|
|
SEKITAR 18 tahun lalu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Killing Me Softly With His Song dan Tonight I Celebrate My Love ini pernah menjejakkan kaki ke Malaysia untuk menjayakan sebuah persembahan di Pulau Langkawi, Kedah.
Dilahirkan di North Carolina dan dibesarkan di Arlington, Virginia, siapa yang tidak kenal dengan sosok tubuh bernama Roberta Flack, wanita tabah yang mengabdikan diri dalam bidang nyanyian serta muzik sejak berusia belasan tahun lagi.
Biarpun usianya sudah mencapai 72 tahun, graduan Howard University ini tidak pernah rasa jemu menghiburkan peminatnya.
Lalu, kerana konsistensinya itu menyebabkan Roberta bertakhta sebagai antara artis antarabangsa yang dihormati.
Lagu-lagu nyanyiannya tidak pernah malap malah sentiasa segar dan sering berkumandang serta menjadi pilihan untuk dinyanyikan semula oleh kebanyakan artis lain.
Dengan rangkaian lagu-lagu hits termasuk The First Time Ever I Saw Your Face, Where Is The Love (duet bersama Donny Hathaway), Feel Like Makin' Love, The Closer I Get To You dan Set The Night To Music, Roberta sudah pun membina legasi muziknya tersendiri.
Pernah menghasilkan berpuluh buah album yang kebanyakannya menerima anugerah emas dan platinum, membanggakan, pada 1999, penyanyi bersuara unik ini menerima penghormatan sebagai bintang legenda Hollywood apabila namanya diabadikan di Walk Of Fame.
Begitulah kukuhnya perjalanan seni Roberta yang turut lantang menyatakan suaranya di dalam Artist Empowerment Coalition (AEC), sebuah badan yang memperjuangkan hak-hak artis.
Bertahun berlalu, kini, tanpa disangka, Roberta kembali semua ke Malaysia untuk menjayakan konsert Roberta Flack 'Killing Me Softly...Live' @ The Hilton KL.
Menganggap ia seperti pulang ke rumah sendiri, Roberta tidak lupa meluahkan kata-kata pujiannya terhadap Malaysia.
"Saya sangat gembira berada di sini. Ini merupakan kali kedua saya ke Malaysia selepas di Langkawi pada 1991.
"Masyarakat di sini sangat baik dan persekitarannya cukup bagus. Setibanya di Kuala Lumpur, saya menghabiskan berjam-jam bersiar di sekitar ibu negara ini.
"Saya juga ditemu bual di stesen radio Lite FM. Temu bual itu banyak berkisar tentang album baru dan perkembangan muzik saya,'' katanya pada sidang akhbar sempena persembahannya di Roberta Flack 'Killing Me Softly...Live' @ The Hilton KL di ibu negara baru-baru ini.
Apa yang wajar diketahui mengenai penghibur yang masih mempunyai semangat perjuangan seni yang tinggi ialah dia seorang yang peramah dan mudah didekati.
Perlu disebutkan juga, persembahannya di Kuala Lumpur tempoh hari merupakan siri jelajahnya yang turut menghiburkan khalayak peminat di Bangkok dan Pattaya, Thailand serta Trinidad dan Florida.
Persembahannya di Hilton KL dijayakan bersama JS Concert Productions, Midas Promotions dan Dorsey Productions.
Dalam kunjungan singkatnya itu, Roberta tidak melepaskan peluang berkunjung ke Karyaneka di Kompleks Kraf, Jalan Conlay serta KLCC.
Di Kompleks Kraf, Roberta menerima hadiah istimewa berupa selendang bermotifkan batik yang dihadiahkan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad.
Dan dalam sidang media bersama wartawan tempatan, Roberta menceritakan pengalaman menjadi anak seni.
Selepas berdekad-dekad menghiburkan masyakat, dia sebetulnya sudah begitu 'lali' dengan persekitaran muzik.
Lantaran kehidupan yang dilingkari muzik setiap masa menyebabkan beliau ada ketika sukar untuk menikmati alunan sesebuah muzik.
"Kerana itu, ada kala saya perlu berehat seketika supaya mampu untuk melakukan yang terbaik. Sebagai pemuzik, sudah tentu pendengar dan peminat mahukan sesuatu yang sempurna. Tetapi, ia bukanlah satu kerja yang mudah.
"Kalau mahukan kesempurnaan, kita perlu tampil dengan yang terbaik sahaja,'' katanya yang tidak lari daripada perasaan gementar setiap kali beraksi di hadapan audiens meski sudah lama bergelar artis.
Masih berfikiran kreatif
Bagi seorang anak seni yang sudah berjuang dalam pelbagai era perkembangan muzik dunia, apa yang dikagumi mengenai Roberta ialah dia masih mempunyai minat yang mendalam terhadap seni.
Justeru, berkali-kali dia memohon semua pihak agar mengenepikan faktor peningkatan usia yang disering dikaitkan dengan kurangnya produktiviti.
Dalam hal ini, Roberta menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang disifatkannya tidak berasas itu.
Kata Roberta, pada usianya 72 tahun ini, dia masih berupaya untuk berfikir secara kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang baru khusus kepada peminatnya.
Berita gembira yang dikhabarkan oleh Roberta ialah, dia kini sedang dalam proses menyiapkan album untuk merakamkan semula lagu-lagu kumpulan The Beatles.
Album yang diberi nama Let It Be itu bakal memuatkan antara 10 hingga 12 buah lagu.
"Saya sudah merekodkan enam buah lagu daripada kumpulan itu. Salah sebuah lagu yang sudah dirakamkan ialah Here Comes The Sun.
"Kemungkinan ia akan dipasarkan tahun depan. Mungkin sebelum Anugerah Grammy,'' ujar Roberta penuh ceria.
Sebetulnya, Roberta juga ada perancangan untuk merakamkan lagu-lagu Raja Pop, Michael Jackson sebagai tanda ingatannya pada penghibur masyhur dunia itu.
Hasrat merakamkan semula lagu-lagu Michael juga dibuatnya kerana seniman itu merupakan antara artis yang begitu dekat di hatinya.
"Namun, ketika saya berada di sebuah studio (di Amerika Syarikat), saya terdengar ada orang sedang merakamkan lagu-lagu Michael versi remix.
"Dalam hati saya tertanya-tanya mengapa perlu lagu-lagu dia (Michael) dilakukan sedemikian (versi remix).
"Kerana itu, saya tidak mahu rakamkan semula lagu-lagu Michael. Biarlah lagunya kekal seperti sediakala. Tidak perlu dihancurkan dengan versi lain,'' tambahnya sambil menahan sebak sewaktu berbicara tentang Raja Pop Dunia itu.
Dia idola saya - Khadijah Ibrahim
Sementara itu, bagi penghibur tersohor tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, peluang bertemu dengan Roberta dianggapnya sebagai mimpi menjadi nyata.
Meletakkan Roberta sebagai antara artis idolanya, Khadijah atau Khaty melahirkan rasa bangga kerana dipilih untuk menjadi artis pembuka tirai sempena persembahan Roberta di Hotel Hilton KL.
"Saya dimaklumkan bahawa Roberta sendiri yang memilih saya untuk memulakan persembahan pembuka tirai selepas menilai senarai artis yang dicadangkan.
"Ia sebagai satu penghormatan buat saya juga. Sememangnya, dia idola saya dan saya sering membawakan lagu-lagunya ketika diundang mengadakan persembahan,'' tambahnya.
Terdahulu, ketika sidang akhbar tersebut, Khaty sempat menghadiahkan Roberta albumnya yang berjudul Mutiara, selendang serta buku kenangan konsertnya di Dewan Filharmonik Petronas, baru-baru ini.
Bagi mereka yang berpeluang menonton persembahan Roberta baru-baru ini, barangkali ramai yang bersetuju aura penghibur malar segar ini masih belum pudar.
Malah, vokalnya masih lagi merdu dan enak didengar meskipun tuan punya badan sudah berusia 72 tahun.
Sebaik sahaja kelibatnya kelihatan di pentas tepat pukul 9.30 malam, dia menerima tepukan yang cukup gemuruh.
Sememangnya kehadiran Robert cukup dinanti-nantikan oleh peminatnya yang mahu menikmati sendiri alunan indah suaranya yang tiada tandingan itu.
Memulakan persembahannya dengan lagu malar segar, Killing Me Softly With His Song yang meletakkan dirinya di puncak kegemilangan, pemilihan lagu tersebut dilihat sedikit mengejutkan.
Masakan tidak, lazimnya penyanyi antarabangsa yang mempunyai sebuah lagu yang cukup popular akan mendendangkannya di akhir persembahan.
Tetapi, Roberta mengorak langkah dengan mempersembahkan lagu tersebut di awal persembahan.
Sebaik sahaja dia menyanyi, dewan menjadi sunyi sepi kerana terlalu menikmati alunan indah Roberta yang menyanyikan lagu tersebut sambil memetik piano.
Ternyata, lagu yang sudah berusia 36 tahun itu masih lagi sedap di dengar dan alunan vokal Roberta juga masih lagi sama seperti lagu tersebut mula-mula menjadi popular.
Lagu-lagu nyanyiannya penuh dengan rasa cinta dan senarai lagu yang dipilih Roberta juga dilihat bertepatan sekali sehingga membuatkan penonton terus menyanyi tanpa disuruh.
Malam terus bertambah hangat sewaktu Roberta menyampaikan lagu The First Time Ever I Saw Your Face dan Feel Like Makin' Love dengan penuh emosi sekali.
Senarai lagu yang dipilih Roberta semuanya sarat dengan cinta yang berjaya membuat penonton larut dalam emosinya.
Begitu juga sewaktu dia berduet dengan penyanyi latarnya menerusi lagu Tonight I Celebrate My Love dan The Closer I Get To You.
Biarpun perasaan itu tidak sama seperti rakaman asalnya yang menyaksikan Roberta berduet dengan Peabo Bryson dan Donny Hathaway, tetapi sedikit sebanyak ia berjaya membawa penonton menyelusuri laluan kenangan.
Sebelum Roberta membuat persembahan, Khaty terlebih dahulu menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Ku Pendam Sebuah Duka dan dua buah lagu Inggeris.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: