Thursday, November 5, 2009

Adik tiri dakwa dipukul bapa Obama


MARK menunjukkan buku novel yang ditulisnya di Guangzhou, China.


GUANGZHOU - Adik tiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, Mark Ndesandjo mendedahkan bapa mereka seorang yang panas baran sehingga sanggup memukul dia dan ibunya, Ruth Nidesand.

Dalam satu temu bual untuk membincangkan mengenai buku novel separa autobiografinya yang berjudul Nairobi to Shenzhen, Mark menjelaskan, perlakuan bapanya, Barack Obama Sr. meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

"Bapa memukul ibu saya dan memukul saya," kata Mark.

Buku yang mula dijual semalam oleh syarikat Aventine Press itu merupakan satu daripada sejumlah buku yang ditulis oleh saudara Obama.

Ibu Mark itu merupakan isteri ketiga bapa Obama itu yang merupakan wanita keturunan Yahudi.

Bapa Obama dan ibunya, Stanley Ann Dunham, bercerai dua tahun selepas presiden AS itu lahir pada 1961.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu, Mark tinggal di wilayah Shenzhen yang terletak berhampiran Hong Kong.

Mark menyatakan beliau menghadiri majlis angkat sumpah Obama pada 20 Januari lalu tetapi beliau enggan mengulas mengenai hubungannya dengan presiden AS ke-44 itu.

Katanya, dia berhasrat untuk bertemu Obama ketika beliau melawat Beijing di China pada 15 November ini.

"Saya berhasrat untuk memperkenalkan isteri saya kepadanya," kata Mark.

Bapa presiden AS itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 1982 semasa berumur 46 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: