Thursday, November 5, 2009

Debar hari bahagia


BERITA vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau lebih mesra dipanggil Tam yang dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ahad ini pastinya memberi khabar gembira bukan hanya pada peminat kumpulan itu, tetapi dikongsi sama bakal isteri, Aida Mustafa.

Menariknya, acara persandingan mereka yang diadakan di Dewan Tun Ibrahim Ismail, Pekan Nanas, Pontian, Johor turut menjadi saksi pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada sebelah pagi, jam 9 bertempat Masjid Jamek Pekan Nanas.

Pasangan ini mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas bertunang pada 15 Ogos lalu. Aida ketika dihubungi menyatakan perasaan berdebar bercampur gembira makin kuat dirasai menjelang hari bahagia mereka nanti.

Mengenai majlis perkahwinan, Aida menyatakan segala persiapan rancak dijalankan sama ada khemah, pelamin, pakaian pengantin dan jamuan.

Katanya, persiapan makanan yang menyediakan menu seperti nasi beriani bersama lauk ayam dan daging kambing dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung.

"Majlis akan bermula jam 11 pagi hingga 5 petang dan seramai 1,500 jemputan dijangka hadir. Bagi pengantin, kami akan bersanding dalam jam 2 petang.

"Sebolehnya, saya mahu acara ini diadakan secara sederhana seperti acara makan, bersanding dan menepung tawar. Saya bersama Tam merancang untuk mengenakan pakaian pengantin berkonsep tradisional dan moden dengan warna putih untuk keseluruhan konsep termasuk pelamin yang disediakan Adli Bridal dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

"Kami hanya mengenakan sepasang baju pengantin dan majlis ini juga dihadiri sama 500 anggota keluarga saya dan mentua," katanya.

Menyingkap kisah percintaan mereka, Aida, 27, menyatakan perhubungan cinta mereka menjadi serius sejak setahun lalu selepas berkenalan hampir lima tahun.

Aida yang bekerja sebagai pengarah urusan untuk satu syarikat pengurusan acara menganggap perkahwinan mereka menjadi kenyataan kerana jodoh dan persefahaman antara mereka berdua untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri.
Katanya, dia lebih senang hidup sebagai isteri berbanding dianggap selebriti seperti bakal suaminya.

Aida turut berkata dia tidak mahu menyekat minat Tam untuk terus menyanyi sebaliknya terus beri sokongan.


"Untuk majlis kali ini, kami juga menjemput peminat untuk hadir. Apapun, saya terlebih dulu memohon maaf pada tetamu jika ada kekurangan seperti jamuan pada majlis persandingan ini nanti.

"Selepas ini, majlis sambut menantu diadakan pada 15 November di Melaka. Majlis sebelah lelaki ini hanya diadakan secara kecil-kecilan untuk anggota keluarga dan saudara terdekat.

"Saya berharap pihak media tidak salah faham kerana tidak dijemput ke sana. Cuma majlis di rumah saya, ramai tetamu dijemput," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: