Friday, November 20, 2009

‘Saya bukan perosak lagu’


SEKIAN lama menanti, akhirnya impian Liyana Jasmay, 21, untuk melihat kelahiran album pertamanya di pasaran tercapai apabila album Aku Tidak Percaya Cinta dilancarkan secara rasmi, Rabu lalu, di Hard Rock Cafe.

Mengenengahkan konsep ‘Pop Teen Rock’, album terbitan Regal-Way Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama Metadome Sdn Bhd ini menampilkan lima lagu iaitu Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta, Penyelamat Cinta, Pelik dan Kejam itu mudah menangkap halwa telinga.

Namun, di sebalik kegembiraan meraikan kemunculan album yang dianggap bayi sulungnya itu, Liyana atau LJ berhadapan dengan kritikan ramai yang mempertikaikan kemampuannya menyanyi, sekali gus memperlekeh tindakannya menghasilkan album.

Dia dituduh sebagai perosak lagu dan mengeksploitasi ‘kekayaannya’ untuk menakluk persada muzik sedangkan apa yang dilakukan sesuatu di luar kemampuannya. Selain menggunakan jalur ini untuk melengkapkan profil seninya sebagai pelakon, duta dan penyanyi.

Liyana berkata, dia sedikitpun tidak melatah bahkan sangat tenang serta bijak menangani setiap telahan yang dihamburkan kepadanya.

“Saya bukan orang kaya, janganlah kata begitu. Senang itu mungkin, Alhamdulillah. Saya pasti dalam dunia ini sesiapapun yang ada duit akan melakukan apa yang mereka suka.

“Apabila peluang sudah terbentang depan mata, seharusnya ia dimanfaatkan bukannya dipersiakan. Terus terang, saya tidak kisah apa orang hendak cakap kerana hidup ini kita sendiri yang harus mengaturkannya, bukan orang lain yang patut beritahu kita apa yang perlu kita buat atau tidak,” katanya.

Kata Liyana, tuduhan mengatakan dirinya sebagai ‘perosak lagu’ sebenarnya datang daripada golongan yang sebenarnya tidak tahu soal muzik. Mereka suka bercakap sewenang-wenangnya ikut selera sendiri.

“Terpulanglah apapun yang ingin mereka perkatakan, saya tiada masalah langsung asalkan saya mendapat kepercayaan daripada penerbit. Jika mereka mengatakan saya perosak lagu, secara tidak langsung mereka mempertikaikan kredibiliti Ajai selaku komposer dan penerbit terkenal.

“Saya yakin Ajai tidak akan menerbitkan album seseorang hanya kerana wang. Sudah pasti dia melihat segenap sudut dan menilai sejauh mana idea muzik saya ini mampu memberi inspirasi kepada pendengar.

“Seperkara lagi, muzik adalah perkara ‘universal’. Muzik yang bagus akan diterima dan dihargai pendengar. Apa yang boleh saya katakan, muzik dalam album ini ada ‘arah tujuan’,” katanya.

Apapun, Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 menerusi lakonannya dalam Papadom tidak menafikan banyak lagi perkara yang harus diperbaiki dari segi vokal.


Katanya, dia juga ingin memperbetulkan persepsi masyarakat mengatakan dia menghasilkan album ini sekadar suka-suka atau hanya mampu melengkapkan lagi profil seninya.

“Saya sedar kelemahan diri saya dan sudah tentu saya akan memperbaikinya dari semasa ke semasa. Tak tahulah kalau ada orang yang tidak mahu berusaha memperbaiki diri mereka.

“Sejujurnya, saya tidak buat album kalau hanya untuk suka-suka kerana saya seorang yang komited dan setiap perkara yang saya lakukan, saya ambil serius dan menganggap ia sebagai satu ibadah.

“Untuk tahun pertama, mungkin ini yang terbaik dapat saya berikan. Tahun kedua, sudah tentu saya mahu menjadi lebih baik, begitulah seterusnya. Kalau perkembangan saya masih di takuk lama, itu menandakan saya harus berhenti,” katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan dirinya sebagai Paris Hilton Malaysia kerana menggunakan kemewahan dan populariti untuk menceburi bidang nyanyian walaupun bakat di luar kemampuan, Liyana menafikan hal itu. Namun, dia mempunyai pandangan tersendiri terhadap Paris yang dianggapnya sangat pintar.

“Paris Hilton adalah satu jenama. Tidak kisahlah kalau orang beri gelaran bimbo sekalipun, pada saya Paris sangat bijak. Satu dunia tahu siapa Paris Hilton dan semua orang hendak tahu cerita mengenainya.

“Dia hasilkan buku, orang sanggup beli walaupun ala-ala saja dan dia bijak menggunakan popularitinya dengan menghasilkan album serta produk menggunakan jenamanya sendiri seperti beg tangan dan pewangi yang semua inisiatif ini menguntungkan serta membuatkannya bertambah kaya.

“Saya tidak menjadikannya idola tetapi kagum cara dia buat bisnes menggunakan dirinya sebagai jenama. Dia tidak bodoh tetapi sebenarnya bijak,” katanya.

Album Aku Tidak Percaya Cinta mula dirakamkan sekitar Disember tahun lalu dan selesai Februari lalu. Namun disebabkan sibuk dengan penggambaran filem Puaka Niyang Rapik, album yang dijadualkan melewati pasaran pada Jun lalu hanya dapat dilancarkan pada 19 November lalu.

Akui Liyana, dia berpuas hati dengan keseluruhan pembikinan album itu yang menampilkan Ajai sebagai produser juga komposer kepada tiga lagu, Aku Tak Percaya Cinta, Kejam dan Aku Jatuh Cinta manakala Pelik hasil nukilan AG daripada kumpulan Coco sementara lirik Elle (Coco).

Dalam album ini juga, terdapat sebuah lagu duet yang cukup istimewa menampilkan kolaborasi Liyana sebagai penulis lirik dan teman tapi mesranya, Aizat, sebagai pencipta lagu Penyelamat Cinta.

Pada majlis pelancaran itu, Aizat turut hadir memberi sokongan selain beraksi bersama menyampaikan lagu yang penuh makna buat mereka. Liyana turut menyampaikan empat lagu lain dalam albumnya sambil diiringi pemuzik tetap mengiringi persembahannya, AG (gitar utama), Dugong (gitar bass), Ari (gitar kedua), Kudut (dram) dan Ully (keyboard).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: