Saturday, November 14, 2009

Formula Drift Thailand





TENGKU DJAN


ACARA Formula Drift Thailand yang dipersembahkan oleh Goodyear pada minggu lalu di Bangkok, Thailand memperlihatkan saingan dramatik antara juara drifter dari New Zealand, 'Mad Mike' Whiddett dan pemenang D1 Japan Grand Prix 2004, Ryuji Miki.

Akhirnya, Whiddett diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan yang melibatkan tiga pusingan. Sementara tempat ketiga direbut oleh drifter dari Malaysia, Tengku Djan yang merupakan juara Formula Drift Singapura 2009 pada Julai lalu.

Whiddett, melakukan aksi drift menggunakan tayar Goodyear Eagle F1 Asymmetric dan berjaya mengatasi cabaran daripada Tengku Djan pada pusingan knockout yang berlangsung dalam hujan. Hujan sebenarnya telah turun sebelum pusingan Final Four bermula lagi.

Satu-satunya litar drift bertaraf antarabangsa di Thailand, Wonderworld Park, Ramindra dipenuhi para peminat selama dua hari berturut-turut. Malah, 7,000 tempat duduk strategik untuk menonton telah ditempah sepenuhnya.

Persaingan kian memuncak pada hari kedua apabila 32 orang drifter yang berjaya melayakkan diri, termasuk 23 orang drifter dari Thailand menunjukkan kemahiran dan teknik masing-masing di atas trek. Asap yang terhasil daripada tayar, ditambah dengan bunyi enjin penuh kuasa membuatkan penonton semakin teruja.

Seramai tiga orang juri Formula Drift dari Amerika yang dijemput membuktikan kesungguhan penganjur untuk membawa Formula Drift Thailand ke standard yang lebih profesional.

Raja drift Thailand, Kiki Nana merupakan antara drifter yang layak untuk bersaing sehingga ke peringkat lapan terbaik. Namun, dia terpaksa akur dengan kehebatan para drifter lain dan tersingkir.

Semua drifter dari Thailand yang mengambil bahagian mengakui Formula Drift Thailand kali ini paling impresif pernah mereka sertai. Biarpun gagal membawa pulang sebarang piala atau gelaran, bersaing dengan ramai drifter terbaik dari seluruh dunia menjadi pengalaman yang mengagumkan. Mereka juga mendapati standard pertandingan antarabangsa sangat sukar dan mencabar.

Pada penghujung cabaran, drifter dari New Zealand dan Jepun layak untuk mempamerkan kehebatan mengendalikan jentera masing-masing. Bukan dua pusingan seperti pertandingan-pertandingan lain, sebaliknya mereka berdua perlu bertarung dalam tiga pusingan memandangkan kemahiran yang ditunjukkan sangat seimbang.

Para juri juga sukar untuk membuat satu keputusan yang sepakat. Sebab itulah, pusingan ketiga diperlukan bagi menentukan siapakah juaranya.

Berdiri antara satu sama lain di atas pentas, Whiddett dan Miki berdebar menantikan keputusan juri. Sebaik sahaja juri ketiga mengumumkan skor terakhirnya, semua penyokong bersorak gembira dan bertepuk tangan.

Whiddett menjuarai Formula Drift Thailand dengan skor 2:1.

Formula Drift akan berkunjung ke Malaysia dengan Goodyear bertindak selaku hos pertandingan akhir siri drift ASEAN. Ia bakal berlangsung pada 19 dan 20 Disember di MAEPS (Malaysian Agro Exposition Park Serdang), Serdang Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: