Friday, November 6, 2009

Peserta Ikon tak serius?


DENGAN penyingkiran lima peserta, ia membuka peluang sembilan lagi peserta Penyampai Ikon untuk mara ke peringkat seterusnya.


MINGGU prestasi keempat, Penyampai Ikon, sebuah program realiti yang melatih bakat-bakat baru dalam dunia penyiaran, menyaksikan lima lagi peserta disingkirkan.

Mereka adalah Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Cassandra Manja, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Nur 'Izzati Abul 'As, 22; dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.

Memperlihatkan prestasi yang lemah dalam penyampaian berita, penilaian antara lain merangkumi disiplin penyampaian, keyakinan diri, etika di hadapan kamera, penampilan dan ketrampilan.

Turut dinilai ialah laporan di lokasi yang merangkumi gaya penulisan dan kandungan laporan serta gaya lapor berdiri (stand upper).

Apa pun, minggu prestasi keempat memperlihatkan betapa hampir keseluruhan peserta bagaikan tidak mengambil serius terhadap tugasan yang perlu dilaksanakan.

Tugasan di lokasi, contohnya, ia boleh diklasifikasikan sebagai mengecewakan apabila ramai yang gagal 'menghidu' elemen-elemen baru mengenai keunikan Melaka.

Mengambil jalan mudah, ramai antara mereka melaporkan sesuatu yang sudah diketahui umum seperti bercerita berjela-jela tentang soal sejarah Melaka.

Meskipun ada yang mampu mencari bahan berita bercorak isu-isu baru dan isu kemanusiaan (human interest), malangnya, ia tidak diperkukuhkan dengan gaya bahasa yang indah, teratur serta visual menarik.

Bertambah buruk, walaupun sudah berkali-kali ditegur dan diajar di dalam kelas, kebanyakan mereka masih terlalu bergantung harap kepada buku nota semasa melakukan gaya lapor berdiri.

Dilihat 'melanggar etika, ada kalangan peserta yang bertindak membaca dan merujuk nota berkali-kali ketika di hadapan kamera.

Tolak ketepi soal mutu vokal serta kelancaran membaca berita, perkara penting yang sering ditegur oleh barisan juri ialah mengenai emosi.

Dalam hal tersebut, rata-rata kalangan peserta masih belum berjaya menghayati emosi tatkala membaca sesuatu nilai berita.

Melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi anak didik yang bernaung di bawahnya, Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak berkata, perkara yang paling memalukannya adalah sewaktu peserta Penyampai Ikon diberikan tugasan di lokasi.

"Agak kecewa kerana mereka ini sudah berada di dalam kolej selama dua bulan. Masih ada yang tidak serius. Paling memalukan adalah apabila ada yang membaca buku nota ketika stand upper.

"Kita sudah panggil orang yang hebat-hebat untuk mengajar mereka. Apa yang diajar dan dibincangkan di dalam kelas, tidak ramai yang mempraktikkannya dan hilang fokus sewaktu di hadapan kamera,'' katanya ketika ditemui pada malam prestasi keempat Penyampai Ikon di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyampai Ikon bersiaran setiap Sabtu di TV2 pada pukul 9 malam.

Lima peserta bakal berentap di pentas akhir pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang akan diadakan 14 November ini. Tidak seperti program realiti lain, penyingkiran dalam Penyampai Ikon diputuskan sepenuhnya oleh panel juri profesional.

Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya; Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah; dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Tugasan peserta yang dinilai di minggu prestasi keempat ialah pembacaan berita bagi slot Berita Wilayah di studio dan laporan di lokasi.

Mengulas lanjut, Yusanani berkata, meski melihatkan kelemahan, ada juga peserta yang diperhatikannya pantas dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari sewaktu diberikan tugasan.

Ujarnya, selain tugasan yang boleh dinilai di hadapan kamera, setiap peserta juga tidak terlepas daripada penilaian berkaitan disiplin sepanjang berada di dalam Kolej Penyampai Ikon.

"Disiplin juga diambil kira. Ada juga yang ponteng kelas dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Semuanya itu akan memberi kesan terhadap penilaian lain,'' jelasnya.

Program Penyampai Ikon, yang bermula pada pertengahan Ogos lalu merupakan usaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk melatih bakat-bakat baru dalam bidang kewartawanan televisyen, penyampaian berita dan pengacaraan program-program ehwal semasa Radio dan Televisyen Malaysia.

Seramai 17 peserta dari seluruh negara telah dipilih untuk menyertai program itu melalui uji bakat yang telah diadakan.

Selama tiga bulan mereka diberi latihan intensif dalam bidang kewartawanan siaran oleh tenaga pengajar yang mahir dalam dunia itu.

Saingan seterusnya

Dalam pada itu, dengan penyingkiran lima peserta di minggu prestasi keempat, sembilan lagi peserta akan berentap di minggu prestasi seterusnya.

Peserta tersebut adalah Hazel Anak Desmond, 26; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27; dan Khairul Faizi Dalaiil, 23.

Lain-lain peserta, Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Siti Aisyah Baslie, 24; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; serta Mohamed Shahril Sarapudin, 21.

Di minggu prestasi keempat, tiga peserta diumumkan berada di tiga tangga teratas dan memenangi wang tunai RM300 berserta empat buku ilmiah berkaitan kenegaraan tulisan Chamil Wariya.

Memperlihatkan prestasi yang konsisten, peserta berkenaan adalah Aina Suzaily, Khairul Faizi dan Mohamed Shahril.

Sebelum ini, tiga peserta telah disingkirkan pada 8 Oktober lalu iaitu Mohd. Sharkawi Mohd. Salehuddin, 23; Noormadiana Kamaluddin, 23; dan Norsila Talaha, 26.

Di peringkat awal, Kolej Penyampai Ikon menetapkan seramai lima peserta akan berentap di peringkat akhir untuk memenuhi impian mereka bagi menjadi juara di Malam Anugerah Penyampai Ikon yang bakal diadakan pada 14 November ini.

Bagaimanapun, pada penghujung siaran prestasi minggu keempat, Yusanani mengumumkan bahawa pihaknya akan menyediakan satu lagi tempat kepada mereka yang tersingkir untuk beraksi di pentas akhir.

"Oleh yang demikian, di peringkat akhir nanti, akan ada enam finalis. Peserta yang tersingkir, mereka perlu menunjukkan kesungguhan bagi dipilih semula untuk peringkat akhir nanti,'' tambah Yusanani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: