Thursday, November 5, 2009

Sunyi bukan kerana putus cinta




SELEPAS hubungan yang dibina dengan pelakon cantik, Sherry Ibrahim putus di pertengahan jalan sejak lima bulan lalu, si teruna yang bernama Mohd. Ashraf Muslim atau lebih dikenali dengan panggilan Ashraf Muslim dilihat sunyi daripada sebarang publisiti.

Wajah Ashraf sudah jarang ditatap peminat baik di kaca televisyen, media cetak mahupun elektronik. Ia sekali gus menimbulkan keraguan apakah empunya diri memendam jiwa dengan perpisahan yang dia dan Sherry?

Mahu mendapatkan penjelasan sebenar, jejaka yang berusia 28 tahun itu dirujuk lalu dilayangkan persoalan sama. Bukan apa, sekurang-kurangnya peminat dapat mengetahui perkembangan pelakon kacak itu selepas kembali hidup solo tanpa teman wanita istimewa di sisi.

Dengan riak bersahaja tanpa ada sekelumit perasaan untuk menyembunyikan kenyataan sebenar, Ashraf mengaku kehidupannya masih mencorakkan warna sama seperti sebelumnya.

Bahkan Ashraf menyangkal dakwaan kononnya dia sengaja melarikan diri daripada buruan pihak media kerana hatinya terusik selepas kisah perpisahannya dengan Sherry berjaya dihidu lantas dilagukan dengan lantangnya di sana sini.

"Saya jalani hidup macam biasa selepas berpisah dengan Sherry. Alhamdulillah, saya juga tidak menghadapi masalah untuk kembali hidup bersendirian kerana mampu mengawal emosi agar tidak menguasai diri.

"Selepas putus cinta, saya sibuk menjalani penggambaran sehingga tibanya bulan puasa lalu. Sebaik saja Ramadan tiba, saya mula menghentikan seketika aktiviti seni.

"Ada juga wartawan yang hendak buat sesi fotografi namun, saya terpaksa menolak dengan baik ditambah tidak punya sebarang cerita untuk dikongsi dengan para peminat.

"Pada waktu yang sama, saya sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk membaca buku panduan menunaikan umrah tanpa mahukan sebarang gangguan. Saya ingin membuat persediaan rapi kerana kesempatan melakukan umrah kali pertama merupakan peluang yang cukup berharga.

"Saya bertolak ke Tanah Suci pada 6 September dan pulang pada 21 September lalu. Mungkin memang saya banyak senyap selepas berpisah dengan Sherry. Tetapi tidak wujud istilah saya sengaja mendiamkan diri atau berjauhan hati selepas cinta kami terputus," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama pendek, Dari Mata Ke Hati di Laundry Bar, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.

Sambung anak kelahiran Melaka itu, niat untuk menjalankan ibadah itu sudah berlegar-legar dalam fikiran sejak Februari lalu. Tidak terkecuali, Sherry juga mengetahui hasrat Ashraf untuk menjejakkan kaki ke kota suci tersebut.


SHERRY mengakui masih bersedih dengan perpisahan bersama Ashraf.


"Memang saya pernah menyuarakan angan-angan kepada Sherry untuk buat umrah sebelum ini. Dia juga ada bercakap untuk ikut menjalankan ibadah ini.

"Cuma selepas hubungan kami tidak berpanjangan maka saya terus mengambil keputusan untuk pergi melakukan ibadah terlebih dahulu secara bersendirian tanpa diiringi sesiapa.

"Bahkan saya hendak memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan saya laksanakan umrah gara-gara putus cinta adalah tidak benar sama sekali.

"Saya percaya perpisahan ini menjadi pengajaran sekali gus mendidik saya tentang erti kehidupan. Cuma saya harap peminat di luar sana faham tentang situasi kami yang enggan menerangkan punca sebenar hubungan ini terputus.

"Perkara ini melibatkan banyak pihak. Saya tidak mahu mencanangkan aib sendiri dan Sherry juga dalam keadaan sama. Hanya keluarga kami yang mengetahui tentang cerita sebenar. Biarlah semuanya tersimpan menjadi rahsia kami," jawab Ashraf serius lalu mohon dimengertikan.

Sama juga seperti makhluk Allah yang lain, Ashraf hanya menjalankan ibadah di sana tanpa memikirkan hatinya ada diselaputi kedukaan dengan perpisahan yang sudah ditakdirkan kepadanya.

"Kesempatan menunaikan umrah memang dilakukan dengan sebaik-baiknya. Saya sempat berdoa di depan Kaabah dengan meminta perkara yang baik-baik saja.

"Cuma minta maaflah saya tidak boleh mendedahkan tentang doa-doa yang dipohon ini. Apa yang pasti, saya memohon agar dijauhkan daripada benda yang tidak elok dalam hidup," jelasnya.

Menjawab pertanyaan tentang kenyataan Sherry kepada pihak media yang menzahirkan hatinya masih berbekas dengan perpisahan itu, Ashraf bagaimanapun sekadar inginkan kedua-dua pihak bersikap optimis tanpa ada dendam di hati.

"Biasalah, kalau sudah namanya perpisahan, pasti kita rasa sedih. Cuma dalam soal ini, kita kena bijak buat keputusan untuk menyelesaikan setiap perkara yang bersarang dalam diri.

"Paling penting, kami kena berfikiran positif sepanjang masa dan tidak terlampau mengikut perasaan. Biarpun begitu, kami masih mengamalkan dasar profesional dan terus berkawan walaupun tidak lagi bergelar pasangan kekasih," ujarnya ringkas sambil berterus-terang.

Bergelar pengacara Syifa

Mahu menutup lembaran kisah cintanya yang tidak berpanjangan, Ashraf segera mengalihkan topik lebih menarik yang terarah kepada kerjaya barunya sebagai pengacara.

Bukan calang-calang kerana jejaka tinggi lampai ini mengendalikan program 13 episod berkaitan perubatan yang diaplikasikan dalam ajaran Islam iaitu Syifa yang ditayangkan di Astro Oasis (saluran 106) pada Disember nanti.

Barangkali ada mulut-mulut nakal yang mengaitkan sejauh manakah kelayakan Ashraf untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos apatah lagi dalam rancangan perubatan mengikut cara Islam.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Ashraf terpaksa mengambil masa selama sebulan untuk berfikir sambil bertanyakan pendapat individu-individu penting di sekelilingnya sebelum memberi kata noktah sama ada mahu mengambil tugas itu.

"Akhirnya setelah ada kekuatan dan mendapat sepenuh keyakinan, saya menerima tawaran sebagai hos Syifa dengan harapan untuk meraih pengalaman baru dalam kerjaya seni," ungkapnya.


ASHRAF menafikan mendiamkan diri kerana putus cinta dengan Sherry.


Berhujah lebih lanjut tentang momen yang dinikmati sepanjang menjalani rakaman program itu, Ashraf tanpa segan-silu melahirkan perasaan syukur kerana mendapat bantuan daripada tenaga penerbitan Syifa.

Watak tempelan

Walaupun menerima watak sampingan untuk berlakon dalam drama pendek, Dari Mata Ke Hati bersama dua pendatang baru, Shahz Jaszle dan Sharnaaz Ahmad, ia tidak menjadi ketakutan kepada Ashraf.

Bagi Ashraf, tiada salahnya kalau dia hanya muncul di kaca televisyen dalam durasi singkat walaupun empunya diri mempunyai status sebagai pelakon yang lebih senior daripada Shahz, 21, dan Sharnaaz, 24.

"Saya melakonkan watak pembantu yang bernama John di samping dua pelakon muda dan berbakat besar ini menerusi Dari Mata Ke Hati yang ditayangkan di stesen televisyen TV3.

"Tidak kisah untuk menjadi watak sampingan saja dalam drama pendek ini kerana saya menyukai jalan cerita dan skripnya yang sedikit berbeza daripada drama lain.

"Watak John merupakan seorang akauntan dan bersikap matang. Tetapi dalam kematangan diri, dia memiliki perangai budak-budak apabila gemar menyaksikan filem animasi dan menyukai permainan video.


ASHRAF menerima peranan dalam drama Dari Mata Ke Hati kerana keistimewaan watak John.


"Pada waktu yang sama, John tetap bercita-cita tinggi dan sering mencuba melakukan perkara yang jauh daripada skop kerjanya sebagai akauntan. Kalau diperhatikan, watak John memang santai namun memiliki keistimewaan tersendiri.

"Paling mengujakan, drama pendek yang memaparkan kehidupan remaja ini diselitkan dengan unsur-unsur komedi dan pengajaran berguna kepada audiens.

"Selain saya, Shahz dan Sharnaaz, drama selama 15 minit ini turut dibarisi oleh pelakon lain seperti Intan Ladyana, Sari Yanti dan Maya," jelasnya sambil tersenyum manis.

Untuk mengetahui keistimewaan drama ringkas terbitan Radius One Sdn. Bhd. dengan kerjasama Brand's InnerShine itu, jangan lupa untuk menyaksikan Dari Mata Ke Hati sebanyak lima episod mulai 7 November setiap Sabtu pada pukul 4.45 petang di TV3.

Kompilasi semua drama bersiri yang diarahkan oleh Azma Aizal Yusoof itu pula boleh ditonton selama sejam pada 12 Disember nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: