Thursday, November 5, 2009

Rusuhan akibat tunjuk perasaan di Teheran


GAMBAR menunjukkan anggota-anggota polis menghampiri penunjuk perasaan di Teheran.


TEHERAN - Polis pencegah rusuhan Iran terpaksa menggunakan belantan dan gas pemedih mata bagi menyuraikan bantahan kumpulan penentang kerajaan di sini semalam.

Tunjuk perasaan itu berlaku semasa rakyat Iran mengadakan perhimpunan raksasa sempena memperingati insiden penawanan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini 30 tahun lalu.

Saksi-saksi berkata, rusuhan ganas meletus di dataran Haft-e-Tir apabila ratusan penyokong pemimpin bekas perdana menteri, Mir Hossein Moussavi berkumpul sejak awal pagi.

Mir Hossein sebelum ini kalah kepada Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya presiden Iran.

Sejumlah penunjuk perasaan yang diketuai pemimpin pembangkang, Mehdi Karroubi bertempur dengan kumpulan prokerajaan apabila mereka bertembung dan menyebabkan pihak polis bertindak keras untuk menyurai kekacauan.

Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, kumpulan protes itu membakar tong sampah, menyerang bas dan memecah tingkap kenderaan dengan mengakibatkan dua anggota polis cedera.

Keadaan kembali pulih menjelang lewat petang apabila penduduk kembali ke rumah namun sejumlah besar anggota keselamatan masih diletak dalam keadaan berjaga-jaga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: