Thursday, November 12, 2009

Siti teruja hibur ejen Hai-O


TIGA beradik ini bakal menghangatkan Stadium Malawati pada 14 November.

SETIAP kali penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza tampil dengan persembahan konsert, pastinya dia akan memilih tema yang bakal menggambarkan keseluruhan bentuk persembahannya pada malam itu. Jika sebelum ini dia memilih nama Satu sebagai konsert solonya di Istana Budaya penghujung Ogos lalu, untuk konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada hari Sabtu depan, 14 November, Siti menamakannya sebagai Konsert Seribu Warna.

Sambil menterjemahkan perkataan ‘seribu warna’ itu sebagai konsep persembahan, kata Siti ia juga adalah simbolik kepada semangat dan kegigihan yang ditonjolkan Ahli Hai-O marketing Sdn Bhd yang menjadi penaja utama konsert ini sehingga mereka mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Saya menerima tawaran konsert ini pada pertengahan Mac lalu sempena ulang tahun ke-17 Hai-O. Apabila mendapat tahu yang saya menjadi pilihan, saya menjadi begitu teruja apatah lagi konsert ini bakal menyaksikan saya beraksi dengan artis di bawah naungan SNP seperti Saida, Sairah dan kumpulan Coda.


“Memandangkan konsert ini ditaja Hai-O, jadi secara tidak langsung ia melambangkan kegigihan syarikat itu serta ahlinya untuk memperkembangkan lagi perniagaan mereka,” kata Siti pada sidang media yang berlangsung di pejabatnya di Cheras, baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Hai-O Marketing Sdn Bhd, Tan Kee Hock.

Bakal berlangsung selama dua hari berturut-turut, Siti berkata pada 14 November ini nanti, selain untuk tontonan ahlinya, Hai-O juga memperuntukkan 4 ribu keping tiket untuk peminatnya supaya dapat bersama-sama menonton konsert ini.

“Selepas berbincang dengan pihak Hai-O, mereka pun bersetuju untuk memberikan 4 ribu tiket kepada peminat Siti supaya mereka dapat bersama-sama menyaksikan konsert itu. Berbeza dengan konsert Eksklusif Satu, konsert ini lebih relaks dan saya banyak menyanyikan lagu yang lebih rancak,” kata Siti yang akan menggayakan rekaan Hatta Dolmat untuk konsertnya itu.

Sementara itu, mengulas pemilihan Siti sebagai penyanyi yang akan menghiburkan 6 ribu ahli mereka, Tan berkata Siti dipilih kerana penyanyi itu mempunyai portfolio yang baik dan diminati ramai.

“Malah Siti juga adalah pilihan ahli kami yang mahukannya menghiburkan mereka sempena sambutan ulang tahun kami yang ke 17,”ujar Tan sambil memberitahu selain konsert pada Hari Sabtu, Siti juga akan menghiburkan ahli mereka secara tertutup di lokasi yang sama pada keesokan harinya.

Untuk persembahan selama 90 minit itu, Siti akan mendendangkan sebanyak 13 buah lagu popularnya termasuk lagu yang dipetik dari album terbarunya Tahajjud Cinta.

Bekas juara Bintang RTM ini juga akan berduet bersama dua adik beradiknya itu serta mengadakan segmen tribute untuk dua penyanyi popular.Bagaimanapun, Siti tegar merahsiakan siapakah dua penyanyi yang dimaksudkannya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, konsert Seribu Warna itu bukan saja boleh disaksikan di stadium tetapi juga boleh dilayari menerusi internet.Pengurus Siti, Rozi Abdul Razak berkata konsert Siti itu boleh dilayari menerusi laman web www.sitizone.com

“Peluang ini terbuka kepada 100 ribu pelayar pertama yang berdaftar di laman web www.sitizone.com.Mereka yang mahu menyaksikan konsert ini bolehlah membuat pembayaran menerusi kad kredit dan debit kad.Bukan saja di Malaysia tetapi konsert ini juga boleh disaksikan peminat Siti di seluruh dunia,”kata Rozi sambil memberitahu tarikh akhir untuk melanggan konsert itu adalah pada hari esok.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM60 itu di Box Office (Istana Budaya), Triways Travel & Tours di KLCC dan Taman Tun Dr Ismail, Malaysia Travel Bureau, MTB di MATIC, Sri Amera Holiday Sdn. Bhd di tingkat 1, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan Putrajaya, Pasar Awam Precint 16, Putrajaya dan TicketCharge 29-5, Signature Office Suite, The Boulevard, Mid Valley.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: