|
|
SEPANJANG menjadi anak seni hampir dua dekad, terlalu banyak yang dilalui oleh anak kelahiran Besut, Terengganu ini.
Kontroversi demi kontroversi semuanya pernah dihadapinya yang dilihat hampir meranapkan karier seninya.
Tetapi, berbekalkan semangat dan kekuatan dari keluarga tercinta dan peminat khususnya, Ameng tetap meneruskan cita-cita dan minatnya untuk meneruskan legasi seninya.
Kata Ameng, biarpun zaman popularitinya bersama kumpulan Spring sudah lama berlalu, tetapi dia terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bagi.
Ke mana sahaja dia pergi, peminat tetap mengingatinya dan juga lagu-lagu popularnya yang pernah disenandungkan sewaktu zaman kegemilangannya.
Kerana itu jugalah, dia optimis dengan penghasilan album solo terbarunya, Terima Kasih... yang kini sudah pun berada di pasaran.
Mengikat kontrak selama tiga tahun bersama syarikat rakaman FMC Music Sdn. Bhd., Ameng mengharap sinar cerah akan menerangi perjalanan seninya selepas ini.
Masih lagi diminati
Enggan menoleh ke belakang lagi, apa yang Ameng mahukan cuma sokongan dan peluang untuk terus mencari rezeki dalam bidang yang sudah menjadi darah dagingnya.
"Hati saya terbuka menerima tawaran FMC kerana mereka masih lagi boleh menawarkan peluang untuk saya merakamkan album baru.
"Biarpun industri kini semakin suram kerana sudah kurang penghasilan album baru, saya fikir itu bukan satu halangan.
"Jika cara promosinya kena dengan tempat dan gayanya, saya percaya ia mampu diterima dengan baik oleh peminat walaupun penjualan tidak lagi seperti dulu," katanya yang ditemui selepas sesi fotografi di studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai seorang artis, dia seharusnya turun padang dan mendekatkan diri dengan artis sekali gus mempromosikan albumnya itu.
"Sekarang masa sudah berubah dan mereka boleh memilih sama ada untuk membeli album ataupun muat turun lagu yang mereka suka.
"Tetapi, bagi peminat di luar bandar, mereka masih lagi suka untuk melihat album di tangan mereka sendiri dan kerana itu, artis harus pergi kepada mereka.
"Zaman sekarang bukan lagi seperti dulu di mana kuasa membeli itu sudah berkurangan," ujar penyanyi berusia 41 tahun ini panjang lebar.
Sememangnya Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail cukup teruja saat diajak berbicara tentang album Terima Kasih... yang memuatkan sepuluh buah lagu termasuk dua buah lagu baru.
Dua lagu tersebut adalah Kesalan Ku dan Sudikah Jadi Kekasihku yang merupakan ciptaan komposer ternama, M. Nasir dan Eddie Hamid.
Selebihnya adalah lagu-lagu popular dendangannya bersama kumpulan Spring dulu yang digubah muziknya dalam nafas baru seperti Sampai Hati, Bourgenvilla, Pesanan Buat Kekasih, Sepi Tanpa Cinta, Sejiwa dan Sejujur Mana Kata-Kata.
Gabungan semula Ameng dengan dua komposer popular itu dilihat bagai sirih pulang ke gagang kerana Ameng sendiri pernah menyanyikan lagu-lagu mereka satu ketika dulu seperti Sampai Hati dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta.
"Saya berjumpa dengan M. Nasir sewaktu majlis persandingan Mawi tahun lalu dan saya memberanikan diri untuk meminta lagu daripadanya.
"Begitu juga dengan Eddie yang saya percaya sentuhannya masih lagi berbisa seperti mana yang pernah dilakukannya sebelum ini.
"Maka dengan itu, saya mengharapkan dengan adanya dua lagu baru ini ia mampu untuk memanjangkan lagi hayat saya dalam bidang ini," jelasnya penuh bersungguh.
Disoal tentang rasionalnya merakamkan kembali lagu-lagu Spring dalam nafas baru untuk dimuatkan dalam album ini, Ameng menjelaskan ia merupakan strategi syarikat rakamannya.
Bukan itu sahaja, dia juga mahu menguji pasaran muzik semasa selain memikat pendengar baru dan mengubat kerinduan peminat setianya yang sentiasa mendambakan lagu terbarunya.
"Saya terkejut bila dapat tahu bahawa saya masih lagi diminati. Daripada situ, saya sedar bahawa saya masih ada pengikut.
"Insya - Allah, selepas ini saya akan menghasilkan album solo terbaru jika album Terima Kasih... ini mendapat sambutan menggalakkan," ujarnya yang pernah merakamkan album solo berjudul Langkah Semakin Jauh tujuh tahun lalu sewaktu bersama bekas syarikat rakamannya, Sony Music Entertainment.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini juga sempat ditanya tentang perkembangan terkini ahli-ahli kumpulan Spring yang lain.
Jelasnya, kesemua mereka hanya akan aktif seandainya ada tawaran persembahan yang memerlukan khidmat mereka.
Ini kerana masing-masing sudah ada komitmen serta pekerjaan tetap yang memerlukan perhatian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: