Saturday, November 14, 2009

Pesta Sayap di Taman Alam

Sepanjang bulan Oktober setiap tahun, Taman Alam di Kuala Selangor akan dibanjiri pelancong asing yang datang ke situ semata-mata mahu menyaksikan spesies burung yang berhijrah ke sekitar taman tersebut.




BAGAIKAN burung yang berhijrah. Itulah kesimpulan yang menggambarkan suasana di Taman Alam, Kuala Selangor, Selangor apabila para pelancong asing berkumpul semata-mata mahu memberi tumpuan untuk meraikan Pesta Sayap.

Justeru, sempena kunjungan spesies burung migrasi dari Jepun, Korea dan China ke taman itu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menganjurkan pesta bagi meraikannya.

Berbeza dengan sambutan sebelum ini, MNS buat julung-julung kalinya membawa delegasi pencinta alam dari negara jiran bagi meraikan pesta penuh ceria itu.

Bagi para pelancong, ia menjadi tarikan setiap kali tiba musim penghijrahan burung. Ini kerana tempat itu merupakan kawasan pemuliharaan melalui empat ekosistem utama iaitu paya bakau, hutan sekunder, dataran lumpur dan tasik serta pulau-pulau kecil di dalamnya.

Sejak dibuka pada 1987, MNS telah membangunkan Kuala Selangor Nasional Park (KSNP) sehingga menerima pengiktirafan Badan Hidupan Burung Antarabangsa sebagai salah satu daripada 55 santuari burung terpenting dunia dengan 157 spesies telah dikenal pasti.

Justeru, setiap tahun sepanjang bulan Oktober, MNS akan menganjurkan Pesta Sayap. Pesta tersebut memberi peluang kepada para pengkaji burung dari seantero dunia membuat pemerhatian terhadap burung-burung yang terdapat di taman tersebut.

Menurut Timbalan Presiden MNS, Datuk Dr. Hashim Abdul Wahab, pesta tahun ini menerima kunjungan delegasi dari Singapura, Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan Jepun. Hampir 200 delegasi hadir. Hashim memberitahu, sambutan yang diberi amat menggalakkan. Selain melawat Taman Alam, tetamu juga dibawa melawat ke beberapa kawasan tarikan lain di Kuala Selangor.

"Secara tak langsung, kita dapat mempromosi produk pelancongan lain yang ada di sini," katanya ketika ditemui pada sidang media perasmian Pesta Sayap di Taman Alam, Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang cuba menganyam daun.


Selain aktiviti yang disediakan, pengunjung juga didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai pemuliharaan alam sekitar.

"Kami cukup teruja dengan kunjungan delegasi ini. Mereka banyak mengambil gambar dan turut terlibat dengan aktiviti sukarelawan tempatan menanam pokok bakau di dalam hutan ini," ujarnya.

Keseronokan itu diakui Dr. Benchapol Corsungaluck, 25, salah seorang pengunjung dari Thailand.

"Apa yang ada di sini sama dengan di negara saya. Ini kunjungan pertama kami. Jadi, apa yang berbeza adalah pengalaman.

"Selain mengenali spesies burung di sini, kami juga dapat mengenali lebih dekat budaya dan sosial masyarakat Malaysia," ujar pegawai perubatan haiwan itu.


TEROPONG burung yang berhijrah di Taman Alam.


Ketika ditemui, dia yang mesra dengan panggilan Ben sedang mengikuti jurupandu hutan MNS mengenali tumbuhan di dalam hutan simpan itu.

Sambil berjalan, Ben tidak melepaskan peluang merakam keindahan alam di sekelilingnya. "Saya sangat teruja melihat ketam yang pelbagai warna di tepi paya ini," ujarnya sambil mencungkil-cungkil tanah paya di situ.

Selain melawat Taman Alam, MNS telah meluaskan lagi rangkuman program lawatan ke beberapa produk pelancongan lain sekitar Kuala Selangor. Pelancong asing turut dibawa mengunjungi lokasi pelancongan lain seperti melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan dan melawat jeti Sungai Buloh Sasaran.

Membuka minda

Pesta yang berlangsung selama dua hari itu membuka minda para pelancong terhadap produk pelancongan tempatan, khususnya di Kuala Selangor.


PELANCONG dihiburkan dengan tarian tradisional Melayu.


Selepas majlis perasmian berlangsung di auditorium terbuka Taman Alam, semua delegasi dibawa ke Sungai Buloh Sasaran untuk melihat spesies burung migrasi yang singgah di situ.

"Auditorium ini sangat istimewa. Oleh kerana kami terdiri daripada para pencinta alam, maka apabila kami dapat melihat haiwan dan tumbuhan di sekeliling tempat ini, hati kami sangat teruja.

"Saya berpendapat, kawasan ini amat terpelihara untuk haiwan dan tumbuhan," ujar Ben.

Di Sungai Buloh, pengunjung menunggu giliran menaiki bot. Keasyikan pengunjung yang hadir terhenti seketika tatkala melihat sepasang memerang sedang bermain di tepi jeti itu.

Ketika itu, ramai yang memasang kaki dan lensa teropong untuk melihat dengan lebih dekat haiwan dan burung yang singgah di situ.

Lantas, jurumudi bot itu memberitahu: "Bertuah sungguh pengunjung yang datang hari ini kerana dapat melihat memerang air dengan lebih dekat.

"Haiwan ini jarang dapat lihat. Mungkin sebab itu, mereka (pelancong) berasa teruja," ujarnya tanpa disapa terlebih dahulu.


SANTAI, antara pengunjung yang hadir mendengar ucapan perasmian.


Jurumudi yang dikenali sebagai Kahar Buntal menceritakan pengalaman membawa pengunjung datang ke Taman Alam.

"Saya bekerja sebagai nelayan. Bila ada pesta macam ini, adalah sikit untung. Tetapi untung bukanlah ukuran. Apa yang penting, saya puas bila ada orang asing dan anak-anak dari bandar sudi naik bot nelayan ini," katanya.

Sambutan berbeza

Mengakui sambutan kali ini berbeza, Kahar tidak malu mengatakan dia teringin sekali mengganti bot yang dipandu setiap hari itu dengan bot yang baru untuk menyambut kedatangan pelancong yang lebih ramai pada masa akan datang.

"Kalau tahun depan, saya dapat banyak tempahan untuk membawa pelancong, saya mahu ubah sikit bot ini. Dapatlah mereka naik bot yang lebih selesa," ujar Kahar yang telah berulang-alik lebih 15 kali dari jeti ke laut membawa pengunjung pada hari itu.




Kata Kahar, bayaran yang dikenakan kepada pelancong adalah RM100 bagi setiap perjalanan satu jam pergi dan balik dari jeti ke tengah laut untuk melihat persekitaran alam.

Ketika menaiki bot itu, penumpang tidak banyak berbicara, sebaliknya mata mereka memberi tumpuan melihat burung-burung yang hinggap di tepi tebing laut.

Kahar sempat menoleh ke arah seekor burung yang dikenali sebagai Burung Botak Hitam. Oleh sebab terlalu lama berada di sana, Kahar boleh mengingati perkara mengenai burung yang singgah di sana.

"Burung Botak Hitam ini dulu sudah hampir pupus, sekarang datang balik. Rasanya sudah hampir 15 ekor dapat dilihat pada musim kali ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: