Thursday, November 12, 2009

Bukti kasih Shahrukh Khan


PAUL (kiri) pada majlis pelancaran kelab peminat Shahrukh Khan.

Peminat lancar kelab sebagai tanda sokongan kepada Raja Bollywood

PADA usia 44 tahun, aktor Shahrukh Khan masih dianggap antara bintang paling bersinar di persada seni hiburan Bollywood. Bukan setakat di India, bahkan pengaruhnya melimpah ke luar benua kecil terbabit. Sebut saja nama pelakon ini, peminat di seluruh dunia dapat membayangkan aksinya di layar, saat dia lincah menari, lasak bertarung mahupun ketika air matanya bergenang di pipi.

Beri saja apa-apa watak kepada pemuda ini, dia pasti memberikan hasil terbaik. Tidak hairanlah namanya tetap tidak lekang meniti bibir penerbit setiap kali mereka mahu muncul bersama projek filem baru. Pendek kata, senaraikan saja nama Shahrukh, peminat pasti berduyun ke panggung.


Bermula dengan kemunculan dalam beberapa program televisyen pada penghujung era 80-an, bintang ini mula dikenali di filem lewat penampilan dalam filem Deewana, kira-kira 17 tahun yang lalu. Sejak itu, peminat menyambut baik kehadiran wira baru dalam industri perfileman Bollywood.

Antara judul yang mengikat kuat nama Shahrukh di hati peminat ialah Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001), Kal Ho Naa Ho (2003), Veer-Zaara (2004), Kabhi Alvida Naa Kehna (2006), Chak De India (2007), Om Shanti Om (2007) dan Rab Ne Bana Di Jodi (2008).

Tahun ini dia muncul pula bersama filem Billu, selain membuat kemunculan sebagai diri sendiri dalam filem Luck by Chance. Sebuah lagi filem lakonannya, Dulha Mil Gaya, akan menjenguk pawagam dalam masa terdekat, diikuti filem yang ditunggu-tunggu ramai, My Name Is Khan pada awal tahun depan.

Pelakon kelahiran New Delhi ini yang turut dikenali sebagai Raja Bollywood sememangnya dianugerahkan bakat, membolehkannya kekal bersaing hampir dua dekad bersama ratusan aktor lain. Sebahagiannya lebih hebat dari segi rupa dan penampilan. Namun, berbekal kebolehan sukar dipertikai, Shahrukh tetap menduduki takhta tertinggi di kalangan aktor ternama India.

Sepanjang bergelar pelakon filem, dia sudah membawa pulang 13 pengiktirafan dari Anugerah Filmfare, dengan tujuh daripadanya bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Siapa yang mampu memperoleh pencapaian serupa? Bukan kejayaan yang mudah, tetapi pemuda ini mengerti bagaimana caranya untuk kekal diminati, diingati dan dicari buat jangka waktu yang lama.

Di Malaysia sendiri, namanya tidak pernah dilupa peminat sebelah sini. Malah, aktor tersohor itu turut beberapa kali menjejakkan kaki ke negara ini, sama ada untuk menghadiri majlis anugerah, acara tertutup, melakukan penggambaran, serta paling baru, menerima pingat kebesaran daripada kerajaan Melaka yang memberikannya gelaran Datuk.

Aura dan pengaruh pelakon lelaki ini cukup kuat sehinggakan negara kita turut memberikan pengiktirafan yang tinggi kepadanya. Gelaran Datuk yang diterima, walaupun menimbulkan pelbagai reaksi termasuk daripada mereka membantah penganugerahan berkenaan, membuktikan betapa ‘kuasa’ Khan begitu hebat di rantau ini.

Baru-baru ini pula, Kelab Peminat Datuk Shahrukh Khan Malaysia dilancarkan di ibu kota oleh presidennya sendiri, Paul A. Mungkin bukan kelab pertama seumpamanya, namun ahli perniagaan itu menyedari, ramai sekali pengikut setia pelakon terbabit di negara ini, yang memberikannya idea untuk mengumpulkan mereka di bawah satu payung.

"Ia bukan sebuah kelab yang berorientasikan perniagaan, sebaliknya sebuah tempat di mana orang ramai yang berkongsi minat serupa mampu meluahkan perasaan mereka bersama yang lain," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran ringkas yang diadakan di The Palace, Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur.

Kelab yang sudah pun didaftarkan itu kini mempunyai anggota jawatankuasa sendiri dan bersedia untuk digerakkan secara aktif.

"Impian kami tentulah untuk membolehkan anggotanya bertemu dengan bintang kesayangan ramai itu pada satu masa nanti. Jika semua berjalan lancar, berkemungkinan besar pertemuan itu akan terlaksana pada penghujung tahun ini," kata Paul yang menjangkakan keahliannya mencecah 1,000 orang pada suku pertama tahun depan.

Katanya juga, dia dan anggota jawatankuasa sudah mempunyai perancangan awal bagi menggerakkan kelab berkenaan termasuk memberikan keistimewaan kepada anggota kelab untuk menonton filem terbaru lakonan Shahrukh lebih awal daripada orang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: