PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja semalam mengesahkan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, Hun Sen dan pentadbirannya, demikian menurut satu kenyataan semalam.
Jelas kenyataan itu, Thaksin akan bertugas sebagai penasihat peribadi kepada Hun Sen dan penasihat ekonomi kerajaan.
Pelantikan yang mendapat perkenan diraja itu diumumkan kurang dua minggu selepas Hun Sen mencetuskan rasa tidak senang Bangkok kerana menawarkan Kemboja kepada Thaksin yang menjadi buruan Thailand sebagai tempat tinggalnya.
Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva minggu lalu menyuarakan rasa kurang senang Bangkok terhadap cadangan melantik Thaksin menjadi penasihat Kemboja malah Thailand berhasrat untuk memohon perintah ekstradisi jika taikun telekomunikasi itu berada di Kemboja.
Thaksin yang digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada September 2006 hidup dalam buangan setelah melarikan diri daripada hukuman salah guna kuasa.
Pada tahun lalu, sebuah mahkamah di Thailand mendapati Thaksin bersalah terhadap dakwaan salah guna kuasa dan dia dijatuhkan hukuman dua tahun penjara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: