Friday, November 6, 2009

Mujur vokal Jatt hebat


WALAUPUN usia ahli-ahli kumpulan Black Dog Bone sudah melebihi setengah abad namun mereka tetap bersemangat dan bergaya ketika di pentas.


KALAU dinilai dari segi populariti, kumpulan Black Dog Bone (BDB) bukan berada di tangga teratas persada seni tanah air seperti kumpulan muzik masa kini.

Namun kumpulan yang ditubuhkan sekitar tahun 1973 masih dikenali di kalangan penggemar muzik kerana lagu-lagu dendangan mereka terus mendapat tempat di corong radio tempatan.

Justeru itulah apabila kumpulan yang dianggotai oleh enam orang iaitu Jatt (vokalis), Ishhar (gitar dan vokal), Michael Heng (keyboard), James Chai (saksafon), Masron Ali (trumpet dan vokal) serta Hamid Ahmad (gitar) mengadakan persembahan pentas, ramai yang tidak melepaskan peluang.

Menonton Konsert Malam Kenangan BDB di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru, Sabtu lalu berjaya mengimbau semula nostalgia peminat-peminat kumpulan yang berasal dari Singapura itu.

Konsert anjuran Offshore Entertainment Production Sdn. Bhd., yang dihadiri kira-kira 1,500 penonton itu diadakan sebagai lanjutan kejayaan konsert BDB di Istana Budaya (IB), Mei lalu.

Kemunculan BDB di sini adalah bagi memenuhi kehendak peminat-peminat mereka dari Singapura dan sekali gus untuk penggemar kumpulan tersebut di bahagian selatan tanah air.

Tidak dinafikan sepanjang persembahan selama dua jam menerusi 27 buah lagu, penonton seolah-olah memutarkan kembali piring hitam atau cakera padat lagu-lagu nyanyian BDB.

Ini kerana vokal penyanyi utama BDB, Jatt dan rakan-rakannya tidak berubah masih lagi segar seperti di era kegemilangan mereka.

Namun kelunakan tersebut sering diganggu oleh masalah teknikal (mikrofon kurang jelas) yang kalau dilihat boleh diatasi sebelum persembahan bermula.

Bagaimanapun, penonton yang sanggup mengeluarkan wang untuk tiket-tiket berharga RM75, RM175, RM245 dan RM295, tidak menghiraukan masalah tersebut kerana yang penting mereka dapat menyanyi bersama-sama BDB.

Difahamkan setakat ini, harga tiket yang paling mahal pernah dijual untuk konsert di negeri ini adalah persembahan BDB.

Mungkin kerana harga tiket yang mahal, penganjur tidak mampu menarik penonton hingga mencecah 2,500 orang seperti yang disasarkan.

Selain daripada harga tiket yang mahal, kekurangan penonton mungkin disebabkan oleh kurangnya promosi dan itu semua tidak memberi impak kepada BDB.

Matlamat utama konsert tersebut adalah untuk menghibur para peminat dan sekali gus menyemarakkan semula lagu-lagu popular mereka yang kebanyakannya adalah lagu-lagu saduran.

Seperti kata Jatt, kemunculan BDB yang bersandar kepada lagu-lagu saduran bukan satu kesalahan kerana pada tahun 70-an ia adalah satu ikutan.

"Biarpun lagu saduran tapi lagu-lagu itulah yang diingat sampai sekarang berbanding lagu-lagu baru yang hanya popular pada masa tertentu sahaja," katanya pada sidang akhbar sebelum persembahan.

Boleh dikatakan hampir kesemua lagu dendangan BDB dihafal oleh penonton yang rata-rata membesar seiring dengan populariti kumpulan tersebut.

Antara lagu yang mendapat sambutan hangat dan turut didendangkan bersama adalah Si Gadis Ayu, Nasi Goreng, Dulu Dan Sekarang, Hatiku Luka Lagi, Khayalan dan Anekaragam.

Persembahan yang diserikan dengan orkestra pimpinan S. Atan itu turut dimeriahkan lagi dengan penampilan barisan penari yang mengiringi persembahan BDB untuk beberapa lagu yang terpilih.

Namun kemunculan penari-penari berkenaan dianggap sebagai 'pembaziran' kerana mereka menari di bawah pentas yang sudah pasti penonton di bahagian belakang tidak dapat melihat dengan jelas.

Malah konsert BDB yang turut mengundang Jay Jay sebagai artis pembuka tirai itu tidak memperlihatkan kemuncak persembahan yang boleh diperkatakan selain daripada kekuatan vokal sahaja.

BDB tidak cuba mengadakan segmen khas atau membuat susunan muzik baru untuk lagu popular mereka.

Sayang sekali peluang yang baik tidak digunakan dengan sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: