SEBANYAK 30 peratus markah diberikan juri untuk malam persembahan Jumaat lalu. |
Persaingan terbuka buatkan karyawan muzik perlu gigih, kreatif berkarya
FORMAT baru peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 yang terbuka kepada semua kategori mula diperkenalkan pada Jumaat lalu. Kali ini tiada lagi pembahagian tiga kategori iaiti Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif.
Empat kumpulan muzik, sebuah persembahan kumpulan dan enam penyanyi solo yang memperdengarkan lagu yang layak dipertandingkan pada peringkat separuh akhir untuk mencari tempat di peringkat akhir Juara Lagu pada Januari 2010.
Mungkin format baru ini lebih sesuai kerana industri muzik tempatan ketika ini semakin nazak dan ketandusan lagu. Paling ketara apabila pencalonan lagu membabitkan kategori Etnik Kreatif semakin merosot setiap tahun.
Namun begitu, setiap yang baru pasti ada kelebihan dan kelemahannya. Begitu juga apabila format baru Muzik-Muzik 24.
Sebagai penganjur, TV3 berasakan format baru itu dapat mengatasi masalah kekurangan pencalonan lagu baru. Bagaimanapun, adakah cara sebenarnya memberi kelebihan kepada lagu genre popular untuk berjaya ke peringkat akhir.
KUMPULAN One Nation Emcees mempamerkan persembahan menarik malam itu. |
Harus diakui, sekalipun diiktiraf sebagai juri profesional, mereka yang dilantik itu masih terbawa-bawa dengan fahaman mencari lagu popular, berbanding untuk mencari lagu dan seni kata terbaik.
Ini terbukti pada separuh akhir pusingan pertama Muzik Muzik pada Jumaat lalu. Menerusi keputusan lima lagu yang mendapat markah tertinggi sebaik saja pusingan itu berakhir, kesimpulan bahawa teori genre popular lebih mendapat tempat di hati, adalah benar.
Barisan juri pada separuh akhir pertama Muzik Muzik 24 minggu lalu terdiri daripada diketuai oleh Azhar Borhan, komposer Helen Yap, Azlan Abu Hassan, penulis lirik, Mohariz Yaakob dan penulis novel, Ahadiat Akashah.
Mereka berpendapat lagu yang layak ke peringkat seterusnya adalah Kau Aku nyanyian dan ciptaan Aizat, Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan seni kata daripada Habsah Hassan, dinyanyikan oleh Alyah, Aku Scandal (Hujan/Noh) Dan Sebenarnya (Yuna) dan Raja Gelek (One Nation Emcees/Damian Mikhail/ One Nation Emcees dan Damian Mikhail)
ENJUT nyanyian Noraniza gagal mara ke peringkat seterusnya. |
Keputusan itu sekali gus mengetepikan lagu-lagu berkonsepkan Etnik Kreatif yang kebiasaannya semakin sukar diberikan tempat dalam muzik arus perdana.
Penyanyi, Noraniza Idris ketika ditemui mengakui memang susah sebenarnya lagu etnik kreatif berdiri sama tinggi dengan lagu dari genre pop dan kontemporari.
"Kalau sebelum ini kami diberi peluang untuk bersaing menerusi kategori yang diberikan, tapi kali ini peluang itu nampaknya tipis kerana lagu dari genre yang lebih popular seperti pop dan balada lebih menguasai pertandingan ini.
“Bukan mudah untuk pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu seperti ini bersaing. Kami terpaksa lebih kreatif dalam berkarya iaitu membuat perubahan dalam muzik tradisional.
"Saya sendiri dalam dilema kerana lagu yang saya bawakan selama ini sebenarnya adalah satu proses pembelajaran. Jika terlalu banyak elemen baru dalam muzik tradisional, saya bimbang mesej lagu itu tidak sampai kepada pendengar," kata Noraniza yang mempertaruhkan lagu Enjut dalam pertandingan peringkat separuh akhir itu.
Etnik kreatif tidak dipinggirkan
Bagaimanapun, sebagai Ketua Juri, Azhar pula mempunyai pandangan berbeza kerana format baru ini sebenarnya mampu menjadi penanda aras dalam bidang penciptaan lagu.
"Kita dapat melihat lagu mana yang mempunyai kekuatan tersendiri. Persaingan sebenarnya menjadi lebih sengit dan sihat kerana mereka bersaing dengan pelbagai jenis lagu dan bukan bersaing dengan genre muzik secara khusus seperti sebelum ini," kata Azhar.
Beliau menafikan irama Etnik Kreatif dipinggirkan apabila format baru ini diperkenalkan.
Menurutnya, penilaian awal turut dibuat bagi memastikan juri tidak terpengaruh dengan elemen tertentu ketika pertandingan ini disiarkan secara langsung.
"Lagu Raja Gelek di tempat lima teratas membuktikan lagu Etnik Kreatif masih diminati. Semua lagu yang dipertandingkan untuk separuh akhir Muzik Muzik Ke-24 sudah dinilai lebih awal dan markah 70 peratus sudah kita berikan kepada mereka.
“Tujuannya supaya tidak terpengaruh dengan elemen lain ketika pertandingan ini berjalan. Suasana turut memainkan peranan. Mungkin sewaktu kita dengar cakera padat, lagu itu sedap tapi apabila di studio dan secara langsung, lagu itu jadi lain," katanya lagi.
Mengenai lima lagu yang mendapat markah tertinggi, Azhar menegaskan itu bukanlah satu jaminan buat mereka untuk terus menempah tiket ke peringkat akhir.
"Peluang itu ada tapi itu bergantung terhadap markah lagu yang dikumpulkan dalam dua pertandingan akan datang. Jika markah mereka rendah, mungkin peluang untuk lima lagu itu bertanding adalah cerah," katanya Azhar meleraikan kekeliruan.
Lagu lain yang turut bersaing adalah Mirage (Pesawat/Jipie), Dia, Aku dan Kamu (Nadia & Red Peanut/Eddie Hamid/Ahmad Fedtri Yahya), Oh Anok Anok (Reshmonu/Farasha Osman),Enjut (Noraniza Idris/Cat Farish, Roxy Tail & Illegal/Ahmad Fedtri Yahya, Cat farish & Roxy Tail),Gila (Mila/ Audi Mok/Nur fatima) dan Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor/Anjang).
Dipancarkan secara langsung dari Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, separuh akhir Muzik-Muzik 24 dikendalikan dua pengacara, Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Turut menghiburkan penonton ialah Yassin yang menyampaikan lagu Nur Kasih.
Separuh akhir Bahagian 2 pula diadakan pada di tempat yang sama minggu depan (13 November). Antara artis yang bakal mempertandingkan lagu mereka adalah Estranged, Nubhan, Jinbara, Riz & Alyah, Aizat, Sixth Sense, Akim, Black, Grey Sky Morning, Adam dan Hafiz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: