Tahu akan dugaan hidup yang akan datang bila-bila masa sahaja, Yassin merasakan penyakit bipolar yang pernah dialaminya antara dugaan dan cabaran hidup yang terbesar baginya
SAMBUTAN Aidiladha bermakna sempurnanya Rukun Islam kelima bagi umat Islam yang cukup syarat dan berkemampuan untuk mengerjakan ibadat haji. Juga dinamakan Hari Raya Korban, sambutan perayaan ini adalah peringatan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah.
Hari ini, sempena sambutan Aidiladha, Kosmo! memaparkan tiga selebriti berlainan generasi dalam menyelami erti pengorbanan masing-masing.
Walaupun dugaan yang diterima tidaklah sehebat insan yang melalui tragedi bencana alam serta peperangan, namun yang pasti pelakon veteran, Norlia Ghani dan dua penyanyi, Yassin Sulaiman dan Farawahida juga mempunyai kisah tersendiri dalam mengharungi dugaan yang mungkin tidak diketahui ramai peritnya.
Kematian seorang daripada lima orang anaknya, Edi Rizal Ramli, 32, tidak sampai dua bulan lalu yang meninggal dunia akibat jatuh dari flat kerana mahu menangkap seorang perompak yang menceroboh rumah jirannya masih berbekas di hati Norlia.
Pertama kali beraya tanpa Edi, rindu kepada anaknya itu membuak-buak. Apatah lagi bila arwah anaknya itu antara yang paling 'kecoh' setiap kali hari raya.
"Walaupun sambutan Hari Raya Haji tidak semeriah Aidilfitri, saya tetap seronok memandangkan anak-anak dan cucu-cucu akan balik ke rumah saya.
"Cuma, buat pertama kalinya tahun ini, bilangan mereka berkurangan seorang, apabila Edi telah meninggalkan kami. Dia pula suka mengusik, membuatkan orang tak kering gusi dengan lawak jenakanya.
"Tambah pula dia dan anak-anak yang lain suka makan rendang, kami sekeluarga masak macam-macam. Rasanya kami meriah dalam makanan," ujarnya dengan nada menahan sebak.
|
|
Pelakon itu telah berkecimpung dalam dunia seni lakonan selama lebih daripada 40 tahun dan akui Norlia pelbagai pengorbanan yang dilakukannya sepanjang bergelar anak seni.
Menurut pelakon yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Kanchan Tirana, apa yang disumbangkan kepada industri seni selama ini semakin tidak diendahkan tatkala usianya semakin meningkat.
"Saya rasa semua tahu, mahu menjadi pelakon bukannya mudah kerana mereka perlu mengorbankan masa dan keluarga. Sejak saya mula berlakon, sejak awal lagi saya terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mencari rezeki.
"Bila dah berusia macam ini, saya rasa kami macam tak ada nilai kerana bayaran yang diberi seolah-olah kami ini baru sahaja berlakon. Sedangkan pelakon baru yang tidak tahu apa-apa mengenai lakonan boleh mendapat bayaran yang tinggi.
"Saya rasa itu juga satu pengorbanan besar bagi seorang pelakon kerana demi menjadi seorang anak seni mereka sanggup berkorban apa sahaja, walaupun harga yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.
"Tanyalah Mariani, berapa yang dia dapat. Ada yang mendapat RM50 sehari. Orang juga kata, kalau tak berbalaoi, jangan ambil. Tapi itu sahaja punca rezeki yang ada, nak tak nak, terpaksa lakukan.
"Bila ada festival, yang tua-tua juga diangkut tapi bila bab bayaran, macam bayar nasi lemak," ujar ibu kepada Rusdi Ramli.
Tambah pelakon berusia 60 tahun itu, bukan sahaja pelakon veteran yang mengalami masalah sebegini bahkan, penyanyi dan pelawak juga mengalami nasib yang sama.
Dugaan gangguan bipolar
Lama juga tidak mendengar khabar penyanyi kacukan Melayu Australia, Yassin sejak pulih daripada gangguan bipolar sehingga memaksa dirinya mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), awal Jun lalu.
|
|
Baru sahaja selesai penggambaran drama Nur Iman, Yassin yang pernah menganggotai kumpulan Brothers tenang dan tabah melalui dugaan itu. Dia menganggap apa yang terjadi kepadanya adalah satu pengorbanan hidup sebagai seorang manusia. Gangguan bipolar merupakan sejenis penyakit mental yang menjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi.
Pesakit yang mengalami gangguan ini melalui episod perubahan ragam atau mood yang melampau, daripada perasaan terlalu ghairah atau teruja kepada terlalu resah gelisah (kemurungan).
Bertanyakan mengenai erti Hari Raya Haji bagi penyanyi dan pelakon berusia 34 tahun itu, dia merasakan ia merupakan masa untuk menghayati sejarah pengorbanan yang berlaku pada nabi-nabi dan rasul.
|
|
"Maksud haji ialah satu pengorbanan dan perjuangan hidup. Nak ikutkan, hari-hari kita berkorban untuk terus hidup. Bak kata orang, no pain no gain. Kita perlu berkorban sesuatu untuk mendapatkan perkara yang diinginkan.
"Selain itu, kita juga perlu menghayati sejarah contohnya, kisah bagaimana Siti Hajar mencari air dan Nabi Ibrahim melawan iblis kerana itu semua boleh menjadi pengajaran," ujar Yassin yang telah pun menjalani ibadah haji pada tahun 2005.
Tahu akan dugaan hidup yang akan datang pada bila-bila masa sahaja, Yassin merasakan penyakit bipolar yang pernah dialaminya antara dugaan dan cabaran hidup yang terbesar baginya.
Manakan tidak, menjadi seorang selebriti, pelbagai spekulasi yang diberikan terhadapnya gara-gara penyakit itu.
|
|
Bagaimanapun ayah kepada dua orang anak, Sameer, 5 dan Malaika, 1, reda dengan apa yang telah dilaluinya.
"Penyakit yang saya alami ini bukan sahaja dugaan paling besar dalam hidup kerana saya tidak menjangkakan yang hal ini akan berlaku.
"Saya juga akur, sebagai seorang selebriti, sedikit sebanyak, nama dan imej saya turut bergolak.
"Waktu itu saya pun tak tahu apa maksudnya gangguan bipolar di mana ia biasanya berlaku kepada insan-insan kreatif. Tambah pula penyakit yang saya kena itu adalah penyakit genetik.
"Apa-apa pun, apa yang telah terjadi ini adalah satu pengorbanan sebagai seorang artis dan manusia. Ini adalah ujian daripada Allah," katanya yang bakal mengeluarkan album kompilasi dengan sebuah single lagu terbaru, Nur Kasih.
Berkorban untuk keluarga
Sementara itu, bagi penyanyi berkulit hitam manis, Farawahida, tahun ini merupakan tahun yang paling mencabar dalam hidupnya sepanjang bergelar penyanyi.
Hidupnya menjadi kelam-kabut dek kontroversi yang melanda dirinya dengan bekas pengurusnya, Julfekar Ahmad Shah.
|
|
Akibat kontroversi itu, dia terpaksa mendiamkan diri agar isu tersebut tidak diperbesarkan kerana enggan keluarganya terkena tempias.
Namun, semua itu telah berlalu. Fara mahu bernafas semula dan menebus balik pengorbanan yang dilakukan oleh ibunya sepanjang menjaga Fara sejak dari awal pembabitannya dalam bidang seni dan kemudian terpaksa mempertahankan anak kesayangannya sehinggalah ke hari ini.
"Benar, menjadi seorang artis memerlukan pengorbanan yang besar. Tetapi apa yang saya nampak, ibu saya yang banyak mengorbankan dirinya untuk menjaga saya sepanjang bergelar penyanyi.
"Ibu saya sanggup tidak tinggal bersama ayah untuk menemani saya di Kuala Lumpur. Jangan ingat mereka berpisah pula, tidak. Sebaliknya ibu mahu menjaga keselamatan diri saya.
"Kali ini, saya pula yang mahu mengorbankan sesuatu untuk ibu serta keluarga saya.
"Tak kiralah dari segi wang, masa atau perkara lain, saya akan mengutamakan keluarga dahulu berbanding diri saya. Kalau dahulu, nak balik kampung pun susah.
"Alhamdulillah kehidupan kini lebih bermakna kerana setiap rezeki yang saya terima, saya kongsi dengan keluarga saya," kata Fara yang sudah tiga tahun tidak pulang ke kampungnya di Taiping, Perak, setiap kali raya haji.
Untuk sambutan raya haji kali ini, gadis berusia 24 tahun itu enggan masa bersama keluarga 'dicuri' lagi dan mahu memanfaatkan masa sebanyak mungkin bersama insan tersayang.
Sementara itu, Fara juga kini sibuk dengan bidang barunya apabila berlakon dalam teater Sinbad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: