|
|
CHICAGO - The Oprah Winfrey Show, sebuah rancangan ikon dan paling berpengaruh yang disiarkan selama lebih dua dekad menerusi stesen televisyen dan penubuhan empayar media bernilai berbilion dolar, akan ditamatkan pada 2011 selepas 25 tahun disiarkan.
Syarikat produksi Winfrey semalam berkata, Winfrey bercadang untuk mengumumkan tarikh akhir tersebut semasa siaran langsung rancangannya itu hari ini (waktu Malaysia).
Harpo Productions Inc. berkata, pengumuman itu akan membawa kepada pengakhiran siaran rancangan bual bicara dengan penarafan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) selama lebih dua dekad dan disiarkan di 145 buah negara di seluruh dunia selain ditonton oleh kira-kira 42 juta penonton setiap minggu di AS sahaja.
Jurucakap Harpo semalam menolak untuk memberikan ulasan berhubung perancangan masa depan Winfrey kecuali mengatakan The Oprah Winfrey Show tidak akan beralih kepada televisyen kabel.
Sepanjang tahun-tahun lalu, The Oprah Winfrey Show semakin menunjukkan kemajuan daripada sebuah 'pendatang baru' sehingga bertukar menjadi sebuah program paling berpengaruh dan memberikan inspirasi kepada semua.
Rancangan itu menyiarkan pelbagai topik temu bual bersama selebriti terkenal dunia sehingga kepada perbincangan ikhlas mengenai bagaimana beliau bertungkus lumus menurunkan berat badan.
"Ketika rancangan itu semakin berkembang, ia benar-benar menceriakan hari para penonton disebabkan rancangan bual bicara itu," kata Robert Thompson, profesor televisyen dan budaya popular di Universiti Syracuse.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: