|
|
LANGKAH komposer terkenal, Ajai kini diperkembangkan pula ke bidang perniagaan. Jika sebelum ini, dia begitu terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya yang meletup, kini dia yang juga penyanyi lagu Keliru itu membuka Celebrity Kopitiam bersaama dua lagi rakan kongsinya, Andrew Yong dan Erwan Azizi.
Berkonsepkan hiasan ala kolonial disulami gaya kontemporari yang elegan, pelbagai hidangan menarik lagi enak mampu memikat selera anda.
Antaranya, nasi lemak, Char Kuey Teow serta hidangan barat.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran Celebrity Kopitiam bertempat di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas berkata, dia dan rakan-rakannya telah berbincang melahirkan kopitiam tersebut sejak setahun lalu.
"Sebenarnya, konsep kopitiam ini hampir sama dengan kopitiam lain, cuma bezanya, kita memberi peluang kepada beberapa selebriti untuk menampilkan bakat memasak serta membuat persembahan di Celebrity Kopitiam.
"Selain mencuba menu istimewa daripada artis kesayangan, peminat juga dapat berhibur dengan persembahan artis di sini," katanya.
Bercerita perihal menu istimewa daripada artis jemputan, menurut Ajai, nama dan jenis masakan daripada artis dan selebriti akan di senaraikan dalam senarai menu istimewa setiap bulan.
"Bagaimanapun, setiap bulan tidak tertakluk kepada masakan selebriti sahaja, mungkin mereka juga boleh membuat persembahan di sini.
"Peminat mereka mungkin sudah terbiasa dengan aksi lakonan atau nyanyian mereka tetapi pasti ramai yang tidak tahu bahawa selebriti-selebriti ini mampu melakukan sesuatu yang lain dari segi masakan mahupun persembahan di kopitiam ini," katanya.
Cawangan
Tambah menarik, mereka yang gemar berkaraoke, set karaoke juga disediakan bagi mereka yang berminat.
Kata Ajai lagi, nyanyian daripada pengunjung Celebrity Kopitiam akan direkodkan oleh petugasnya dan sekiranya dirasakan berbakat, kemungkinan besar akan diangkat sebagai penyanyi di bawah label syarikatnya.
Tambah Ajai, tidak lama lagi, dia bakal membuka cawangan niaganya di beberapa lokasi tanah air termasuk Johor dan Melaka.
Bercerita tentang penglibatan selebriti sebagai tarikan utama kopitiam tersebut, kata Ajai: "Artis yang terlibat bukan setakat memasak atau mengadakan persembahan secara percuma.
"Kami akan membayar kepada selebriti yang terlibat dan secara tidak langsung mereka boleh jadikan penglibatan mereka sebagai pendapatan sampingan," ujarnya lagi.
Selain bertindak sebagai salah seorang orang kuat kopitiam tersebut, Ajai juga merupakan ikon kepada Celebrity Kopitiam.
Antara selebriti yang hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Mawi dan Ekin, Faradhiya, Farah, Mila, Misha Omar, Dr. Fazley, Norish Karman dan Chaq Mentor.
Untuk mengetahui lebih banyak maklumat serta informasi terkini berkaitan selebriti yang terlibat, sila layari laman sesawang www.celebritykopitiam.com.
Rezeki anak
Langkah pertamanya di bidang perniagaan umpama rezeki berganda buat Ajai dan isterinya, Liza Illias.
Apa tidaknya, dalam sibuk merancang perniagaan, Liza disahkan hamil 7 minggu beberapa minggu lalu.
Wajah gembira Ajai dan isterinya itu jelas terpancar ketika di temui pada majlis tersebut.
Malah, ketika diheret pertanyaan perihal kehamilan isterinya itu, komposer ternama itu sambil menyulam senyuman berkata, itu sudah rezeki anaknya.
"Terus terang saya gembira dengan berita ini. Sudah tentu ini juga rezeki anak saya," ringkas jawapan yang terbit dari bibir Ajai.
Dipanjangkan dengan pertanyaan berkaitan alahan yang dialaminya, akui Ajai, selain pening kepala, berbanding isterinya, dia kerap muntah dan mengalami loya.
"Setakat ini isteri saya tidak mengidam apa-apa. Namun, yang paling ketara, saya yang dahulunya tidak suka minum kopi kini sudah mula menyukai kopi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: