Saturday, November 21, 2009

Khaty, Ramli, Jay Jay berkongsi pentas


(DARI kiri) Acis, Ramli, Khaty dan Jay Jay.


LEBIH 30 tahun Datuk Khadijah Ibrahim berada di dalam industri hiburan tanah air dan perjalanan seninya membuatkan dia rapat dengan Jay Jay dan Papa Rock, Ramli Sarip.

Namun, sepanjang tempoh perkenalan mereka, Khadijah atau mesra dengan panggilan Khaty tidak pernah berkongsi satu pentas dengan Ramli dan Jay Jay serentak dalam satu persembahan.

Bagaimanapun pada 4 Disember ini bertempat di Convention Hall, Tingkat 3, Persada Johor, Johor, para peminat dapat menyaksikan ketiga-tiga mereka bergabung dan berpadu kesaktian vokal masing-masing dalam konsert An Evening With Datuk Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip .

Konsert anjuran bersama Persada Johor International Convention Centre dan Puteri Pacific Johor Bahru itu akan dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Jay Jay.

Menurut Khaty, mereka akan berkongsi pentas membuat persembahan dan yang pasti ia akan meninggalkan memori indah kepada tetamu yang hadir pada akhir konsert itu nanti.

“Saya sering bekerjasama dengan Jay Jay dan Abang Ramli dan mereka berdua juga pernah berduet bersama namun kami bertiga tidak pernah membuat persembahan bersama-sama.

“Saya pasti persembahan kami pada malam itu akan mencipta satu nostalgia dengan persembahan penutup yang mantap dengan memfokuskan kepada vokal kami bertiga nanti,” ujarnya ketika ditemui di sidang media Konsert An Evening With Datuk Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip di Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya baru-baru ini.

Janji Khaty, dia akan memberikan persembahan yang berbeza daripada konsertnya yang lalu di samping kejutan kepada semua tetamu yang hadir.

Diiringi oleh enam orang pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali dengan panggilan Acis, antara lagu yang akan dinyanyikan oleh Khaty ialah Doa Buat Kekasih, Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam.

Tiket-tiket dijual pada harga RM295, RM225, dan RM180 termasuk makan malam dan boleh ditempah dengan menghubungi 07-2198888 sambungan 7807 (Mages) dan 7801 (Alia).

Menurut Khaty, dia, Ramli dan Jay Jay bagaikan satu keluarga kerana mereka sering bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain sepanjang terlibat di dalam industri seni ini.

Kathy pernah merakamkan album duet bersama Ramli yang berjudul Ihsan '90 pada tahun 1990 dan antara lagu duet mereka yang masih menjadi igauan orang ramai sehingga sekarang ialah lagu Doa Buat Kekasih dan Joget Hilang Berganti.

Ramli juga pernah berduet dengan Jay Jay dalam lagu Senandung Hidup Berbudi. Mereka bertiga sering bergabung dan saling memberi sokongan setiap kali mereka mengadakan persembahan atau konsert dengan menjadi penyanyi jemputan.

Ternyata keserasian dan semangat setiakawan tidak luntur antara mereka bertiga yang sudah lama bertahan dalam industri seni tanah air sehinggalah kini.

“Saya masih ingat pertama kali saya berjumpa dengan Abang Ramli yang ketika itu bersama kumpulan Sweet Charity membuat persembahan pembukaan konsert saya di Stadium Merdeka pada tahun 1979.

“Kemudian ketika konsert mereka di Singapura, saya pula yang dijemput membuat persembahan dan sejak itu kami sering bekerjasama.

“Jay Jay bersama kumpulan Carefree juga sering mengikut saya mengadakan persembahan di seluruh Malaysia.

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, penyanyi bersuara emas ini sedang menyiapkan album ketika konsert Khadijah Ibrahim The Pearl Anniversary Concert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas tahun lalu yang kini dalam proses 'mastering'.

Selain itu, dia turut telah merakam empat buah lagu baru tetapi menunggu masa yang sesuai untuk dipasarkan.

Khaty yang turut memiliki restoran sendiri, Khadijah's Kitchen di Petaling Jaya juga dalam perancangan untuk memfrancaiskan restorannya di luar Negara iaitu di Paris, Frankfurt dan New York.

Bertanya soal kahwin, Khaty tidak akan menolak jika ada jodoh tetapi buat masa ini dia gembira dengan hidup kerana sentiasa sibuk dengan kerja dan keluarga.

“Saya sudah membujang 21 tahun tetapi sentiasa gembira dengan hidup saya kerana dikelilingi oleh anak-anak dan dua orang cucu kesayangan saya, Kharfya dan Mohd. Afrin.

“Saya sentiasa sibuk dengan aktiviti seni saya, restoran, keluarga dan saya juga merupakan Penaung Persatuan Ibu Tunggal Cheras.

“Kalau saya bertemu jodoh, saya akan berkahwin dan anak-anak saya memang tidak akan membantah tetapi buat masa ini saya gembira dengan kehidupan saya," akhir penyanyi yang sudah menginjak ke usia setengah abad ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: