Saturday, November 21, 2009

Saari Amri kembali berkarya


Saari dan Eddie kini digandingkan dalam album kompilasi, Lentok Berbisa yang berada di pasaran sejak 26 Oktober lalu.


SUATU ketika dahulu, nukilan rasa komposer ini dalam penciptaan lagu pernah mengusik jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya. Era 90-an benar-benar membawa nama Saari Amri di puncak kejayaan.

Malah, ketika itu karyanya cukup enak disenandungkan oleh barisan artis terkenal sealiran zaman itu termasuklah Ziana Zain, Spring, Ella, Azie dan Ukays.

Pasti ramai yang masih ingat kepada lagu-lagu melankolik hasil ciptaannya seperti Madah berhelah, Butakah Cinta, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Lamunan Terhenti, Sembilu, Karam dan Gerimis Mengundang.

Semua itu adalah terjemahan melodi jiwanya yang sehingga kini masih diputarkan di corong-corong radio malah, cukup segar di halwa telinga.

Namun, tatkala namanya di puncak kejayaan, tragedi hitam yang menimpa dirinya apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya sekitar November, 1996 bagaikan meragut segala kemewahan miliknya.

Tiada lagi nama yang dulunya cukup disanjung, rakan-rakan, teman artis malah ibarat jatuh ditimpa tangga, dirinya dibebani hutang keliling pinggang.

Ditambah pula terkesan akibat kemalangan itu keadaan dirinya tidak mampu mengingati siapa dirinya.

Mujur ketika itu, isterinya, Senorita Abdul Rahman, 38, serta empat anaknya, Mohd. Fitri Amri, 14, Iras Irmarita, 13, Iras Marliani, 10, dan Amri Farizwan, 7, sentiasa disisinya memberikan semangat serta memasang keyakinan bahawa Saari akan kembali sembuh seperti sediakala.

Lima tahun dibelenggu pelbagai persoalan, akhirnya Saari kembali sembuh. Dan peristiwa hitam itu benar-benar memberi pengalaman dan pengajaran besar buat dirinya.

Ditemui baru-baru ini, biarpun kelihatan sihat namun susuk badannya bagaikan menterjemah kepayahan yang dilaluinya sepanjang tempoh untuk kembali berkarya seperti sebelumnya.

“Alhamdulillah sekarang saya sudah semakin pulih. Sebenarnya saya tidak menghilang ke mana-mana saya cuma banyak berehat dan hidup dengan duit royalti.

“Kemalangan yang saya alami suatu ketika dahulu, memberi kesan yang besar buat diri saya. Saya hilang segala-galanya. Ibarat jatuh terduduk.

“Sekarang apa yang boleh saya fikir, tiada kawan-kawan pun tak mengapa sebab saya masih ada punca rezeki dan keluarga iaitu isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan dan semangat buat saya,” katanya.

Walaupun lama menghilang, kata Saari, dia sebenarnya tidak pernah melupakan bidang penciptaan lagu. Malah, muncul semula dengan single terbaru nyanyian Rahmat Ekamatra.

“Dahulu bukan saya tidak mencuba buat lagu. Selepas kemalangan, saya sakit selama lima tahun dan dalam tempoh itu saya bagaikan orang lain. Saya tak ingat apa-apa, apabila orang bertanya saya bercerita yang bukan-bukan dan saya tidak boleh kawal keadaan itu.

“Namun selepas pulih, saya banyak terlibat dengan aktiviti penjurian. Ramai yang panggil saya untuk menjadi juri pelbagai pertandingan kecil.

“Daripada situ saya mencipta lagu dan mencari bakat-bakat baru. Sayangnya kerana masalah ekonomi, cubaan saya untuk mengetengahkan bakat baru menemui jalan buntu,” kata Saari lagi.

Jelas Saari, biarpun diselubungi awan hitam yang ternyata menyukarkan langkahnya untuk kembali aktif dalam bidang muzik, apa yang pasti dia tidak mengeluh.

“Syukur saya masih ada punca rezeki. Perbezaan ketara yang saya alami kini ialah saya mempunyai masa rehat yang panjang berbanding dahulu.

“Segala yang terjadi sudah tertulis buat diri saya. Sekarang fikiran saya begitu tenang. Apa yang penting, keluarga saya kekal dan bahagia sentiasa.

“Satu yang boleh saya katakan, walau susah jangan sesekali kita menyakiti hati orang. Pasti ada rezeki dan jalan terbaik yang ditunjukkan Tuhan kepada kita,” kata Saari lagi.

Kembali berkarya, terbaru Saari Amri tampil dengan lagu ciptaannya, Helahmu yang dinyanyikan oleh Rahmat Ekamatra yang mana single tersebut dimuatkan dalam album kompilasi lagu-lagu popularnya bersama Eddie Hamid, Lentok Berbisa yang kini berada di pasaran.

Paduan rasa Saari, Eddie

Kompilasi tersebut menampilkan sebanyak 20 buah lagu-lagu hits dua komposer tersebut antaranya, Gerimis Mengundang, Bunga Emas, Ku Sapu Air Mata Perpisahan, Butakah Cinta, Nyanyian Rindu Buat Kekasih, Mengusung Rindu, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Niat Hati Tak Nak Berpisah.

Turut dimuatkan ialah lagu baru ciptaan Eddie Hamid, Janganlah Tak Jadi nyanyian kumpulan yang popular sekitar 90-an, AXL’S.

Eddie yang ditemui pada sesi yang sama memberitahu, ini merupakan album pertama yang menggabungkan lagu-lagu popular ciptaannya dengan Saari Amri.

“Ini juga merupakan paduan dua album yang dibuat dua tahun lalu secara berasingan iaitu Lentok Habis (Eddie Hamid) dan Bisanya (Saari Amri),” kata Eddie.

Album yang telah berada di pasaran sejak 26 Oktober lalu itu turut dihasilkan dalam bentuk VCD karaoke.

Kerjaya sebagai seorang pencipta lagu bukanlah semudah yang disangka. Jika tidak kena gaya, pasti peluang untuk terus bertahan menemui titik noktah sebelum mencipta kejayaan tersendiri.

Pernah dilabel sebagai pencipta lagu-lagu ‘kampung’, langsung tidak mematahkan semangat Eddie untuk terus berkarya.

Malah, telah hampir dua dekad dia berjaya mempertahankan identitinya.

“Mungkin inilah resipi untuk saya bertahan hingga kini. Saya masih kekal dengan identiti lagu-lagu melankolik sehingga kini.

“Saya berpegang kepada pesanan arwah rakan saya, Loloq, supaya tidak mengubah identiti lagu-lagu yang saya cipta sehingga kini.

“Mencipta lagu adalah jiwa saya. Biarpun pernah dilabel sebagai ‘kampung’ namun, saya tidak kisah sebab itulah yang membuatkan saya kekal sehingga ke hari ini,” kata Eddie lagi.

Tambah Eddie, kini dia sibuk mencipta lagu untuk album terbaru irama etnik Saleem yang dijangka berada di pasaran Disember ini.

Malah, Eddie juga sedang sibuk menguruskan pembikinan album bintang yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Oh La La, Emeer dan Amira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: