|
|
MELIHAT aksi si kecil molek ini yang sentiasa ceria buat kita terlupa yang rumah tangganya dengan pemain drum kumpulan Padi, Yoyo, hancur kira-kira empat bulan lalu.
Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir mungilnya, Rossa. seolah-olah mahu memberitahu bahawa biarpun rumah tangga yang dibina atas dasar cinta telah runtuh, namun hidupnya tetap bahagia.
Bukan itu sahaja, malah riak wajahnya yang sungguh gembira membuatkan para wartawan yang hadir pada sidang medianya tertanya-tanya, adakah keceriaannya kerana kehadiran orang baru dalam hidupnya ataupun kembali menjalin cinta dengan dudanya.
Saat ditanya persoalan itu, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani menafikan kedua-duanya.
Ujarnya, dia belum menemui cinta yang baru bagi menggantikan Yoyo, apa lagi kembali bersama dengan dudanya itu.
Dengan tegas, Rossa menyatakan yang dia tidak akan kembali bersama dengan bekas suaminya itu kerana pintu hatinya sudah tertutup buat Yoyo.
"Memang saya tidak nafikan hal jodoh ini ditentukan oleh Tuhan namun hati saya memang tidak boleh menerima dia kembali dan saya sudah berhenti berharap.
"Namun, hubungan saya dan Yoyo masih baik. Dia merupakan seorang bapa yang bertanggung-jawab kepada anak kami.
"Walaupun saya mendapat hak penjagaan penuh terhadap anak kami, Rizky, Yoyo bebas berjumpa dengannya bila-bila masa.
"Rizky masih kecil dan tidak faham apa-apa tentang perpisahan kami. Mungkin dia berasa dia mempunyai dua rumah yang berbeza," ujarnya disertai gelak-tawa ketika ditemui di sidang media promosi Enjoy Jakarta di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rossa optimis
Hidup bersama sebagai pasangan suami isteri selama lima tahun ternyata membuatkan Rossa berasa sedikit sunyi apabila tiada lagi kehadiran seseorang yang bergelar suami di sisi.
Bagaimanapun, Rossa tetap optimis dengan kehidupannya dan sentiasa menyibukkan diri dengan kariernya serta menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya.
Ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan, tiga setengah tahun, ini juga menafikan gosip yang mengatakan dia kini menjalin cinta dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha.
Jelasnya, mereka hanya kawan dan mungkin kerana sering digandingkan bersama dalam show ada yang berasa mereka kelihatan secocok membuatkan gosip itu semakin menular.
Tambahnya, buat masa ini dia lebih selesa bersendirian dan fokus kepada karier, syarikat rakamannya serta tanggung-jawab baru sebagai jurucakap Enjoy Jakarta.
Tidak menolak jika menemui jodohnya suatu hari nanti, Rossa menetapkan yang dia menginginkan lelaki yang dapat menyayangi anaknya.
"Mestilah saya mahu yang lebih baik dari sebelum ini, mempunyai didikan agama yang elok, sayangkan Rizky dan semestinya sayang dengan saya," ujar Rossa.
Simpati dengan KD
Seorang demi seorang artis di negara seberang bercerai dan yang paling terbaru diva terkenal, Kris dayanti (KD) yang juga merupakan rakan Rossa, berpisah dengan Anang Hermansyah setelah 13 tahun hidup bersama.
Menurut Rossa, dia begitu sedih dan bersimpati dengan apa yang terjadi terhadap rakannya itu.
Dia yang baru sahaja berjumpa dengan KD pada 10 Oktober lalu kerana menghadiri majlis hari jadi ibu KD menasihatkan rakannya agar terus tabah.
"Saya sedih apa yang berlaku dengan KD kerana saya tahu sakitnya perpisahan itu.
"Nasihat saya agar KD teruskan hidup dengan lebih tabah kerana perjalanan hidup kita masih panjang.
"Saya yakin KD seorang wanita yang kuat dan semoga kehidupan kami akan menjadi lebih baik selepas ini," simpati Rossa.
'Duta' Jakarta
Langkah Rossa kini kian rancak apabila dia turut dilamar oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) menjadi duta mempromosikan Jakarta menerusi kempen Enjoy Jakarta di Malaysia.
Walaupun Rossa bukanlah anak jati Jakarta, namun ujar wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ini, impiannya banyak dimakbulkan di Jakarta.
Atas sebab itulah dia menerima tawaran JTCO itu sebagai membalas jasa kota Jakarta kepadanya selama ini.
"Saya terharu kerana diberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar sebagai duta Enjoy Jakarta walaupun saya bukan berasal dari Jakarta.
"Inilah masa untuk saya membalas jasa dan saya akan lakukan yang terbaik sebagai duta Enjoy Jakarta ini.
"Saya tidak berasa beban dengan status ini kerana saya melakukan apa yang saya suka, bercerita tentang keindahan Jakarta dan saya memang sangat cintakan Jakarta," ujarnya.
Tambahnya, sejak dipilih menjadi duta Enjoy Jakarta tiga bulan lalu, dia mempelajari banyak tentang keindahan kota itu yang sebelum ini tidak berkesempatan diterokai.
Ujarnya, Jakarta mempunyai banyak tempat yang menarik untuk membeli-belah, menyelam, kawasan sejarah, kehidupan malam, spa, golf dan lain-lain.
"Contohnya Pulau Seribu. Di sana ada padang golf yang besar dan murah yang pasti menjanjikan kepuasan kepada peminat golf.
"Bagi wanita yang suka membeli-belah seperti saya, Jakarta boleh dikatakan seperti syurga kerana variasi barangnya.
"Kanak-kanak juga dapat bergembira dengan taman tema di Jakarta yang setanding dengan taman tema terkenal yang lain," ujar Rossa rancak.
Menerusi kempen ini, JTCO bersama dengan Explorer Tourism Network (ETN) turut menganjurkan peraduan Fly With Rossa To Jakarta.
Pemenang yang bertuah memenangi dua tiket penerbangan pergi balik bagi kelas bisnes KLM Royal Dutch Airlines dengan ditemani oleh Rossa untuk bercuti bersama penyanyi itu di Jakarta selama tiga hari dua malam.
Aniza Abd Razak yang memenangi peraduan itu turut memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, baucer beli-belah bernilai USD300 (RM1000) dan jemputan menyaksikan showcase Enjoy Jakarta Evening oleh Rossa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya mengenai kekeruhan antara Malaysia dan Indonesia akibat beberapa insiden pada tahun ini, Rossa berharap semuanya kembali pulih.
Ujarnya, keadaan tidaklah seburuk seperti yang digembar-gemburkan oleh media dan Jakarta sememangnya masih aman- damai.
"Saya agak sedih dengan keadaan ini kerana saya sendiri mempunyai ramai kawan di Malaysia.
"Tetapi saya yakin, kedua-dua negara telah mengambil inisiatif memulihkan keadaan dan kembali berdamai kerana kita adalah satu rumpun.
"Dan saya juga perlu memainkan peranan untuk menunjukkan imej sebenar Jakarta dengan menjadi duta Enjoy Jakarta ini," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: