RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengesahkan tarikh pilihan raya presiden dan anggota perundangan Palestin ditangguhkan buat sementara waktu.
Bercakap kepada stesen Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) siaran Arab kelmarin, beliau mengulangi pendirian tidak akan bertanding atau mempertahankan jawatan buat penggal kedua.
Penangguhan itu menunjukkan Mahmoud menerima nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat minggu lalu yang meminta proses pemilihan dijadual pada 24 Januari ditunda pada tarikh lain.
Langkah itu berpunca daripada amaran kumpulan Hamas yang memerintah wilayah Gaza dan diduduki 1.5 juta penduduk Palestin, untuk melarang pilihan raya diadakan.
Mahmoud dalam wawancara itu memberi jaminan akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada kekosongan kepimpinan negara sebaik tempoh mandatnya berakhir awal tahun depan.
Pengumuman itu menggambarkan kekecewaan beliau ekoran kebuntuan proses damai dan kegagalan Amerika Syarikat (AS) menekan Israel untuk menghentikan aktiviti pendudukan haram.
"Saya sudah cakap, rejim Israel enggan berdamai dan AS pula tidak cukup berusaha," katanya yang sedia berunding jika penempatan terbaru Yahudi di timur Baitulmaqdis dihentikan.
Mahmoud memanggil pilihan raya baru itu setelah Hamas menolak rancangan Mesir untuk membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: