintis tidak dapat menjelaskan isu pemanasan global sejak beberapa tahun lalu.

Satu lagi pendedahan yang memalukan ialah apabila seorang wartawan menyatakan bahawa bukti-bukti bahawa suhu meningkat sejak tahun 2001 didapati tidak meyakinkan.

Semua e-mel itu menunjukkan penyelidik-penyelidik memanipulasi data perubahan cuaca.

"Saya kini berasa yakin bahawa e-mel itu tulen. saya kecewa dan berasa amat terkejut.

"Terdapat percubaan untuk menghalang data saintifik daripada dikeluarkan," kata Monbiot.




Beberapa kejadian cuaca ekstrem yang berlaku di dunia sebelum ini turut dikaitkan dengan isu pemanasan global.

Namun, Jones enggan meletakkan jawatan dan menafikan bahawa penyeldik-penyelidik mengubah data bagi memperbesar-besarkan isu pemanasan global.

"Kami berdiri kukuh dengan fakta sains yang kami keluarkan di Universiti East Anglia dan ia telah dikaji semula dan diterbitkan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa penggodam komputer berjaya mendapatkan ratusan e-mel peribadi dan dokumen yang menunjukkan terdapat saintis-saintis yang membesarkan isu perubahan cuaca.

Dalam satu e-mel yang didedahkan itu, Jones menulis kepada seorang rakannya mengenai graf yang menunjukkan statistik perubahan cuaca pada milenium lalu.

Dia membayangkan satu teknik yang pernah digunakan oleh seorang rakan saintis untuk menyembunyikan penurunan suhu global baru-baru ini.

Beberapa bukti menunjukkan kenaikan suhu dunia sebenarnya sudah terhenti sejak tahun 1960.

Namun, ia bertentangan dengan bukti lain yang disebarkan pada masa kini bahawa suhu dunia masih terus meningkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: