Friday, November 27, 2009

Pengorbanan Alyah ibu segera


ALYAH tidak kisah berkorban kasih sayang, masa dan wang ringgit untuk dua anak angkatnya.


JIKA bukan kerana populariti lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Alyah mungkin masih belum dikenali ramai seperti hari ini. Dia pernah mengharungi perjalanan seni yang berliku-liku. Menempuh pelbagai kegagalan termasuk penyertaan dalam program realiti One In A Million musim pertama, Alyah juga hampir membabitkan diri dalam pembikinan album sulung Fablous Cats.

Namun, nasib tidak menyebelahinya. Dalam melayari cabaran itu, Alyah juga terpaksa berdepan dengan perpisahan bersama bekas teman lelakinya, Irfan yang berasal dari Indonesia. Bagi kebanyakan orang, apabila anda berdepan dengan kegagalan seperti yang dihadapi Alyah, anda mungkin akan berputus asa.

Alyah bagaimanapun bernasib baik kerana mendapat sokongan keluarga terutama daripada kedua-dua anak angkatnya, Mohd. Alif, 3, dan Naziatul Afiqah, 11 bulan. Walaupun masih kecil, kewujudan mereka dalam hidup Alyah suduh cukup untuk menjadi pendorongnya.

"Hidup saya sangat gembira sekarang dengan kedua-dua anak angkat saya. Rasanya ada hikmah di sebalik pengambilan mereka sebagai anak angkat," kata Alyah ketika dihubungi Kosmo!.

Biarpun belum bergelar isteri, status itu tidak menjadi penghalang kepada penyanyi berusia 28 tahun itu untuk mempunyai anak. Dia sedar, menjadi ibu tunggal sebelum berkahwin akan mengundang pelbagai persepsi serong. Tapi dia tidak kisah dengan pandangan orang terhadapnya.

"Saya sedar ada orang yang cakap mereka berdua merupakan anak saya. Mereka cakap saya mengandung dan tukar nama mereka. Tapi orang yang dekat dengan saya tahu kebenarannya. Bila masanya saya mengandung? Sebenarnya saya tidak kisah apa orang nak cakap," tambahnya yang merupakan Naib Johan Asia Bagus tahun 1998.

Bercerita detik mengambil anak angkat pertama, Alyah sebenarnya tidak pernah terfikir untuk memelihara Alif. Ketika itu, dia hanya menolong pasangan lain yang mahukan anak angkat. Namun, apabila orang yang berkenaan mengetahui jantina Alif, mereka enggan menerimanya kerana mahukan bayi perempuan.


INILAH permata comel sulung Alyah, Alif.


"Saya bantu orang di kampung saya. Ibu bapa Alif orang susah. Mereka ingin mencari orang untuk menjaga anak mereka supaya Alif akan mendapat pendidikan pada masa akan datang. Tapi orang yang sepatutnya mengambil Alif mahukan bayi perempuan.

"Jadi tiada orang mahukan Alif. Pada masa itulah, saya berbincang dengan kakak saya kerana saya belum berkahwin lagi. Saya sedar ia satu tanggungjawab besar. Pada hari saya membuat keputusan untuk menjaganya, Alif dilahirkan ibu kandungnya pada sebelah malam.

"Ibu Alif sepatutnya bersalin dua minggu sebelumnya tetapi Alif hanya dilahirkan pada malam saya nekad membuat keputusan itu. Rasanya dia tunggu sehingga ada orang mahu menjaganya," kata Alyah mengenai Alif yang dilahirkan pada 28 Mei 2006.

Berasal dari Gelang Patah, Johor, anak kedua Alyah, Afiqah dilahirkan pada 30 Disember 2008. Dia membuat keputusan untuk mengambilnya kerana mahu menolong saudaranya yang terlalu muda untuk menjaga anak mereka.

"Ibu bapa Afiqah terlalu muda, hanya berusia belasan tahun. Daripada mereka mengabaikan Afiqah, lebih baik saya menjaga dia. Lagipun saya tidak mempunyai masalah untuk menjaga budak-budak. Saya dilahirkan dalam keluarga besar yang terdiri daripada 12 adik-beradik.

"Saya merupakan anak kesembilan dan abang sulung saya sudah berusia 47 tahun. Jadi saya mempunyai hampir 30 anak buah. Lagipun di Kuala Lumpur, saya ada orang gaji dan ibu yang menolong saya. Anak angkat sulung saya pula dijaga oleh kakak saya kerana dia mempunyai sedikit masalah kesihatan," jelasnya lagi.


ALYAH mendukung anak angkat keduanya, Afiqah yang kini berusia 11 bulan.


Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan berharap dirinya akan menemui lelaki yang boleh menerima dirinya serta kedua-dua orang anaknya. Sedang sibuk menyiapkan diri untuk Anugerah Juara Lagu ke-24 yang bakal berlangsung pada 10 Januari depan, Alyah tidak memutuskan hubungan anak angkatnya dengan keluarga kandung mereka.

"Alif sudah sah menjadi anak angkat saya. Semua proses termasuk angkat sumpah sudah dilakukan. Tapi proses pengambilan Afiqah belum siap lagi kerana saya sibuk dengan kerja. Tapi itu tidak menjadi masalah kerana dia ialah saudara saya.

"Walaupun saya mengambil mereka sebagai anak angkat, saya tidak memutuskan hubungan mereka dengan keluarga kandung mereka. Jika mereka mempunyai masa lapang, mereka boleh datang melawat anak mereka. Tapi syaratnya ibu bapa mereka tidak boleh mengambil mereka pulang.

"Menangislah saya jika nanti ibu bapa kandung Alif dan Afiqah mahukan anak mereka semula. Saya sangat sayangkan Alif dan Afiqah kerana saya mengambil mereka sejak berusia satu hari lagi," ujar Alyah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: