Thursday, November 5, 2009

Karyawan gusar kekurangan dana


FREDDIE (duduk tengah) bersama artis yang akan menjayakan Malam Amal Puteri Bersama Karyawan.


BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang berperanan sebagai organisasi terpenting membela dan memperjuangkan nasib penggiat seni tanah air mengalami masalah kekurangan dana hampir saban tahun.

Selain menjalankan fungsi utamanya bagi membantu golongan artis yang dibelenggu masalah berkaitan dunia seni, Karyawan tidak terkecuali menghulurkan sumbangan berupa skim pencen kepada anak seni veteran yang mengalami keuzuran.

Benar, langkah itu bukan sahaja patut dipuji namun, seluruh tenaga kerja persatuan perlu bekerja keras demi mengisi dana skim tersebut dari semasa ke semasa.

Skim pencen yang dimulakan sejak lima tahun lalu itu kini dinikmati oleh 25 orang karyawan dengan setiap seorangnya menerima RM500 sebulan selepas mereka tidak lagi terdaya mencari mata pencarian sendiri serta mengalami masalah tertentu.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez ketika ditemui pada sidang media Malam Amal Puteri Bersama Karyawan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Selangor baru-baru ini sempat meluahkan kegusarannya terhadap jumlah dana yang semakin susut dari semasa ke semasa.

Dengan jumlah sebanyak RM25,000 diperuntukkan setiap bulan termasuk pembayaran empat kakitangan persatuan itu dan lain-lain maka itu bermakna ratusan ribu ringgit perlu kekal berada dalam tabung Karyawan pada setiap tahun.

"Disebabkan sumber kewangan Karyawan semakin susut maka pihak kami cuba mencari projek-projek terbaru dengan mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Terbaru, Karyawan dengan bantuan pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan Habsah Hassan menganjurkan Malam Amal Puteri Bersama Karyawan yang akan diadakan pada 17 November ini di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Selangor.

Sebanyak 13 buah meja disediakan pada majlis tersebut pada harga RM5,000 bagi setiap meja. Paling menarik, ia bertemakan Malam Nostalgia dengan tujuan mengimbas kembali era 60-an, 70-an dan 80-an.

"Kali ini, majlis Malam Amal Puteri Bersama Karyawan sebagai salah satu usaha untuk mengembalikan kegiatan Karyawan untuk menambahkan jumlah wang dalam tabung kami.

"Selain itu, acara ini ada signifikan tersendiri apabila Karyawan mengenengahkan artis-artis lama dan baru dalam sebuah majlis sama sekali gus dapat mengeratkan hubungan sesama artis.

"Ada artis yang menawarkan diri untuk terlibat dalam majlis amal ini. Komitmen yang ditunjukkan oleh penyanyi-penyanyi ini untuk membantu mengutip dana Karyawan memang begitu mengagumkan.

"Lantaran itu, saya harap agar Malam Amal Puteri Bersama Karyawan nanti bakal mendapat sokongan dan sambutan yang memberangsangkan daripada golongan artis dan masyarakat," ujar Freddie.

Antara artis yang bakal membuat persembahan pada acara itu ialah Dayang Nurfaezah, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Ahmad Jais, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Nassier Wahab, Andre Goh, V. Sarangabani, Amylea, Haziq, Iqwal, Shasha dan Wani.

Dalam pada itu, Jaafar Onn bertindak selaku pengacara majlis yang bertemakan konsep 1Malaysia disebabkan ia turut diserikan dengan artis yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Untuk bersama-sama menyaksikan keindahan Malam Amal Puteri Bersama Karyawan, orang ramai boleh membuat tempahan meja dengan menghubungi talian Karyawan 03-7955 2967 dan 03-7960 6459 atau bercakap terus kepada Ahmad di 012-300 6084.

Tidak terkecuali, peminat boleh melawat lama web www.karyawan.com.my untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut tentang acara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: