|
|
SIAPA yang tidak kenal dengan Anita Sarawak, selebriti yang layak digelar 'fashionista' Malaysia. Sering hadir dengan gaya tersendiri yang sungguh elegan, Anita ternyata memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.
Walau ke mana sahaja dia berada, Anita sentiasa berpakaian sesuai dengan tempat dan penampilannya menampakkan Anita berkeyakinan dan jauh lebih muda berbanding usianya yang sebenar.
Contohnya, lihat sahaja potongan baru rambutnya. Orang lain mungkin masih belum bersedia untuk melakukan perubahan drastik sebegitu takut kelihatan canggung.
Berbeza dengan Anita atau lebih dikenali sebagai Kak Nita, dia yang sentiasa hadir dengan idea yang segar dan tersendiri namun tetap kelihatan elegan dan sesuai dengan penampilannya.
Dijemput
Majlis yang diadakan di Centre Court, Pavilion, Kuala Lumpur bermula hari ini akan menyaksikan Anita memperagakan pakaian rekaan Ashley Wong @ Kapas pada malam Gala pada 8 November ini.
Justeru, dia amat terharu apabila diberi penghormatan untuk memperagakan salah satu pakaian dari pereka fesyen tempatan di majlis itu kelak.
Menurutnya, persetujuannya adalah kerana menyedari dunia fesyen dan hiburan sentiasa bergerak seiringan.
"Kak Nita amat berbangga dengan pereka fesyen kita kerana ada antara mereka sudah mencapai status antarabangsa dan dikenali di mata dunia.
"M-IFW merupakan satu platform yang baik untuk pereka-pereka fesyen untuk menonjolkan bakat mereka dan Kak Nita bangga dapat terlibat sama pada majlis ini nanti," ujarnya ketika ditemui di Stelle Café, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menggemari dan menyokong hampir kesemua pereka tempatan, Anita turut akan membuat persembahan pada malam pembukaan M-IFW 2009 malam ini.
Mengambarkan persembahannya nanti sebagai nessan dorma yang membawa maksud 'tiada sesiapa yang tertidur', Anita menjanjikan aksi yang bertenaga dengan mempersembahkan tiga buah lagu nanti.
Menyingkap aktiviti terbaru penyanyi kelahiran Singapura ini, Anita bakal hadir dengan single dan video MTV terbarunya, Asmara dengan kerjasama Astro Entertainment Sdn. Bhd. pada tahun depan.
Terang Anita, lagu Asmara nyanyian asal Anneke Gronloh itu akan dinyanyikan semula olehnya dengan versi tersendiri.
Primadona yang juga wajah eksklusif Astro pada masa yang sama turut sibuk dengan rancangan-rancangan televisyen seperti Perang Kuali dan Kwek Mambo.
Selain itu, Anita juga bakal menjayakan konsert bersama Ismail Harun, penyanyi lama yang sering berduet dengan Anita suatu ketika dahulu, di Max Pavilion, Singapura pada 16 Januari depan.
Sebagai selebriti, Anita tidak ketinggalan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti amal seperti Kempen Kesedaran Kanser Payudara Estee Lauder.
Menurut Anita, apabila dia dan suaminya, Mahathir Abdullah, memutuskan untuk pulang ke Malaysia, penghibur itu sudah merancang untuk melakukan pelbagai kerja amal.
"Pelbagai cara untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat contohnya dengan persembahan amal.
"Sebagai seorang selebriti, kita perlu pandai menggunakan status yang kita ada untuk membantu golongan yang memerlukan dengan apa yang termampu," cerita Anita mengenai kehidupannya hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: