JOHOR BAHRU 13 Nov. - Pasangan suami isteri, Muhammad Hafiz Harun, 26, dan Nur Erila Mohd. Rahmad, 26, tidak menyangka akan menerima hadiah tempat pertama dan kedua semasa menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menyertai Peraduan Penonton Di Rumah Syoknya RasaMas baru-baru ini.
Selaku pemenang utama program yang disiarkan selama 14 minggu mulai 7 Jun hingga 3 Oktober lalu menerusi TV3, Muhammad Hafiz membawa pulang hadiah berupa peralatan dapur jenama Fagor bernilai RM8,000, manakala isterinya mendapat peralatan dapur jenama sama pada harga RM5,000.
Menurut pasangan dari Klang, Selangor itu, mereka yang minat memasak mengikuti rancangan itu setiap minggu dan menghantar 10 SMS.
"Pada mulanya, saya dan isteri hanya mencuba dan tidak mengharap dapat hadiah kerana sebelum ini tidak pernah menang sebarang pertandingan dan peraduan.
"Tak sangka pula boleh menang bersama-sama. Mungkin rezeki SMS," kata Muhammad Hafiz semasa ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Plaza Kotaraya di sini hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Pengerusi KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Muhammad Hafiz berkata, pelaburan untuk menyertai peraduan itu berbaloi kerana hanya membayar RM70 sebagai caj SMS bagi 14 minggu peraduan tersebut dengan setiap SMS dicaj sebanyak 50 sen.
"Mungkin juga ini rezeki anak-anak," katanya yang mempunyai dua cahaya mata iaitu Kasih Humaira yang berusia satu tahun sembilan bulan dan Muhammad Zafran, 10 bulan.
Menurutnya, hadiah peralatan dapur itu datang 'tepat pada masanya' memandangkan mereka sekeluarga akan memasuki rumah baru di Shah Alam tidak lama lagi.
Pemenang ketiga peraduan itu ialah Nur Fadzilah Abd. Isa dari Subang Jaya, Selangor yang membawa pulang hadiah peralatan dapur jenama Fagor bernilai RM3,000.
Bagi menyertai peraduan itu penonton dikehendaki menjawab soalan berkaitan rancangan televisyen tersebut atau mengenai RasaMas dengan betul selain mengundi salah seorang dari tiga peserta mingguan ke peringkat akhir dalam setiap episod.
Semua jawapan kepada soalan yang disiarkan mesti dihantar menerusi SMS.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: